Kerajaan PH dilihat tidak bela nasib penoreh

Berita
Typography
KUALA  LUMPUR: Kerajaan PH terus dipersoal kerana membiarkan nasib para penoreh getah dan pekebun kecil ke ambang kegelapan berikutan pengurangan besar peruntukan Belanjawan 2019 untuk golongan itu.
 
Menyentuh isu berkaitan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman (PAS – Kuala Krai) menyifatkan pemberian Insentif Pengeluaran Getah (IPG) tidak memberi kebaikan sebenar sekiranya harga lantai termasuk sekali di dalamnya.
 
Hal tersebut jelasnya, kerana IPG hanya boleh dituntut melalui kerajaan selepas getah dijual, sedangkan realiti berlaku adalah hanya 20 peratus daripada 400,040 penoreh membuat tuntutan berkenaan.
 
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan menaikkan harga lantai getah kepada RM3.00 sekiligram dan menetapkan harga IPG kepada 50 sen, manakala Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada RM1,500.
 
Pada ketika ini kerajaan memberi IPG sebanyak 30 sen menjadikan harga lantai semasa getah RM2.50, tetapi tiada peruntukan BMT dalam Belanjawan 2019 berbanding tahun lalu RM600 untuk tiga bulan iaitu November hingga Januari.
 
“Kalau kerajaan ‘allergic’ dengan nama BMT ini, seperti mana mungkin ‘allergic’ dengan nama seperti BR1M dan UTC, boleh beri nama baharu. Mungkin saya boleh cadangkan kepada Menteri, “Bantuan Harapan Rakyat” (BHR),” kemukanya semasa perbahasan di Dewan Rakyat di Parlimen, di sini kelmarin.
 
Ustaz Abdul Latiff turut mencadangkan supaya kerajaan menambah pendapatan penoreh yang aktif supaya dapat menerima sekurang-kurangnya RM1,100 sebagaimana gaji minimum ditetapkan oleh pihak kerajaan sendiri.
 
Beliau menggesa supaya menyelami keperitan dan kepayahan golongan tersebut dalam melakukan kerja harian mereka serta kehidupan warganya terutama di musim tengkujuh agar layak digelar sebagai ‘Kerajaan Harapan’.
 
Persoalan besar juga timbul Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS – Sik) sama ada BMT untuk bulan November hingga Januari ini telah hilang atau disembunyikan memandangkan ia telah diperuntukkan dalam Bajet 2018.
 
Beliau juga turut mempersoalkan halangan pihak kerajaan untuk menetapkan harga lantai yang munasabah bagi melindungi hak dan pendapatan pekebun getah lantaran terjejas teruk akibat kejatuhan harga komoditi itu.
 
Namun, jawapan daripada Menteri menjelaskan bahawa pihak kerajaan tidak bercadang menetapkan harga lantai berkenaan kerana ia akan memberi impak kewangan yang besar kepada kerajaan sendiri. - HARAKAHDAILY 29/11/2018