Jadikan masjid pusat pembinaan masyarakat

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Ahli jawatankuasa (AJK) masjid-masjid diingatkan supaya menjadi ejen pemangkin kepada moto Kerajaan Negeri iaitu "Maju, Berkat dan Sejahtera" dengan menunjukkan satu contoh yang baik kepada masyarakat.

Atas dasar ini, masjid seharusnya dijadikan sebagai pusat ilmu kepada rakyat, sebagaimana telah dilaksanakan oleh Rasulullah, sehingga berjaya mendirikan sebuah bandar Madinah dengan penduduk yang bertakwa.

Itulah antara nasihat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah kepada AJK Masjid yang baharu dilantik.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan AJK Masjid, yang diadakan di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), di sini semalam.

Kira-kira 30 mewakili beberapa masjid di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus hadir pada majlis yang turut dihadiri Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu atau Kuala Nerus, Azmi Tengah dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Soud Said.

Beliau turut mengingatkan AJK Masjid bahawa maksiat paling besar yang berlaku dalam masyarakat ialah maksiat kejahilan dan amat malang jika mereka berada dalam jahil ke atas jahil, iaitu dia tidak tahu yang dia jahil.

"Inilah yang kita mahu basmi, maka kita kena adakan majlis ilmu di masjid-masjid. Masyarakat kena ada sikap ubudiyyah, iaitu pengabdian kita kepada Allah, masjid adalah tempat untuk manusia menghambakan diri kepada Allah. Maka AJK dahulu mesti tunjukkan sikap ini kepada kariah mereka.

"Biar orang lihat pengurusan masjid ini terbaik dengan AJK mempersembahkan kepada masyarakat yang mereka adalah barisan depan yang memperindahkan masjid itu sendiri.

"Jangan dijadikan masjid sebagai tempat berbalah kerana masjid adalah tempat islah iaitu tempat bagi membaiki dan membina masyarakat yang baik dari segi pergaulan mereka dengan Allah dan manusia," tegas beliau.

Ustaz Mohd Nor turut menekankan kebersihan masjid yang tidak diuruskan dengan baik, supaya menggunakan dana sedia ada agar dibaiki kerosakan seperti tandas dan persekitaran masjid.

Beliau juga memberi amaran jangan ada AJK yang pecah amanah dan semua masalah timbul mesti diselesaikan dengan cara terbaik, mengikut kehendak agama kerana masjid adalah harta orang ramai.

Manakala kursus-kursus yang dianjurkan oleh JHEAT, perlulah sentiasa dihadiri oleh AJK masjid agar mendapat maklumat terbaharu bagi menambah baik pengurusan yang ada.

Pengurusan masjid juga katanya, boleh mengembangkan lagi fungsi mereka jika masjid mereka cantik dan terletak di kawasan yang strategik.

Jelasnya, hal itu boleh juga dibuat sebagai tarikan kepada bukan Islam, bagi menyebarkan dakwah kepada mereka.

Tempoh perkhidmatan bagi AJK masjid-masjid di Terengganu ialah selama setahun dan kebiasaannya akan disambung dengan segera. - HARAKAHDAILY 3/12/2018 

IMG 20181203 WA0022