ICERD: Presiden PAS seru rakyat sertai himpunan

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru seluruh umat Islam untuk keluar beramai-ramai menyertai Himpunan Rakyat Bantah ICERD pada hari Sabtu nanti.

Menurutnya, menjadi kewajipan kepada umat Islam di negara secara fardu ain mencegah kemungkaran itu sebelum berlaku perkara lebih buruk kepada negara ini.

"Jelas bahawa perjanjian ini bercanggah dengan realiti yang ada di Malaysia. Bahkan mengikut pengamatan saya, sebenarnya perjanjian ini diilhamkan oleh Freemason dan Zionis yang menguasai agensi-agensi di bawah Bangsa-bangsa Bersatu.

"Dengan tujuan untuk menundukkan segala bangsa dalam dunia ini supaya tidak beragama dan tidak berakhlak, menjadi agenda mereka dengan cara halus. Apalagi kepada kita, perjanjian ini akan menjejaskan hubungan baik di antara Bumiputera dan rakyat bukan Bumiputera.

"(Di mana ia) telah dijalin dengan baik dalam masyarakat majmuk di negara kita, dengan cara yang begitu baik sejak 60 tahun kita mencapai kemerdekaan. Walaupun berlaku berbagai-bagai kemalangan, kita dapat atasi dengan cara yang baik.

"Di mana campur tangan melalui ICERD ini, kepada saya, sama dengan Perjanjian Pangkor yang menjadi anak kunci untuk campur tangan penjajah terhadap negara kita," ujarnya hari ini.

Beliau juga menyeru penganut-penganut agama lain untuk bersama membantah ICERD kerana perjanjian ini sebenarnya bercanggah dengan semua agama dan hubungan antarabangsa.

Sedangkan katanya, perkara itu di dalam dunia ini telah dijalin oleh Allah S.W.T dengan cara yang baik kepada umat manusia.

Ahli Parlimen Marang itu juga mengajak kaum bukan Islam percaya bahawa umat Islam dapat melaksanakan hubungan yang baik ini dengan cara yang sebaik-baiknya.

"Dan kita mahu supaya hubungan umat Islam dengan semua pihak yang ada dalam negara ini berlaku dengan baik. InsyaAllah himpunan ini akan diadakan dengan aman. Kita akan menentang sebarang provokasi yang cuba mengalih keamanan yang kita nak wujudkan dalam himpunan ini.

"Kalau ada pihak tak bertanggungjawab, kita akan bertindak dan membantu polis untuk menghalang sebarang langkah provokasi yang boleh menimbulkan kekecohan.

"Dengan sebab itu saya harap seluruh rakyat akan bersama dengan kita dalam himpunan yang bersejarah ini untuk menyelamatkan negara kita dalam masa yang lebih panjang setelah kita mencapai kemerdekaan selama 60 tahun," katanya. - HARAKAHDAILY 3/12/2018