Projek PBT ditangguh atau batal

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid meminta pihak Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyertakan senarai projek dalam pembangunan skala kecil di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi setiap negeri.

Katanya, merujuk kepada butiran berkaitan projek kecil di kawasan PBT yang mendapati peruntukan diberikan dalam projek kecil kawasan PBT telah meningkat kepada RM82.76 juta.

Semasa membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Dewan Rakyat, beliau turut meminta pihak kerajaan bagi menyertakan bilangan projek yang masih dalam kajian serta dalam penangguhan ataupun akan dibatalkan.

Jika ada pembatalan dan juga penangguhan, beliau meminta agar pihak berkenaan menyatakan sebab di atas pembatalan serta penangguhan tersebut.

Berdasarkan perbelanjaan pembangunan yang diperuntukan dalam projek tersebut beliau turut mempersoalkan berkenaan pembahagian peruntukan yang akan diberikan kepada setiap negeri yang terlibat.

Malah beliau mempersoalkan apakah keutamaan dan syarat yang diberikan oleh pihak kementerian dalam menyalurkan bantuan dan peruntukan tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau mengharapkan peruntukan tersebut turut dapat disalurkan kepada Parlimen Kemaman khususnya Majlis Pembandaran Kemaman. – HARAKAHDAILY 4/12/2018