Mekanisma bayaran vaksin kepada pelarian

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan apakah mekanisma yang boleh digunakan oleh pihak Kementerian Kesihatan berhubung dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan kad kepada pelarian untuk menanggung kos bayaran vaksin.

Beliau membangkit soalan tersebut ketika mencelah waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

"Jika kita kenakan bayaran vaksin kepada golongan yang tidak mempunyai dokumen, sebahagian daripada mereka tinggal di kawasan pedalaman, mereka juga adalah pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR)," ujar beliau.

Menjawab soalan tersebut, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dari segi pemegang kad UNHCR, Malaysia masih belum lagi meratifikasi dan mengiktiraf mereka sebagai pelarian.

"Hal ini kerana kita dikekang dengan status dan situasi mereka sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI). Jadi mereka terpaksa dikenakan bayaran.

"Tetapi mereka diberikan belas ihsan kerana diberikan potongan sebanyak 50 peratus dari sudut pembayaran," katanya.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Kalabakan Ma'mun Sulaiman meminta Menteri Kesihatan menyatakan apakah prosedur untuk memastikan kanak-kanak yang lahir di Malaysia yang tidak memiliki dokumen lengkap seperti surat lahir boleh diberikan vaksin yang amat diperlukan untuk pertumbuhan pembesaran sempurna kanak-kanak tersebut. – HARAKAHDAILY 6/12/2018