Dewan tegang isu MP Cameron Highlands

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini tegang apabila isu perintah keluar dewan terhadap Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato' C Sivarraajh semalam dibangkitkan kembali oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Dato' Sri Bung Moktar Radin.

Ketegangan ini berlaku apabila Ahli Parlimen Kinabatangan bangit mengemukan peraturan mensyuarat meminta Speaker untuk membuat 'rolling' dan memberi keputusan terhadap kedudukan Ahli Parlimen Cameron Highlands.

Speaker Dewan Rakyat, Dato' Mohamad Ariff Md Yusof berkata beliau tidak mengatakan bahawa akan membuat 'rolling' hari ini.

"Saya telah berjumpa dengan Cameron Highlands dan bercakap dengan peguamnya, dan memohon supaya mereka mendapatkan keputusan penuh oleh Hakim Mahkamah Tinggi supaya semua orang dapat memahami keputusan mahkamah.

"Dan saya juga diberitahu oleh Cameron Highlands rayuan belum difailkan dan akan mengeluarkan keputusan selepas menerima keputusan hakim mahkamah," katanya.

Kenyataan speaker tersebut disanggah oleh Bung yang mempersoalkan speaker sudah mendapat notis daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau belum.

Dewan menjadi lebih tegang apabila beberapa ahli parlimen pembangkang bangun mempersoalkan tindakan speaker meminta Cameron Highlands untuk keluar dewan.

Ahli Parlimen Tapah mempersoalkan dokumen yang digunakan oleh speaker sehingga membuat keputusan mengarahkan Cameron Highlands keluar dewan.

"Apakah Yang Dipertua berpandukan oleh perlembagaan atau faktor-faktor daripada luar?" soalnya.

Ahli Parlimen Bera, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob berkata speaker telah menghukum Cameron Highlands walaupun dari segi kuasa untuk menghukum tiada pada speaker.

Dato' Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang merujuk kepada Seksyen 36A(2) jelas mengatakan bahawa Mahkamah Pilihan Raya perlu membuat suatu perakuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 14 hari selepas tempoh rayuan.

"Sekiranya tiada rayuan dibuat, barulah Mahkamah Pilihan Raya memberi satu, yang disebut dalam akta itu, perakuan kepada SPR.

"Kemudiannya, barulah SPR memaklumkan kepada Yang Berhormat selaku speaker Dewan Rakyat. Itu pemahaman jelas dalam akta," jelasnya.

Dalam masa yang sama, Awang Hashim (PAS-Pendang) bangkit supaya speaker membuat pengarahan memanggil semula Ahli Parlimen Cameron Highlands dan memohon maaf.

"Kita minta keputusan kemarin yang dibuat oleh Dato' speaker kerana 'mistake' daripada Jelutong. Ini kita rasa perkara yang memalukan Cameron.

"Jadi kita minta Dato' speaker untuk membuat pengarahan Cameron dipanggil balik dan memohon maaf," ujarnya.

Dewan sedikit tenang apabila Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato' Ibrahim Tuan Man mencadangkan speaker supaya membuat keputusan mengenai kedudukan Sivaraajh sebagai Ahli Dewan Rakyat pada hujung persidangan hari ini.

"Ada dua isu pertama kita setuju bahawa ada tempoh rayuan selama 14 hari. Dalam tempoh tersebut, saya fikir dia (Sivaraajh) ada hak (berada dalam dewan)," katanya. – HARAKAHDAILY 6/12/2018