PTPTN: Bayar balik secara PGB ditangguh

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Selepas mendapat kritikan dari pelbagai pihak, kerajaan hari ini mengumumkan penangguhan sementara pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendididikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara potongan gaji berjadual (PGB).

Keputusan tersebut dibuat selepas selesai mensyuarat kabinet hari ini dan dimaklumkan menerusi entri Twitter Menteri Pendidikan seperti berikut: “Skim pembayaran balik potongan gaji berjadual PTPTN akan digantung buat sementara waktu sehingga kami menerima input dan maklum balas kolektif dari semua pihak berkepentingan".

Terdahulu, Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan mengumumkan bermula Januari 2019 kaedah PGB akan dilaksana mengikut peratus potongan daripada gaji peminjam berbanding kaedah lama yang bergantung kepada jumlah pinjaman dan tempoh bayaran balik.

Katanya, kaedah tersebut memberi faedah lebih besar kepada peminjam berpendapatan rendah.

Walau bagaimanapun, kaedah PGB mendapat kritikan daripada pelbagai pihak baik daripada pembangkang mahupun kerajaan.

Antaranya, Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Syahir Sulaiman berkata mekanisme baharu yang diperkenalkan PTPTN membebankan peminjam dan majikan.

Beliau menggesa kajian secara menyeluruh perlu dilakukan dengan mengambil pandangan semua pihak berkepentingan, khususnya peminjam itu sendiri.

"Isunya bukan sekadar mekanisma pembayaran balik pinjaman, tetapi keseluruhan ekosistem PTPTN meliputi aspek pendanaan, pembiayaan, pematuhan dan kesedaran," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Manakala Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, sistem baharu itu dilihat sebagai 'jerung yang sedang bersedia membaham mangsa' tanpa mengira kedudukan kewangan semasa para peminjam.

Turut mengkritik kaedah tersebut adalah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang berpendapat kaedah baharu itu jelas tidak adil kepada peminjam yang sedang membayar balik pinjaman. – HARAKAHDAILY 7/12/2018