25
Tue, Jun
34 Artikel Baru

Umno T’ganu bakal hilang kerusi parlimen

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu dijangka hilang semua kerusi Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

muhyiddinIni kerana, kata Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid, Umno hilang kerusi Parlimen Hulu Terengganu yang diwakili oleh Dato’ Rosol Wahid yang telah isytihar keluar Umno.

Menurutnya, Umno-BN hanya menang dua kerusi parlimen pada PRU14 lalu iaitu Hulu Terengganu dan Besut daripada lapan kerusi.

“Hari ini, kerusi Umno-BN Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid telah isytihar keluar parti (Umno) jadi Bebas. Ada sumber lain kata kerusi Parlimen Besut (Dato’ Seri Idris Jusoh) juga tergugat sekarang.

“Jika Idris Jusoh juga umum keluar parti (Umno), maka BN Terengganu akan kehilangan semua kerusi parlimen yang dimenang dalam pilihan raya lalu,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Muhyidin yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu menyifatkan, tindakan keluar parti itu boleh dianggap mengkhianati mandat rakyat pada pilihan raya lalu.

Rosol dalam kenyataannya kepada akhbar kumpulan News Straits Times Press (NSTP) hari ini, mengumumkan keluar Umno dan menjadi ahli Bebas.

Beliau merupakan bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu dan mantan Ahli Exco Kerajaan BN Terengganu, ketika Idris sebagai Menteri Besar Terengganu tahun 2004-2008.

Menurut sumber, Idris yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi dijangka mengikuti jejak langkah Rosol. – HARAKAHDAILY 14/12/2018