21
Tue, May
31 Artikel Baru

Bohong, khianat: Baik serah semula mandat rakyat

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: PAS sejak awal tidak yakin dengan segala dijanjikan PH sekiranya koalisi itu dapat memerintah negara ini, demikian kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

"Hari ini, ianya terbukti benarnya PAS dan rakan-rakan dalam Gagasan Sejahtera. Bagaimana PH yang telah menabur janji begitu banyak kepada rakyat (kononnya apa) mereka akan buat dalam tempoh 100 hari.

"(Tapi) Setelah sembilan bulan PH mengambil tampuk pemerintahan daripada BN, kita rakyat menyaksikan bagaimana satu demi satu pembohongan dan pengkhianatan dilakukan terhadap rakyat.

"Kita masih ingat, pemimpin PH pernah berucap, jika sekiranya hari ini PH memerintah Malaysia, harga minyak akan turun. Adakah harga minyak sudah turun hari ini? Tidak," bidasnya pada program Hit & Run Derita Rakyat, di SOGO, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, segala janji-janji yang telah dinyatakan PH tidak dapat dilaksanakan mereka antaranya PTPTN tidak dimansuhkan, manakala GST walaupun dihapuskan, tetapi digantikan dengan SST.

Tempelak beliau, hal tersebut menunjukkan PH tidak berakhlak, bermoral dan beretika dalam politik kerana berbohong dan mengkhianati rakyat, sedangkan ianya perkara penting dalam politik.

"Kalau kita perhatikan di negara-negara yang betul-betul melaksanakan demokrasi, apabila rakyat memilih satu-satu parti memerintah, bila parti itu tidak boleh menunaikan janji, maka parti itu akan letak jawatan.

"Serah balik kuasa pada rakyat. Hari ini kita mahu nyatakan kepada Kerajaan PH, kamu telah bohongi rakyat, kamu telah khianati rakyat. Kamu mesti turun kuasa, beri balik kepada rakyat buat keputusan," gesanya.

Menyatakan solidariti kepada seluruh rakyat terutama kalangan petani, nelayan, peneroka dan pekerja agensi kerajaan serta swasta, beliau kesal belanjawan kepada semua golongan itu dikurangkan.

Malah, Adun Batu Buruk itu juga melahirkan kekecewaan berikutan begitu banyak perkara di masa lalu tidak berubah, sebaliknya rakyat kekal terbeban akibat dikhianati dan dibohongi Kerajaan PH.

Pun begitu tegasnya, pentas demokrasi akan terus digunakan Pemuda PAS untuk memberikan kesedaran kepada rakyat hingga berlaku perubahan menolak PH yang gagal memahami denyut nadi rakyat.

Jelasnya juga, polisi-polisi dibawa PH bukan sahaja kabur dan tidak menentu, sebaliknya tidak menyelesaikan kesempitan hidup dan kos sara hidup yang meningkat disamping pelbagai masalah ekonomi.

Tambahnya, janji kosong PH memberi kesan kepada rakyat kebanyakan termasuk di pedalaman yang turut merasai keperitan hidup sedang dialami di bawah pemerintahan PH hari ini. - HARAKAHDAILY 1/1/2019   

IMG 20190101 WA0021

IMG 20190101 WA0022

IMG 20190101 WA0020