Adakah Taiping bandar mampan?

Kawasan kediaman mewah yang dibina di lereng curam.

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Sahabat Alam Malaysia (SAM) mempersoal 'Green Destinations' menilai dan mengiktiraf Taiping sebagai Antara 100 Destinasi Mampan 2018.

Menurut presidennya, SM Mohamed Idris, berdasarkan kepada tinjauan SAM baru-baru ini di sekitar bandar Taiping, didapati pelaksanaan beberapa kegiatan pembangunan tidak mesra alam dan mampan terutama pembangunan di lereng yang berkecerunan 25°.

Tambahnya, tinjauan SAM ialah di kawasan perbukitan Jalan Kamunting Lama, Jalan Bukit Mas, kawasan berhampiran kolam simpanan air Lembaga Air Perak, Kamunting serta kawasan perbukitan berhampiran Taman Kuningsari, AIr Kuning.

“Adakah kegiatan-kegiatan pembangunan tersebut mematuhi beberapa garis panduan seperti Garis Panduan Perancangan Perumahan (GP001-A) dan garis panduan lain seperti untuk mengambil bahan batuan (kuari)?” tanya beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, sesuatu perancangan perumahan perlu mengambil kira elemen-elemen seperti kesesuaian tapak, pemeliharaan topografi dan alam semula jadi agar tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Sebagai contoh, ujarnya berdasarkan Bahagian A, Perkara 6 iv) Prinsip Perancangan: Alam Sekitar Semula jadi Yang Terpelihara, Garis Panduan Perancangan Perumahan (GP001-A), pembangunan perumahan perlu mengambil kira pemeliharaan topografi, pengekalan dan penyesuaian dengan persekitaran semula jadi.

“Adakah pihak 'Green Destination' telah turun padang dan meninjau ke setiap kawasan di Taiping dan persekitarannya sebelum memberi pengiktirafan?” soalnya lagi.

Menurutnya, SAM juga mempersoal adakah 'Green Destination' sebuah badan atau organisasi piawaian dan akreditasi yang diiktiraf.

Oleh itu, kata beliau SAM berharap kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) umumnya supaya lebih peka kepada setiap permohonan pemajuan pembangunan dan perancangan guna-tanah agar tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat setempat. – HARAKAHDAILY 1/1/2019

batuanKerja-kerja pengambilan bahan batuan berhampiran kawasan kediaman dan tumpuan awam.

lereKawasan pembangunan di lereng bukit berhampiran taman perumahan.