21
Tue, May
17 Artikel Baru

SRITI Al-Qawwam sejarah buat PAS Nibong Tebal

Berita
Typography

NIBONG TEBAL: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Tahfiz Al-Qawwam yang memulakan sesi persekolahan pertama tahun ini telah menjadi sejarah penting kepada PAS Kawasan Nibong Tebal.

Dioperasikan oleh Dewan Pemuda PAS Nibong Tebal bersama pihak PAS Kawasan, ia kini beroperasi di lot perniagaan dua tingkat di No.25 Taman Seri Acheh, di sini.

Pada pembukaan pertamanya yang bermula hari ini, seramai 13 pelajar memulakan sesi pembelajaran mereka mengikuti pengajaran disampaikan tiga guru.

SRITI yang merupakan kesinambungan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) merupakan satu lagi inisiatif Dewan Pemuda PAS Malaysia yang kini mempunyai cawangan di seluruh negara dengan memperkenalkan integrasi akademik, diniah dan tahfiz.

Ianya menjadi sebahagian usaha PAS di bidang pendidikan yang dilengkapkan juga dengan Taman Asuhan Tunas Islam (TASTI) di bawah Dewan Muslimat PAS Malaysia, selain institusi pengajian tingginya seperti Kolej Universiti Zulkifli Muhammad (KUIZM) dan lain-lain.

Kini Pemuda PAS sedang menggiatkan pula pembentukan Sekolah Menengah Integrasi Tunas Islam (SMITI) yang akan memulakan operasinya tidak lama lagi.

Warga Nibong Tebal dan berhampiran yang berminat mendapatkan maklumat mengenai SRITI Tahfiz al-Qawwam boleh hubungi Pengerusi, Ustaz Farid Din di talian 013-6298600 atau Mudir, Ustaz Mushawir Rashid, 011-20892824. - HARAKAHDAILY 2/1/2019