21
Wed, Aug
32 Artikel Baru

Bayar gaji pegawai 'bidan terjun politik' RM23K

Berita
Typography

KUALA KEDAH: Ketua Pembangkang Dun, Muhammad Sanusi Md Nor membidas tindakan kerajaan negeri melantik konsultan yang disifatkannya sebagai pembaziran dan bukan keperluan terhadap isu air di negeri ini.

Menurutnya, masalah perkhidmatan bekalan air itu telah sedia diketahui oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA), Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN), Jabatan Pembangunan Persekutuan (ICU) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA).

Dedah beliau juga, pelantikan konsultan menggunakan pembiayaan dari SADA itu turut dilakukan bersama dengan pelantikan seorang pegawai secara 'bidan terjun politik' ke SADA yang dibayar gaji atas permintaannya sebanyak RM23,000 sebulan.

Sedangkan ujar Sanusi, terdapat kakitangan di SADA yang telah berkhidmat begitu lama lebih 20 tahun dengan agensi perkhidmatan air di negeri ini tetapi bergaji hanya sekitar RM6,000 hingga RM7,000 sahaja.

Tempelaknya juga, kerajaan negeri dilihat tidak serius menguruskan masalah air sedangkan ia termasuk hal tempat dan infrastruktur keselamatan serta sensitif yang tertakluk di bawah Majlis Keselamatan Negara.

Terang Sanusi, masalah perkhidmatan bekalan air di negeri ini adalah kerana infrastrukturnya yang sudah terlalu tua dan uzur di mana berlaku banyak kerosakan dan kebocoran, selain beroperasi ditahap melebihi kemampuan.

Malah katanya, infrastruktur yang ada juga telah ketinggalan 15 tahun di belakang dari keperluan sebenar dalam negeri di mana kerajaan perlu membina sekurang-kurangnya lima lagi loji baharu untuk tujuan tersebut.

"Dulu Kerajaan BN buat hutang bekalan 'ayaq' (air) RM2.2 bilion, termasuk hutang itu bawa ayaq pi Langkawi pasang paip 46 kilometer bawah dasar laut, RM180 juta.

"(Tapi) Hutang RM2.2 bilion, infrastruktur tak buat, diagih projek dekat kroni, tanam paip saja," bidasnya ketika berceramah di Markas PAS Kubang Rotan, di sini kelmarin.

Menurut beliau, bagi membina lima loji rawatan tersebut, kerajaan memerlukan kos sekurang-kurangnya RM1 bilion, seterusnya perlu memasang paip baharu bagi menyampaikan bekalan kepada keperluan ramai. - HARAKAHDAILY 12/1/2019