21
Wed, Aug
32 Artikel Baru

Penuhi ciri dan syarat, yakini Islam menang

Berita
Typography

GOMBAK: Kumpulan atau parti Islam mestilah mempunyai dua ciri dan sifat sebagaimana dinyatakan Allah pada ayat 104 surah Ali-Imran iaitu berdakwah kepada kebajikan, serta kuasa politik menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memperincikan, berdakwah kepada kebaikan atau 'al-khair' telah ditafsirkan oleh para mufassirun sebagai seluruh ajaran Islam yang sempurna.

"Merangkumi kehidupan manusia dalam hubungan dengan Allah, diri, keluarga, masyarakat, ekonomi, politik, kebudayaan dan segala-galanya. Tajuk perjuangan kita ialah Islam. Kita mesti mendakwahkan manusia kepada Islam yang menyeluruh.

"Masalah pembahagian kerja, masalah kemampuan, itu satu cerita lain. Tetapi mesti kefahaman Islam dengan makna yang menyeluruh. Maka PAS menjadikan dakwah, sebahagian daripada ciri perjuangannya.

"Yang kedua ialah kuasa politik menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, disebut dalam hadis dengan lisan, dengan tangan. Tangan ini kekuasaan. Dengan lidah, dengan hati, benci dalam hati. Ini tiga ciri penting amalan politik.

"Pertama mendapat kuasa pemerintahan, dengan tangan. Kuasa mengkritik dan menasihat sebagai pembangkang (bila) kita tak menang. Ketiga menunjukkan rasa, demonstrasi, protes," jelasnya pada Liqa' Fikri PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, hari ini.

Begitu juga katanya, untuk mendapat kemenangan dunia dan akhirat, mestilah dengan syarat-syarat Islam di mana tidak cukup dengan ilmu, tetapi mestilah memahami untuk pelaksanaannya dengan bijak dan tidak lari dari dasarnya.

Jelas beliau, tidak boleh secara matlamat menghalalkan cara di mana setiap amalan dan ibadah itu ada fekahnya, selain tuntutan melaksanakan perjuangan supaya umat menegakkan Islam dengan ilmu dan tarbiyah.

"Ilmu untuk mendapat maklumat. Tarbiyah untuk membina jati diri dan berjuang melaksanakan, menterjemahkan apa yang diketahui itu. Dua-dua perkara ini wujud dalam parti kita. Kita kena sedar di sana ada program yang dilakukan teratur parti secara berkala.

"Lajnah Tarbiyah, Lajnah Penerangan, Dewan Ulamak, termasuk Liqa' Fikri. Ini ialah majlis menambahkan ilmu, termasuk kuliah umum, termasuk madrasah, pondok-pondok, surau," terangnya.

Malah menurut Tuan Guru, sejak dahulu lagi para ulamak PAS terlibat masuk ke pusat-pusat pengajian tinggi mengilmukan mahasiswa selain membuat pelbagai kajian dan kertas kerja disamping peranan para pensyarah.

Berkenaan berjaya atau tidak, beliau memetik ayat 32 surah Fatir dengan mengingatkan bahawa terdapat mereka yang menzalimi diri sendiri apabila lari diseparuh jalan perjuangan atau tidak menjalankan tugas.

Sebaliknya Tuan Guru menyeru sebagaimana Nabi sebut iaitu beramal dengan ilmu dan ikhlas supaya Allah tambah ilmu yang tidak diketahui dan diberi kekuatan kepada diri dengan ilmu dikemukakan.

"Contohnya Ahli-ahli Parlimen kita di Parlimen. Kita tahu soalan nak bagi ke kita? Kita tak tahu orang Umno nak tanya apa, DAP nak tanya apa. Tapi Ahli Parlimen kita boleh jawab, boleh berhujah. Ini ilmu yang Tuhan beri, bukan dengan baca. Ini hasil tarbiyah.

"Kalau kita beramal dengan ilmu, Tuhan tambah ilmu kepada kita dan menambahkan semangat perjuangan. Bila kita rapat dengan Tuhan, menambahkan tarbiyah. Tarbiyah meningkatkan hubungan dengan Allah Taala, menjadi pejuang yang gagah berani.

"Sehingga merasakan bahawa penjara, buang daerah, bunuh, banding dengan masuk neraka pada Hari Kiamat, kecil sangat, kecil sangat. Orang janji nak beri kesenangan dunia, jadi Menteri pangkat tinggi, pangkat macam-macam.

"Banding dengan syurga yang Tuhan janji, kecil sangat. Ini menimbulkan keikhlasan melalui tarbiyah," jelas beliau di hadapan kira-kira 3,000 peserta yang hadir dari seluruh negara.

Beliau juga membangkitkan motivasi peserta terhadap keyakinan kepada kemenangan Islam di mana PAS akan dapat menguasai Putrajaya suatu masa nanti dengan izin Allah yang dikaitkannya dengan keyakinan dipasakkan Nabi kepada 'Adi bin Hatim. - HARAKAHDAILY 12/1/2019