24
Wed, Apr
28 Artikel Baru

PAS Kudat bantu mangsa kebakaran di P. Banggi

Berita
Typography

KOTA KINABALU: PAS Kawasan Kudat dengan kerjasama Khidmat Malaysia Negeri Sabah telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, di sini.

Pengerusi Khidmat Malaysia Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin berkata, pihaknya telah turun memantau secara dekat dan memfokuskan usaha bantuan bencana kepada mangsa.

Maklum beliau, pihaknya telah menghantar satu pasukan khas diketuai oleh Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Sabah, Mohd Tarmizi Yahya bagi tujuan tersebut.

"Bantuan bencana satu keperluan semasa yang mesti dihulurkan semua pihak. Ketepikan sebarang perbezaan warna, agama, geografi dan kita perlu melakukan sinergi dan kolaborasi untuk memastikan semua bantuan ini dapat meringankan beban mangsa," katanya.

Sebanyak 81 rumah kediaman musnah mengakibatkan seramai 303 penduduk kehilangan tempat tinggal dalam kejadian kebakaran besar itu, kelmarin.

Bagaimanapun, semua mangsa yang terlibat telah dipindahkan ke lokasi pemindahan sementara berhampiran.

PAS Kudat telah membuat penyerahan bantuan awal pada hari kejadian dan terus melakukan pemantauan secara lebih dekat untuk membantu meringankan beban mangsa kebakaran.

Justeru itu, PAS Kudat mengalu-alukan sebarang sumbangan masyarakat kepada mangsa kebakaran yang boleh disalurkan melalui PAS Kudat menerusi akaun AmBank Islamic bernombor 1690-0201-5407-3 dan sebarang maklumat lanjut hubungi 013-200 2197. - HARAKAHDAILY 15/1/2019  

Screenshot 20190115 0839392

IMG 20190115 WA0015