Pemuda P. Pinang anjur Tournament Futsal

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan Tournament Futsal yang dilangsungkan di Safira Sport Planet, Seberang Jaya, kelmarin.

Pertandingan melibatkan penyertaan 16 pasukan dari seluruh negeri itu dijayakan dengan mewajibkan minimum empat Exco Pemuda PAS Kawasan didaftarkan sebagai pemain.

Perasmian penuh meriah telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Afnan Hamimi Dato' Taib Azzamudden dan tazkirah khas dari pendakwah, Ustaz Halim Din.

Pertandingan didahulukan dengan para peserta menunaikan solat Zohor berjamaah di atas gelanggang, selain disyaratkan semua pemain menutup aurat sepanjang program tersebut.

Pengarah Jabatan Kesenian, Budaya dan Sukan (DACS) Pulau Pinang, Muhammad Akmal Abdul Rahman berkata, pertandingan kali ini membuka penyertaan awam yang bergandingan bersama Pemuda PAS.

Menurutnya, penganjuran itu juga sebagai galakan beriadah untuk kesihatan selain mengikat ukhuwah sesama Muslim sebagai antara tuntutan di dalam Islam.

Pada edisi tersebut, pasukan Dewan Pemuda PAS Nibong Tebal muncul juara, manakala naib juara disandang Dewan Pemuda PAS Jelutong diikuti dari Kawasan Bagan dan Bukit Mertajam di tempat ketiga dan keempat. - HARAKAHDAILY 29/1/2019 

IMG 20190129 WA0012

IMG 20190129 WA0013