22
Thu, Aug
33 Artikel Baru

Hari Hijab didik diri wanita jadi mulia

Berita
Typography

KEMAMAN: Kaum muslimah perlu memuliakan diri mereka dengan memenuhi tuntutan berhijab dan menjaga aurat sebaiknya yang merupakan perintah Allah S.W.T.

Demikian seru Ustazah Husna Abdul Rahman yang merupakan isteri Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili sempena Terengganu Hijab Day 2019 di Pantai Kuala Kertih, di sini semalam.

Terang beliau, memenuhi kewajipan tersebut bukan sahaja menyebabkan penampilan seseorang dipandang mulia oleh masyarakat, bahkan juga di sisi Allah.

"Berhijab juga bukan hanya sekadar menutupi rambut dan kepala, lebih dari itu Allah S.W.T memerintahkan kepada muslimah untuk menutup auratnya iaitu seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan.

"Inisiatif mengadakan program seperti ini juga dapat membawa mesej yang jelas demi memartabatkan wanita Islam di negara kita," ujarnya di hadapan lebih 300 peserta program itu.

Pengarah Sambutan (Peringkat Kemaman), Nor Arbaeyah Wahab berkata, program tahunan tersebut adalah cetusan aktivis, Nazma Khan sejak tahun 2013.

Menurutnya, Nazma memperkenalkan 'World Hijab Day' sebagai sambutan setiap 1 Februari setelah beliau dibuli dan menjadi mangsa diskriminasi kerana dirinya yang berhijab.

"Menurut Nazma, kebanyakan orang anggap hijab sebagai simbol penindasan. Dengan cara ini Nazma berharap ia mengubah fikiran orang bukan Islam mengenai wanita Islam berhijab," terangnya.

Program seumpama itu turut diadakan serentak di Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu dan Arena Square Dungun anjuran bersama Adun Wanita, Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) dan Nisa Terengganu. - HARAKAHDAILY 2/2/2019

 IMG 20190202 WA0018

IMG 20190202 WA0019