23
Tue, Apr
24 Artikel Baru

Masyarakat Hainan dirai pada Tahun Baharu

Berita
Typography

KEMAMAN: Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili hadir meraikan program sambutan Tahun Baharu Cina masyarakat Hainan di Kampung Air Jernih, Kemasik, di sini, kelmarin.

Dalam ucapannya beliau berkata, kerajaan negeri mengakui peranan serta sumbangan besar masyarakat Tionghoa terutama dalam sektor pelancongan dan ekonomi di Terengganu.

"Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sangat mengharapkan agar masyarakat Tionghoa di negeri ini sentiasa menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan program pembangunan untuk kesejahteraan seluruh rakyat Terengganu.

"Kerajaan PAS Terengganu tidak pernah meminggirkan masyarakat bukan Islam dalam pembangunan negeri ini. Kerajaan negeri sentiasa memberi peluang dan ruang kepada semua kaum.

"Beliau mahu kita semua untuk bersama-sama terlibat dalam memimpin dan membangunkan negeri selaras hasrat menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang 2030," ujar beliau.

Sementara itu, menurut Setiausaha Persatuan Hainan Kemasik, Wang Kwee Fong, 50, perkampungan Cina Hainan yang terletak 7 kilometer dari Pekan Kemasik ini telah wujud lebih 110 tahun lalu.

"Kebanyakan penduduk di kampung ini adalah generasi ketiga dan keempat dari Kepulauan Hainan, sebuah wilayah yang terletak di Selatan China setelah nenek moyang mereka datang belayar mencari penempatan baharu di Terengganu.

"Jumlah kami tidak ramai, hanya kira-kira 300 orang, walaupun hidup dikelilingi masyarakat Melayu, namun budaya dan tradisi kaum Cina Hainan tetap dikekalkan sehingga kini.

"Kami fasih berbahasa Melayu dalam dialek Terengganu," kata beliau yang masih bertugas sebagai seorang guru tadika di kampung tersebut.

Pengerusi Persatuan Hainan Kemasik, Po Say Wan, 88, pula memberitahu, ayahnya datang berhijrah ke Terengganu ketika berusia 16 tahun dan kegiatan ekonomi utama keluarga ayahnya ketika itu ialah melalui tanaman kelapa sawit dan getah.

“Tak lama selepas itu, ayah pulang ke Hainan untuk berkahwin dengan emak saya di sana dan kembali semula untuk menetap di Air Jernih. Memang kawasan ini meriah pada waktu itu dengan kepadatan penduduk Hainan hampir 6,000 orang.

“Seiring perubahan masa, orang Cina Hainan telah banyak berhijrah keluar Terengganu untuk mencari pekerjaan dan membina kehidupan yang lebih baik antaranya ke Klang, Selangor, Tangkak di Johor dan Port Dickson di Negeri Sembilan,” katanya yang masih mempunyai daya ingatan yang kuat.

Pengunjung yang datang ke perkampungan itu pasti kagum dengan persekitaran rumah kedai dua tingkat diperbuat daripada kayu, persis berada di sebuah pekan kecil di negara China. - HARAKAHDAILY 11/2/2019

IMG 20190211 WA0001  

IMG 20190211 WA0002 

IMG 20190211 WA0003

IMG 20190211 WA0004

IMG 20190211 WA0005