23
Fri, Aug
33 Artikel Baru

KAKA pertingkat kemahiran anggota JAM

Berita
Typography

MELAKA: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Zon Selatan yang terdiri daripada negeri Negeri Sembilan, Melaka dan Johor telah mengadakan Kursus Asas Kemahiran Amal (KAKA) 1 dan 2 di Dataran Amal, Bukit Larang, di sini sejak 8 Februari lalu dan berakhir semalam.

Kursus julung kali di peringkat Zon Selatan ini bertujuan memperkasa dan mempertingkatkan kemahiran anggota JAM agar mengikuti standard tugasan dalam operasi luar dan dalam, sama seperti agensi-agensi yang lain.

Program ini disertai lebih 50 anggota JAM Zon Selatan yang memberikan fokus kepada pendedahan asas dan kefahaman fungsi JAM kepada rakyat, kemahiran-kemahiran dalam operasi, bencana lapangan dan lain-lain.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup kursus ini berkata, JAM merupakan satu nama yang besar, cukup dikenali ramai dan patut dibanggakan.

"Di peringkat PAS Pusat, sedang merangka transformasi bagi memperkasakan imej dan kerja-kerja kebajikan. Anggota JAM juga, menjadi sebahagian dari usaha ini.

"Saya cukup yakin, dengan adanya program ini mampu menaik taraf kepakaran, kemahiran dan profesional setiap anggota JAM supaya gerak kerja dan operasi bersama masyarakat lebih tersusun dan orang lain tidak memperlekehkan," ujarnya.

Hadir sama, Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Ruhuddin dan Ketua Pengarah JAM, Mohd Nazree Mohd Aris serta Pengarah JAM Melaka, Fauzee Mohamed dan Pengarah JAM Negeri Sembilan, Abdul Rahman Arshad. - HARAKAHDAILY 11/2/2019   

IMG 20190211 WA0047

IMG 20190211 WA0048

IMG 20190211 WA0049