23
Tue, Apr
24 Artikel Baru

Bukan sahaja isu layak, tapi kualiti dan integriti

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kelulusan akademik sepatutnya boleh dijadikan nilai tambah atau kelebihan ke atas seseorang agar orang ramai merasa yakin untuk memilih orang itu mewakili mereka.

Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato' Dr Mahfodz Mohamed berkata, apatah lagi sekiranya orang itu adalah ahli politik yang diberi untuk memegang sesuatu portfolio kerajaan.

"Sudah pasti ia amat berguna untuk ahli politik itu diletakkan menjawat kementerian yang sesuai dengan kelayakan akademiknya.

"Jadi amat dangkal bila Menteri sendiri mengatakan tidak perlu ada kelayakan pun untuk menjadi ahli politik, YB dan seumpamanya," sanggah beliau.

Akui beliau, sungguhpun kelayakan akademik tidak menjadi ketetapan untuk menjadi Menteri atau ahli politik, tetapi isu sedang berlaku adalah rakyat menilai kualiti pada aspek integriti.

Jelasnya, rakyat mahu melihat mereka yang merupakan eksekutif kerajaan itu mempunyai ketelusan, kejujuran dan amanah tanpa melakukan perbuatan sebaliknya.

Tetapi isu sedang berlaku ujarnya, adalah sikap seolah-olah mempertahankan pembohongan, sedangkan ketika menjadi pembangkang mereka menegur penipuan dan kemungkaran.

Menurut beliau, tindakan memalsukan kelulusan dan kelayakan ijazah sebenarnya adalah perbuatan menzalimi dan mencemarkan nama baik institusi pendidikan tinggi yang dikaitkan.

"Ia juga menzalimi orang lain yang bersusah payah belajar, menuntut ilmu, menimba pengalaman, sedangkan ada pihak yang sewenang-wenangnya mengaku memiliki ijazah tertentu dengan cara palsu.

"Ini tidak telus dan ia merosakkan kualiti dan integriti diri menteri atau ahli politik berkenaan, secara tidak langsung juga bermakna kerajaan diwakilinya turut dilihat tidak berkualiti dan tidak berintegriti," hujahnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz menegur suara-suara yang bersikap mempertahankan individu terlibat dengan isu sedemikian.

Katanya, perbuatan seperti itu hakikatnya membentuk realiti BN 2.0 yang sepatutnya telah dijadikan iktibar oleh ahli politik sebagai punca penolakan oleh rakyat.

"Kenapa BN tersungkur? Kerana pentaksub yang mempertahankan kemungkaran. Penyokong PH kalau bersikap begini, sedarlah anda juga mempertahankan mungkar kerana ini soal integriti dan ketelusan.

"Jangan marah jika orang kata kerajaan sekarang banyak menipu, kerana pemimpinnya sendiri tiada integriti, tidak telus.

"Apakah kita memang perlu bersetuju dengan seloka "Siakap Senohong, Gelama Ikan Duri, bercakap bohong lama-lama jadi Menteri"?" ujarnya mengajak berfikir. - HARAKAHDAILY 12/2/2019