23
Tue, Apr
24 Artikel Baru

Umat Islam bantah teater seks ditayang di PP

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Jaringan Muslimin Pulau Pinang telah membuat laporan polis membantah tayangan teater "Sex In George Town" yang dijadualkan 14 Februari depan negeri itu.

Laporan turut melibatkan beberapa aktivis NGO dan politik itu telah diketuai oleh Ustaz Mohamad Hafiz Noordin di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Jelutong, semalam.

Gesa mereka, tayangan teater tersebut mesti dibatalkan serta-merta dan tidak menerima sama sekali hasrat oleh pembuat filem itu untuk menukar tajuknya.

Tegas mereka, teater bertema seks termasuk perbuatan luar tabii itu telah mencabar sensitiviti umat Islam, bahkan mencabar perundangan berkaitan sebaran bahan-bahan lucah.

Menurut Ustaz Hafiz, perkara sama pernah berlaku dua tahun lalu apabila ada pihak membawa masuk filem hubungan luar tabii dari Vietnam yang dilakonkan dua gay.

"Masa itu mungkin ada kesilapan. Tapi bila cuba dilakukan kali kedua ini, maknanya mereka sedang mempersendakan perundangan negara. Sedangkan kandungan teater ini tidak bermoral, tidak berakhlak.

"Kempen yang dibawa menerusi teater ini membawa kepada maksiat dan mungkar. Jadi hentikan teater ini," tegasnya kepada media selepas laporan itu.

Mereka juga bimbang kerana teater itu dipromosikan sempena Hari Valentine di mana percaya jika ia diteruskan pasti tayangan sama akan diadakan pula di bandar-bandar lain.

Oleh itu gesa mereka, demi menyelamatkan anak muda dan mengelakkan kucar-kacir kepada negara, usaha memartabatkan teater lucah oleh golongan Liberal itu mesti dikekang.

Mereka turut mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mujahid Yusof untuk turun ke negeri itu menangani bantahan masyarakat Islam terhadap teater tersebut. - HARAKAHDAILY 12/2/2019