Aura Ustaz Abdul Somad jalan sesak

Ustaz Abdul Somad menerima cenderahati daripada Menteri Besar.

Berita
Typography

KOTA BHARU: Jalan-jalan utama menghala ke Masjid Muhammadi di sini sesak teruk menjelang solat Jumaat ekoran kehadiran pendakwah terkenal nusantara, Ustaz Abdul Somad.

Pendakwah terbabit diundang khas menyampaikan kuliah dan berkhutbah.

Kesesakan di Jalan Sultanah Zainab, Jalan Post Office Lama dan Jalan Tengku Putera Semerak bermula jam sekitar 12 tengahari.

Malah petak parkir di segenap ruang di sekitar masjid penuh. Jawatankuasa Masjid Muhammadi terpaksa menghampar tikar di ruang pejalan kaki bagi menampung kehadiran ramai jemaah.

Seorang warga emas hairan mengapa begitu ramai jemaah hari ini. Beliau tidak tahu kehadiran pendakwah terbabit.

Hadir mengiringi Ustaz Abdul Somad, anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Mohd Nassurudin Daud dan pegawai kerajaan negeri.

Sebelum itu sejurus tiba di Kota Bharu Abdul Somad menziarahi keluarga arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pusaranya di Pulau Melaka.

Keluarga besar Nikmatillah melahirkan rasa gembira dapat menerima kunjungan tetamu istimewa tersebut.

Ahli Parlimen Bachok, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, keluarganya begitu berbesar hati menerima tetamu yang diundang kerajaan negeri.

"Kita juga berharap rakyat di negeri ini sentiasa mencintai ulama," ujarnya.

Ustaz Abdul Somad juga diraikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob pada jamuan tengahari di JKR 10. Hadir sama pendakwah ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus. - HARAKAHDAILY 15/2/2019