Syed Saddiq terhutang budi kepada Unit Amal

Berita
Typography

HULU LANGAT: Kekecohan yang berlaku antara kedua-dua penyokong Pakatan Harapan dan Barisan Nasional berjaya dileraikan oleh Jabatan Amal Malaysia (JAM) dengan kerjasama pihak berkuasa.

Bibit provokasi timbul selepas selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih berhampiran Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang yang berlangsung hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang diprovok penyokong BN ketika itu menyedari kewujudan Unit Amal yang hadir menyelamatkan beliau dari tindakan luar jangkaan penyokong BN.

Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu dalam satu hantaran di Facebook dan juga Instagram memuji tindakan anggota Unit Amal yang datang menghulurkan bantuan menyelamatkannya dari situasi panas tersebut.

"Bila diserbu, pihak polis yang berdekatan datang bantu. Unit Amal (PAS) yang nampak insiden pun datang untuk bantu kerana mereka nampak reaksi fizikal beberapa penyokong BN.

"Saya terhutang budi kepada pihak polis dan Unit Amal yang berdekatan. Tanpa mereka, saya tidak tahu apa akan jadi pada saya sekarang," ujarnya di dalam hantaran laman Facebook.

Ahli Parlimen Muar itu memaklumkan akan membuat laporan polis berkenaan provokasi tersebut pada jam 2 petang ini di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya. – HARAKAHDAILY 16/2/2019