24
Wed, Apr
25 Artikel Baru

Umno mohon maaf - Dato' Johan

Berita
Typography

HULU LANGAT: Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Dato' Johan Abd Aziz semalam tampil mengadakan permohonan maaf secara terbuka kepada PAS berikutan sengketa lama antara Umno dan PAS yang berlaku sejak zaman berzaman.

Kata Johan, beliau menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kepada semua ahli PAS selama perselisihan faham di samping mengharapkan kerjasama antara Umno dan PAS dapat diteruskan sehingga pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Malam ini saya nak merakamkan waktu pemuda, eh lama juga kita berselisih faham itu bukan sikit-sikit kadang-kadang itu waktu piilhan raya bermaki-maki sesama sendiri.

"Jadi saya malam ini selaku Umno ketua bahagian ingin melafazkan menyusun jari sepuluh memohon berbanyak maaf kepada semua warga PAS jika ada salah tutur kata dan sebagainya, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan.

"Ada pantun tuan-tuan, Hulu Beranang Hilir Beranang, Tengah-tengah kampung dacing, kerjasama Umno BN PAS bukan senang, inilah rahmat Allah pada muslim," ucapnya di hadapan hampir 50 ahli Umno dan PAS malam tadi.

Beliau berkata demikian dalam satu program ceramah umum calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang diadakan di rumah Ustaz Wan Azhar Taman Tasik Semenyih di sini.

Turut mengambil bahagian pada program tersebut, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Ahmad Marzuk Shaary, Ahli Dewan Undangan Negeri Sijangkang, Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Halimah Ali dan Ustaz Mokhtar Senik serta Pengarah Pilihan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, Ketua Puteri Umno kawasan dan calon BN.

Sebelum ini Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa PAS tidak akan menyokong Umno dalam PRK Semenyih namun dakwaan terbabit tidak sedikit pun menjejaskan kerjasama politik yang sedang berlaku antara Umno dan PAS ketika ini.

Menurut Johan yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Hulu Langat, beliau akui pada awalnya beliau merasa kekok ketika beberapa kali pertemuan dalam mesyuarat antara pimpinan Umno dan PAS peringkat negeri dan pusat namun akhirnya mengetepikan segala perasaan tersebut demi agenda menyelamatkan bangsa dan agama Islam negara ini. – HARAKAHDAILY 25/2/2019