Tidur tutup lampu

Gaya Hidup
Typography

SAYA sempat mendengar kuliah agama yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hagia berkaitan hadis menyarankan tutup api semasa tidur malam. Beliau menghuraikan bahawa peri pentingnya keselamatan rumah semasa tidur. Di samping bahawa Islam itu agama yang menyeluruh, Islam juga prihatin mengenai kesihatan tubuh badan seseorang.

Hadis penuh itu seperti berikut sebagaimana dimuatkan dalam kitab Riyadatussalihin:[1]

Dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لاَ تَتْرُكُوا النَّارَ فِى بُيُوتِكُمْ حِينَ تَنَامُونَ

“Janganlah biarkan api di rumah kalian (menyala) ketika kalian sedang tidur.” (HR. Bukhari no. 6293 dan Muslim no. 2015)

Dari Abu Musa Al Asy’ari radhiyallahu ‘anhu, ia berkata:

احْتَرَقَ بَيْتٌ بِالْمَدِينَةِ عَلَى أَهْلِهِ مِنَ اللَّيْلِ ، فَحُدِّثَ بِشَأْنِهِمُ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ « إِنَّ هَذِهِ النَّارَ إِنَّمَا هِىَ عَدُوٌّ لَكُمْ ، فَإِذَا نِمْتُمْ فَأَطْفِئُوهَا عَنْكُمْ »

“Ada sebuah rumah di Madinah terbakar mengenai penghuninya pada waktu malam. Kejadian tersebut lantas diceritakan pada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Api ini adalah musuh kalian. Apabila kalian tidur, padamkanlah api.” (HR. Bukhari no. 6293 dan Muslim no. 2016)

Sebagai ahli perubatan, mungkin hikmah penting hadis tersebut yang boleh dikaitkan dengan kesihatan. Saya terbaca satu catatan jurnal yang melaporkan kajian bahawa cahaya terang semasa tidur boleh menjadi risiko kanser. Kajian terbaharu itu dimuatkan dalam International Jurnal of Cancer (2017) oleh sekumpulan pengkaji dari Institut Kebangsaan Kesihatan Persekitaran Amerika. Kajian berbentuk kohort itu mengambil seramai 50,884 kes wanita selama lebih 7 tahun. Kajian dilakukan ke atas cara tidur, masa ketiduran, kesukaran tidur dan persekitaran bilik yang cerah atau penggunaan TV.[2]

Keputusan kajian mendapati 2,736 kes kanser payudara berlaku. Tidak terdapat bukti boleh dikaitkan dengan masa ketiduran dan cara tidur dengan risiko kanser. Namun wanita yang mengalami masalah sukar tidur ≥ 4 malam dalam seminggu berisiko tinggi menghidapi kanser payudara (HR = 1.32, 95% CI: 1.09-1.61) dan bagi wanita yang sudah putus haid, risikonya juga meningkat (HR = 1.51, 95% CI 1.24-1.85). Pecahan kepada kanser invasif payudara meningkat juga terhadap wanita yang tidur dalam suasana bilik bercahaya atau memasang TV sepanjang ketiduran (HR = 1.20, 95% CI: 0.97-1.47). Wanita yang tidak cukup tidur juga meningkat risikonya (HR = 1.21, 95% CI: 0.98-1.50).

Pun begitu, nasihat saya agar anda semua jangan terus sasau-minda (panic). Kajian ini baharu sahaja diterbitkan, sudah pasti selepas ini akan ada kajian balas atau hujahan dari pakar berkaitan validiti kajian yang dijalankan itu

Buat masa ini, pegang dahulu fakta tutup lampu semasa tidur baik untuk keselamatan dan kesihatan diri.

Sekian coretan petang dari suhazeli.com
Fb.Com/drsuhazeli
31.12.2017
Ketengah Jaya

Sumber:
[1] Syarh Riyadh Ash-Shalihin. Cetakan tahun 1427 H. Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin. Penerbit Madarul Wathan. https://rumaysho.com/10973-salah-kaprah-tentang-hadits-mematikan-lampu-ketika-tidur.html
[2] Int J Cancer. 2017 Dec 1;141(11):2204-2214. doi: 10.1002/ijc.30920. Epub 2017 Aug 22. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/28791684/?i=1&from