Air kencing unta

Gaya Hidup
Typography

KES kedua akibat dijangkiti oleh Virus Corona (Mers-Cov) telah diisytiharkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.[1] Kes pertama positif jangkitan virus Mers-Cov adalah pada pada 2015 yang lalu, juga melalui rentetan cerita yang agak sama. Mereka baru balik dari menunaikan umrah di Tanah Suci. Saranan dari KKM dan juga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar jemaah haji atau umrah supaya tidak melawat ladang haiwan khususnya unta, meminum produk hasil dari unta kerana risiko jangkitan virus Mers-Cov adalah tinggi.

Serangan MERS-COV pada tahun 2015 yang punca perebakannya dari Arab Saudi telah mencatat kematian seramai 502 (35%) orang daripada 1,413 kes positif. Kedua-dua penyakit ini menakutkan seluruh dunia pada ketika itu.[1] Sekarang ini pun Pertubuhan Kesihatan Sedunia masih mengeluarkan amaran kemungkinan jangkitan terus berlaku. Ianya begitu senang merebak kerana pergerakan manusia terlalu pantas.

Perumah kedua Virus Corona ini adalah binatang seperti unta, musang, babi, dan kucing. Kaedah transmisi virus ini dari kelawar sebagai perumah pertama ke perumah kedua tidak diketahui secara jelas. Tetapi dipercayai Virus Corona menghinggapi perumah kedua melalui hubungan langsung kelawar dengan binatang-binatang tersebut atau manusia itu sendiri. Manusia juga mudah dijangkiti dengan memakan daging, meminum susu, meminum air kencing, berpeluk cium atau terkena najis binatang-binatang berkenaan.[2] Biasanya para jemaah haji umrah akan menunggang unta di ladang unta yang mereka lawati. Berpeluk serta meminum susu dan kencing unta mentah sudah menjadi perkara lumrah. Bangga pulak berselfie. Risiko tinggi dijangkiti jika unta-unta berkenaan positif virus Corona.

drsuhazeliAda jemaah masjid yang bertanya kepada saya, adakah larangan itu telah bersalahan dengan hadis Rasulullah SAW? Sebagaimana hadis masyhur dari Sahih Bukhari dan Muslim mengenai saranan Rasulullah SAW kepada kaum 'Ukal?

Hadis yang diriwayatkan dari Anas Radhiallah ‘anhu yang berikut:

أنّ نَفَرًا مِنْ عُكْلٍ ، ثَمانِيَةٍ قَدِمُوا على رسول الله صلى الله عليه وسلم ، فَبَايِعُوه عَلى الإسلام ، فَاستوخَمُوا الأرضَ فَسَقِمتْ أجسَامِهِم ، فشَكَوْا ذلك الى رسول الله صلى عليه وسلم ، قال : ( أفَلاَ تَخْرُجُونَ مَعَ راعينًا في إِبِلِه فَتُصيبُونَ من البَانِهَا وأبوالها ) قالوا : بلى ، فخرجوا فشربوا من البانها وأبوالها فَصَحّوا فَقَتَلُوا رَاِعيَ رسول الله صلى الله عليه وسلم وأطردوا النّعَمَ
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Bahawa serombongan suku ‘Ukal seramai lapan orang datang menemui Rasulullah Shallallahualaihi wasallam, lalu mereka berikrar kepada Nabi untuk masuk Islam. Kemudia cuaca kota Madinah merimaskan mereka dan mengakibatkan tubuh badan mereka sakit-sakit, lalu mereka mengadukan hal itu kepada Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam. Baginda berkata kepada mereka: “Barangkali elok kamu pergi bersama tukang gembala kami kepada untanya, kemudian kamu dapatkan air kencing dan susunya.” Mereka menjawab : “baiklah”. Mereka pun pergi dan meminum susu dan kencing unta itu, setelah itu mereka pun sihat. Tetapi kemudian mereka membunuh tukang gembala Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam itu dan merampas unta-untanya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Kewujudan hadis ini tidak boleh dilihat sebagai satu arahan wajib atau dikombinasikan dengan beberapa hadis lain yang berkaitan dengan kaedah berubat. Pengesyoran Rasulullah SAW kepada suku 'Ukal itu adalah khusus kepada mereka yang ditimpa sakit, bukannya kepada semua orang. Atas dasar sifat dan kemuliaan mukjizat yang diturunkan ke atas Rasulullah SAW, baginda menyatakan kaedah berubat sesuai dengan zaman itu. Begitu juga kebolehcapaian (accessibility) sesuatu bahan pada masa tersebut. Sedangkan dalam hadis yang lain pula Rasulullah SAW menyatakan bijiran hitam adalah ubat segala penyakit. Sebagaimana riwayat dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

فِي الْحَبَّةِ السَّوْدَاءِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلَّا السَّامَ

“Pada habbatassauda itu ada penawar/ubat bagi semua penyakit kecuali mati.” (Hadis riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Pengamatan yang boleh kita lakukan kepada kedua-dua hadis berkenaan adalah, sesuatu ubat atau bahan yang disarankan mesti mengikut indikasi pemakaiannya. Dalam perubatan pun, kita tidak benarkan pesakit mengambil ubat kencing manis tanpa indikasi. Hanya pesakit yang sahih kencing manis dibenarkan mengambil ubat kencing manis seperti Metformin, Gliclazide, Insulin dan seumpamnya. Begitu juga ubat-ubatan kepada penyakit lain. Ianya terkhusus kepada jenis ubat dan penyakit yang sesuai setelah mendapat khidmat konsultasi dari ahli perubatan.

Isu kedua, adakah haram meminum najis seperti air kencing unta ini bagi tujuan perubatan? Di dalam kitab Ar-Raudh dan syarahnya sebagaimana yang dinukil oleh Syibramalisi disebutkan:[4]

ويجوز التداوى بِنَجَسٍ غير مسكر كلحم حَيّةٍ وَبَولٍ

Ertinya: “Dan harus berubat dengan najis, kecuali yang memabukkan, seperti daging ular dan air kencing.” (An-Nihayah 8/14)

Walau bagaimanapun, Imam An-Nawawi menyebutkan lagi pendapat lain, katanya: “Harus berubat dengan najis itu hanyalah apabila tidak ditemui ubat yang suci yang boleh menggantikannya. Jika ada ubat yang suci, maka haramlah berubat dengan najis tanpa diperselisihkan oleh ulama.” (Al-Majmu’ 9/55)

Apabila dipadankan pendapat ini dengan hadis yang melarang berubat dengan najis, maka pendapat inilah yang lebih sesuai, kerana larangan itu tetap tertakluk kepada: jika tidak ada ubat lain yang suci dan tidak pula dalam keadaan darurat.

Al-‘Izz bin Abdussalam Rahimahullah berkata:

جَازَ التّدَاوِى بالنّجَاسَاتِ إِذَالَمْ يجِدْ طَاهِرًا يقوم مَقَامِهَا ، لأن مَصْلِحَة العافية والسلامة أكمل من مصلحة اجتناب النجاسة ، ولا يجُوز التّداوى بِالخَمْرِ على الأصح

Ertinya: “ Harus berubat denagn najis apabila tidak ada ubat yang suci yang boleh menggantikannya, kerana maslahat kesihatan dan kesejahteraan itu lebih sempurna berbanding dengan maslahat menjauhi najis. Dan tidak harus berubat dengan arak mengikut pendapat yang sahih.” (Qawaid al-Ahkam 1/18)

Mufti Kerajaan Brunei menyimpulkan: “Maka menurut pendapat ulama mazhab Syafi’e berdasarkan analisis kepada ayat Al-Quran dan Hadis, bahawa berubat dengan air kencing itu adalah harus, termasuk kimia yang terkandung di dalam air kencing. Ini ialah apabila tidak ada ubat lain yang suci sebagai penggantinya”.[5]

Sebagai doktor perubatan, saya tidak mengesyorkan meminum air kencing unta, susu atau produk darinya pada masa ini. Menolak risiko kemudaratan dijangkiti virus Mers-Cov lebih penting dari kenikmatan khasiat meminumnya. Bukti sahih air kencing ini sebagai bahan untuk berubat pun masih dalam proses yang tidak berkesudahan. Sedangkan ubat pilihan bagi penyakit yang lebih pegun sudah pun ditemui dalam perubatan moden.

Sekian
Coretan isu terkini dari suhazeli.com
fb.com/drsuhazeli
2.1.2018
Bukit Besi

Pautan:
[1] Kes terkini Mers-Cov 2018. https://kpkesihatan.com/2018/01/01/kenyataan-akhbar-kpk-1-januari-2018-pengesanan-terkini-kes-warga-tempatan-yang-disahkan-dijangkiti-middle-east-respiratory-syndrome-coronavirus-mers-cov-sejurus-pulang-dari-mengerjakan-umrah/
[2] Haiwan perumah Virus Corona. https://virologyj.biomedcentral.com/articles/10.1186/s12985-015-0422-1
[3] Transmisi Virus Corona. http://www.who.int/mediacentre/factsheets/mers-cov/en/
[4] Berubat dengan air kencing unta. http://suhazeli.com/wp/?p=3215
[5] Disusun oleh Ustaz Ahmad Tarmizi Taha. Sumber: Badan yang mengisu fatwa, Jabatan mufti kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darulssalam oleh Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned. 2000