Sarapan pagi pengaruhi emosi anak

Gaya Hidup
Typography

SAMBIL saya menyiapkan bahan untuk memasak esok pagi, anak kedua saya buat permintaan.

"Ibu, esok boleh tak buat lempeng tak special. Zariff tak nak lempeng special tu. Suka yang tak special punya. Yang ibu selalu buat hari cuti tu."

Saya anggukkkan kepala saja. "Insya Allah kalau sempat ibu buat lempeng."

Saya suka hasilkan lempeng yang diadun bersama susu dan telur, dicampurkan oats untuk memberatkan hidangan, dan juga biji Chia ke dalam hidangan saya. Sedikit minyak zaitun sebagai lemak di dalam hidangan pagi anak saya.

Anak saya bercerita, ada kawan-kawannya yang pagi - pagi bersarapan mee goreng, nasi goreng dan sebagainya. Ada yang makan nugget dan sosej saja setiap hari. Ada makan biskut saja, emping jagung, bijirin sarapan segera dan pelbagai lagi makanan terproses. Ada yang pergi sekolah tanpa sarapan pagi.

Ya, pesakit saya juga ramai di dalam kategori terakhir. Tidak makan pagi sebelum ke sekolah. Alasan utama, "Tak lalu makan di pagi hari."

"Emak tidak masak."

"Tiada makanan di rumah. Minum Teh O saja."

"Makan RMT di sekolah."

Yang ini sekurangnya pelajar makan di sekolah.

Terdapat banyak kajian yang menunjukkan anak-anak yang tidak makan sarapan pagi mempunyai daya tumpuan yang kurang di sekolah, tidak fokus, tidak aktif, lebih lambat menyelesaikan kiraan matematik dan tugasan yang diberikan di sekolah. Ada juga kajian menunjukkan anak yang tidak bersarapan mempunyai simptom 'anxiety' dan depresi di sekolah.

Rasa lapar akan menyebabkan anak kelihatan letih, tumpuan kurang, daya berfikir kurang disebabkan oleh penurunan aras gula darah.

Anak yang bersarapan pagi mempunyai daya tumpuan yang lebih tinggi, fokus dan mempunyai gred yang lebih baik di sekolah.

Senang cerita, kita lihat balik pada diri kita. Sebelum mula berkerja, pasti kita akan mahu bersarapan dahulu. Makan kenyang-kenyang dan baru dapat mulakan tugas dengan lebih baik, memberikan idea yang hebat-hebat ketika bermesyuarat dan lebih fokus dalam melakukan tugas.

Berbanding jika belum bersarapan, kerja dan fokus akan terganggu disebabkan lapar, rasa anxiety apabila mesyuarat lambat habis.

Tambahan pula zaman kemelesetan ekonomi ni, mesyuarat jarang ada makan dan minum pagi. Maka bertambah berkeroncong perut. Tengok muka bos yang semangat terlajak bagi idea dan hujah itu ini pun sudah rasa mahu telan bos pagi hari lagi.

Itu kita yang dewasa dan rasional.
Anak juga begitu. Tiada bezanya.

Kajian juga menunjukkan anak yang mengambil hidangan makanan yang tinggi kalori dan tinggi kandungan gula sebagai sarapan, tidak menunjukkan peningkatan pada prestasi dan markah di sekolah. Tambahan, makanan tinggi gula menyebabkan anak hiperaktif di dalam kelas disebabkan paras gula darah yang tinggi menyebabkan tumpuan berkurangan.

Sebagai contoh minuman manis seperti minuman bermalt, atau jus atau air soda atau yogurt yang manis atau bijirin sarapan pagi yang bersalut gula dan pelbagai warna warni. Atau kuih muih yang manis dan bersalut gula. Ini semua hidangan tinggi kandungan gula.

Makanan yang terlampau berlemak dan berminyak menyebabkan anak lebih 'lemau', mengantuk dan lambat menyelesaikan tugasan di sekolah. Ini berkemungkinan kerana lemak lebih lambat dihadamkan dan memerlukan proses yang lebih panjang berbanding makanan rendah lemak.

Banyak hasil kajian menunjukkan anak yang mengambil hidangan yang berkualiti dan seimbang, mempunyai gred dan prestasi yang lebih baik.

Bagaimana sarapan yang berkualiti itu?

Mengikut kajian, makanan berkarbohidrat yang tinggi kandungan lemak, serat dan protein memastikan paras gula darah yang lebih stabil pada anak-anak, selain melambatkan pengosongan perut. Ia membantu anak fokus dengan lebih baik dan meningkatkan prestasi anak di kelas.

Berbanding makanan tinggi kandungan gula yang akan menyebabkan gula darah mencanak naik dengan cepat, dan kemudian akan turun menyebabkan anak akan aktif di kelas pada awalnya dan kemudian mulai kurang tumpuan.

Makanan seimbang dan berkualiti sebagai sarapan tidak sukar disediakan. Pastikan ia memenuhi ciri-ciri Pinggan Sihat. Mempunyai karbohidrat, serat dari sayur dan buah, dan juga protein.

Jika dilihat kepada makanan masyarakat Malaysia, banyak sebenarnya hidangan yang berkualiti. Sebagai contoh, nasi lemak yang diambil bersama timun yang banyak, dan lauk pauk seperti telur rebus, kacang tanah bakar, ikan bilis goreng dan sedikit sambal. Dikahwinkan bersama segelas susu rendah lemak, sudah cukup menjadi hidangan yang berkualiti buat anak.

Semangkuk bubur nasi bersama sayuran dan isi ayam juga cukup untuk mengenyangkan anak sehingga waktu rehat nantinya.

Sekeping sandwich bersama telur rebus dan keju, bersama sayuran yang dipotong kiub atau sandwich roti pita bisa juga dijadikan hidangan 'on the go' di dalam kereta jika tidak punya masa yang lama untuk makan.

Jika ibu-ibu tidak punya masa yang lama untuk masak, semangkuk bubur oats yang dikahwinkan bersama buah kering seperti kismis dan kurma, dicampur susu juga boleh dijadikan hidangan sarapan yang baik.

Atau paling ringkas, sekeping roti bersama telur hancur, dimasak bersama parutan lobak merah dan tomato di dalamnya sebagai serat untuk diambil anak sebagai sarapan pagi. Sudah cukup mengenyangkan anak.

Pastikan setiap pagi, anak mengambil segelas susu untuk membantu tumbesaran tulangnya. Berbanding minuman bermalt yang manis atau teh O bersama gula, susu adalah pilihan yang lebih baik.

Anak yang makan pagi, mempunyai status pemakanan yang lebih baik, mempunyai prestasi pelajaran yang lebih baik dan mampu memberi tumpuan di kelas dengan lebih lama.

Sarapan pagi adalah hidangan yang penting untuk semua selepas berpuasa lebih 12 jam di malam hari.

Sediakan sarapan pagi buat anak, ringkas tetapi pastikan ia berkualiti.

Ruqayyah Muhd
Dietitian Pediatrik USM