Bengkel dedah peserta masakan nasi Arab

Gaya Hidup
Typography
SUBANG: Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 18 dengan kerjasama Persatuan Wanita Prihatin Subang (Priwanis) telah menganjurkan Bengkel Memasak "Jom Kongsi Resepi" di Blok 11, Subang Perdana, di sini kelmarin.
 
Dengan 50 peserta berpartisipasi pada bengkel itu, mereka diterangkan teori dan menjalani praktikal masakan nasi Arab dan daging kambing yang didemonstrasikan pakar masakan, Chef Almas Sofia Muhammad Rafaai.
 
Penganjuran tersebut bertujuan menyediakan peluang kepada kaum wanita dan ibu dalam menambah kemahiran masakan demi memperkasakan kebolehupayaan menjana pendapatan tambahan keluarga.
 
Kepuasan jelas tergambar apabila semua peserta berjaya mengikuti langkah diajarkan dalam menyediakan menu yang semakin popular kepada rakyat Malaysia itu apabila bersama menikmatinya sebagai makan tengahari di situ.
 
Pada bengkel tersebut juga peserta dapat mengikuti pengisian rohani disampaikan pendakwah jemputan, Ustaz Ridzuan Ismail yang mengupas ayat 96 surah al-A'raf.
 
Jelasnya, amat penting keimanan dan ketakwaan yang akan menghadirkan kurniaan keberkatan dari Allah daripada pengamalan individu hingga negara, selain peranan golongan ibu melahirkan generasi sedemikian.
 
Ahli MPP Zon 18, Siti Rohaya Ahad turut menyampaikan ucapan penutup yang antara lain menyentuh isu kesedaran akidah berikutan keputusan mahkamah terhadap tiga anak keturunan India baru-baru ini. - HARAKAHDAILY 2/2/2018