Pelajar SRITI sertai Tahfiz Muda Astro

Gaya Hidup
Typography

TAHFIZ Muda 2017 merupakan sebuah program realiti yang menguji dan mencungkil kemahiran kanak-kanak terhadap kebolehan mereka dalam menghafaz kitab suci al-Quran.

Hampir 400 peserta dari Malaysia dan Indonesia hadir sesi ujibakat yang di adakan di Kuala Lumpur pada September dan Oktober 2017.

Seramai 12 finalis peserta yang berjaya menyertai program tersebut selepas sesi temu duga dijalankan, dua darinya merupakan pelajar Sekolah Rendah Integrasi Islam (SRITI) daerah Bangi, Selangor dan daerah Semporna, Sabah.

Pelajar tersebut ialah Tahfiz Muda Ahmad Fawwaz Ahmad Farhan (12 tahun) dan Tahfiz Muda Arif Nur Aiman Ahdin (12 tahun).

Program Tahfiz muda yang dianjurkan oleh siaran rancangan Astro Oasis ini telah dijuarai oleh Tahfiz Muda Muhammad Mikail. Penglibatan Tahfiz Muda Fawwaz ke program tersebut adalah sejajar dengan motto SRITI iaitu melahirkan generasi al-Quran.

SRITI Bangi telah mewujudkan Jabatan Bakat di sekolah tersebut dengan harapan dapat mencungkil bakat anak-anak dan menggilapnya lebih mahir dalam bidang yang diminati mereka sehingga mampu bersaing di peringkat daerah, negeri dan antarabangsa.

Bakat kesenian yang disertai Tahfiz Muda Fawwaz ialah bakat kesenian taranum. Ustazah Nur Ruzanah Natiah telah diamanahkan menjadi jurulatih bakat tersebut kepada murid-murid taranum di sekolah tersebut dan berpengalaman dalam ilmu taranum sehingga pernah dinobatkan sebagai Naib Johan Qariah Tilawah al-Quran 2017 peringkat antarabangsa.

Pendedahan ilmu secara praktikal sebegini, mampu membina kreativiti dan inovasi murid-murid SRITI Bangi agar sentiasa mencari peluang untuk mengasah dan memantapkan bakat murid dalam bidang kokurikulum sekolah.

SRITI berhasrat membina generasi belia berpandukan al-Quran dan hadis yang mencakupi elemen mental, rohani dan jasmani dengan matlamat dapat melahirkan insan yang cemerlang dalam menghayati cara hidup Islam yang sempurna melalui satu sistem persekolahan yang bersepadu antara akademik dan agama.

Kini bilangan murid SRITI Bangi dicatatkan meningkat kepada 655 orang murid yang mengikuti pembelajaran di sana yang mula ditubuhkan pada tahun 2010. - HARAKAHDAILY 8/2/2018