Amalan salah para doula

Gaya Hidup
Typography

DOULA bermaksud peneman kepada ibu hamil sama ada dalam tempoh mengandung, saat getir bersalin dan semasa berpantang. Boleh dikatakan ianya seolah-olah gundik suruhan si ibu untuk membantu, meringan bebanan dan mententeramkan keadaan. Atas slogan wanita memahami wanita, kehadiran doula amat membantu berbanding dengan suami.

Bidan-bidan kampung pada satu ketika dahulu telah memainkan peranan ini. Mereka sudah sebati dalam masyarakat cuma tiada istilah doula pada masa tersebut. Setelah pekeliling yang dikeluarkan oleh KKM, bidan-bidan kampung ini telah diberi pengiktirafan membantu ibu hamil dan juga pihak kesihatan bagi melicinkan lagi urusan bersalin. Sehingga kini bidan kampung memberikan kerjasama penuh kepada KKM bagi memastikan kelahiran yang selamat si ibu. Mereka tidak mengganggu perancangan yang telah diatur oleh pihak kesihatan ke atas si ibu. Malah mereka menggalakkan lagi kerjasama erat itu.

Kini, doula yang menggelarkan diri mereka sebagai "Guru Bersalin" telah mengambil alih tugasan profesional kesihatan dalam pengendalian ibu hamil. Ajaran mereka lebih kepada menghindari pihak hospital, tidak menggunakan khidmat kepakaran, tidak mengambil vaksin dan beberapa nasihat bersalin dengan cara yang membahayakan. Malah rata-rata para penyokong doula ini penjual kepada jamu dan produk kesihatan yang tidak berdaftar.

Isu bersalin di rumah tanpa pengawasan bidan terlatih sehingga menyebabkan kematian adalah sesuatu yang serius. Perkara ini perlu ditangani segera oleh pihak berwajib agar peristiwa yang sama tidak berlaku pada masa depan. Saya menggesa pihak berwajib memanggil semua pihak yang terlibat dalam pengurusan kes untuk berbincang bagi menangani peningkatan kes kelahiran yang tidak selamat ini.

Kelahiran selamat adalah proses kelahiran yang ditangani oleh ahli yang mahir dan ditempat yang kondusif. Ini kerana kita meminimumkan komplikasi-komplikasi kelahiran yang boleh membahayakan seperti perdarahan, lekat uri, koyak pangkal rahim dan sebagainya. Kita tidak mahu terjadinya kes kematian seperti beberapa kes yang berlaku akhir-akhir ini. Kononnya mereka ingin mengikut perkembangan zaman di negara maju yang sudah lama mengamalkan kelahiran sedemikian. Tetapi tangan-tangan yang mengendali kelahiran di rumah tersebut tidak pula mahu memikul tanggungjawab sepenuhnya. - HARAKAHDAILY 5/3/2018

(Baca artikel ini selanjutnya dalam Harakah cetak Bil.2329 edisi Jumaat akan datang.)