Kita tahu bulan naik

Gaya Hidup
Typography

TAK apalah tak nampak pun, asal suka bila bulan itu naik”.

Demikian dialog antara pihak kami bersama Pak Suh yang kami ziarahi dalam memenuhi program Ziarah Prihatin, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat “LKKPP” di Jabi, Setiu, jumaat baru-baru ini.

Pak Suh yang telah melewati umur 60 tahun telah buta kedua-dua belah matanya beberapa tahun yang lalu. Sambil menceritakan pengalamannya sebagai tukang rumah, dengan penuh kemesraan beliau menceritakan bagaimana penglihatannya hilang sedikit demi sedikit.

Sewaktu bersembang itulah terbit rasa girangnya sebaik mengetahui panji-panji Parti Islam Se-Malaysia “PAS” telah mula berkibaran di Jabi sebagai tanda gerak kerja yang kian rancak. “Kita tak nampak, tapi tahu bulan dah naik”.

Ziarah Prihatin adalah suatu program yang diinisiatifkan oleh pihak LKKPP dalam memastikan agenda yang diperjuangkan benar-benar diterima dan difahami oleh rakyat akar umbi. Program turun padang ini dirangka bagi mengenengahkan agenda berkebajikan yang telah pun dimulai sejak dulu. Selain itu, ia adalah suatu  kelangsungan usaha yang mengambil kira cabaran semasa didepani rakyat.

Kali ini Ziarah Prihatin dilaksanakan dengan dukungan dan kerjasama dari Majlis Tindakan Dun Jabi, Kawasan Setiu. Selain program ziarah dalam Dun Jabi, program turut dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti pemeriksaan kesihatan, promosi dan pendaftaran SkimPAS dan ramah mesra pimpinan bersama para petugas serta masyarakat.

Sejak awal tahun ini, Ziarah Prihatin disasarkan untuk dilaksanakan di negeri-negeri terpilih, sesuai dengan keperluan semasa dan perencanaan lajnah. Selain menyantuni masyarakat dalam kawasan diziarahi, program ini juga mensasarkan ikatan persaudaraan yang lebih akrab antara pimpinan lajnah peringkat pusat hingga ke peringkat cawangan.

Ia bertujuan memastikan setiap perencanaan dan perancangan di peringkat pusat mampu diterjemahkan hingga ke akar umbi sebaik mengambil kira cabaran yang didepani mengikut kawasan dan tempat. Buat pendukung dan penyokong parti, kami amat mengalu-alukan kebersamaan anda dalam menjayakan setiap program yang akan dilaksanakan.

Justeru, kami amat mengalu-alukan sumbangan berupa wang ringgit yang boleh dibuat melalui Akaun Dana Kami Prihatin di Bank islam (M) Bhd bernombor 12113010026150. Selain sumbangan berupa kewangan, kami amat mengharapkan doa dari seluruh penyokong dan pendukung parti bagi memastikan usaha yang dirancang mampu dilaksanakan sebaik mungkin dengan pertolongan dari Ilahi.

(Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan PAS Pusat) - HARAKAHDAILY 5/3/2018