Bahaya perdarahan selepas bersalin

Gaya Hidup
Typography

BAGI menentukan sesuatu polisi atau kaedah pengurusan pesakit semasa dan selepas bersalin, para pakar dalam pelbagai bidang duduk semeja untuk berbincang. Apakah perkara-perkara yang perlu diambil pengajaran dari kejadian-kejadian lepas? Apakah rawatan yang terbaik berdasarkan evidence terkini? Bagaimana untuk diaplikasikan dalam sistem kesihatan yang sedia ada? Dan pelbagai lagi persoalan yang perlu digarap untuk mengurangkan kadar kematian ibu hamil dan bayi sesuai dengan matlamat Mellinium Development Goal (MDG) 4 dan 5.

Contohnya buku garis panduan mengurangkan kadar perdarahan semasa/selepas hamil ini, dibincang oleh 37 orang pakar seluruh negara. Kemudian review selepas itu disemak oleh 16 orang pakar sehingga keluarnya satu garis panduan untuk diterjemahkan dalam praktis sehari-hari para petugas kesihatan. Buku ini bukan ditulis oleh seorang individu tetapi ramai yang memberikan input.

Adakah ianya 100 peratus perfect? Bukan! Tetapi inilah strata terkini dan teratas. Jika wujud evidence baru selepas ini, ianya akan diupdate lagi. Matlamat utama adalah demi penjagaan dan perawatan pesakit yang optimum.

Perdarahan post partum (Lepas bersalin) ini adalah penyebab utama kematian ibu seluruh dunia. Negara kita juga tidak terlepas. Penentuan PPH ini didefinisikan kepada perdarahan ibu melebihi 500 ml. Bagaimana kiranya bagi seseorang yang tiada kemahiran untuk mengukur jumlah ini? Tekanan darah ibu, keadaan umum ibu pucat atau tidak, keluh kesah dan rungutan ibu, tumpah darah yang banyak sama ada lekat pada kain sarung atau seumpamanya dan pelbagai lagi kaedah yang wajib digunakan oleh individu terlatih bagi menentukan sama ada ibu tersebut mengalami PPH atau tidak.

Pengecaman tanda-tanda serius ini penting bagi meletakkan seseorang pengendali itu berada di zon selamat atau bahaya. Sedikit perkiraan salah kita boleh membawa maut.

Seterusnya dalam situasi bahaya, pengendali pandai menjalan tindakan pemulihan dan mendapatkan bantuan segera. Bukannya menyuruh si suami atau waris memeluk tubuh dan menanti si ibu berbuih mulutnya, baru bingkas dan berteriak sendu.

Situasi sebeginilah yang kita bimbang akan berlaku jika tidak dikendalikan oleh anggota terlatih di tempat yang mempunyai fasiliti optimum seperti di hospital atau klinik. Jika di rumah? Hanya garfu dan sudu! - HARAKAHDAILY 15/3/2018