Cuci buah pinggang

Gaya Hidup
Typography

RAWATAN untuk penyakit kegagalan fungsi buah pinggang adalah melalui Terapi Gantian Buah Pinggang (RRT - Renal Replacement Therapy). Masyarakat tidak boleh ambil mudah mengenai hal ini kerana peningkatan bahan kumuh seperti urea yang tidak dapat dibuang melalui buah pinggang yang rosak akan mengakibatkan penyakit-penyakit lain timbul.

Tanda-tanda penyakit kegagalan buah pinggang adalah letih, loya, muntah, gatal kulit, pucat, sakit perut, kaki dan muka sembab, kelihatan kurang zat makanan, otot tidak berisi, percakapan merapu dan boleh membawa pengsan.

drsuhazeliApabila berlaku keadaan itu, doktor akan merawat pesakit sesegera mungkin dengan membantu seperti berikan rawatan kesimbangan elektorlit darah dan akhirnya rawatan mencuci buah pinggang. Penyakit asal yang lain juga wajib dirawat dengan teliti seperti penyakit darah tinggi dan kencing manis. Statistik menunjukkan bahawa kebanyakan pesakit kegagalan buah pinggang ini berpunca dari kencing manis dan darah tinggi yang tidak terkawal.

Istilah cuci buah pinggang adalah sebutan orang awam. Bagi pihak perubatan, istilah RRT adalah lebih tepat. Pelbagai kaedah samada jangka pendek atau jangka panjang rawatan RRT ini boleh dibuat.

1.     Peritoneal Dialysis: Dialisis melalui tukaran air dalam ruang antara perut yang mengandungi banyak bahan kumuhan.

2.     Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis: Satu saluran khas yang separa kekal diletakkan kepada abdomen pesakit. Konsep yang sama dengan Peritoneal Dialysis tadi, cuma pesakit akan lakukan sendiri cucian buah pinggang dengan kaedah ini sekarang-kurangnya tiga kali sehari.

3.     Hemodialysis: Dialisis penapisan darah yang kotor dari bahan kumuhan melalui mesin khas. Kaedah ini adalah yang paling banyak dibuat.

4.     Gantian buah pinggang: Pembedahan menggantikan buah pinggang yang sesuai ke atas pesakit. Biasanya derma organ buah pinggang ini dari saudara mara terdekat bagi mengurangkan komplikasi penolakan atas alahan buah pinggang yang jauh dari sudut keserasian genetik.

Masyarakat perlu memahami bahawa kaedah yang dikemukakan ini bukan semberono disyorkan oleh doktor pakar. Tetapi ianya telah pun dijalankan kajian menyeluruh bahawa RRT adalah kaedah yang boleh digunapakai seluruh dunia.

Kesimpulan yang boleh kita ambil adalah mencuci buah pinggang yang rosak ini perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati. Bukannya kita mudah percaya kepada kaedah-kaedah ubat-ubatan produk yang dijual di selinap tempat seperti herba dan seumpamanya. Ini kerana produk tersebut hanya menjalankan dakwaan untuk melariskan produk, tetapi mereka berlepas diri apa sahaja kesan sampingan yang wujud selepas dari mengambil produk tersebut.

Begitu juga dengan kaedah lain seperti bekam yang didakwa boleh menurunkan paras kreatinin (salah satu bacaan komponen darah yang diukur untuk menentukan fungsi buah pinggang). Bekam tidak salah, tetapi dakwaan yang menyatakan bekam itu boleh menggantikan RRT dalam perawatan buah pinggang adalah salah dari sudut konsep. Bekam boleh membantu kesegaran tubuh dalam jangkamasa pendek, bukannya rawatan membuang urea, bikarbonat, asid urik dan lain-lain bahan kumuh.

Jika testimoni hanya seorang pesakit boleh turunkan paras kreatinin lalu mendakwa buah pinggangnya pulih seratus peratus melalui bekam, kita tidak boleh mengambil asas itu untuk disamaratakan keedah rawatan kepada masyarakat awam. Selagi belum disahihkan dengan kajian ke atas sekelompok manusia yang lebih ramai. Setakat ini tiada kajian yang konklusif berkaitan dengan bekam boleh menggantikan fungsi dialisis. – HARAKAHDAILY 21/3/2018