Romario, Bebeto dan kisah anak penoreh getah

Gaya Hidup
Typography

SAYA percaya masih ramai lagi yang teringat akan aksi-aksi Piala Dunia 94 di Amerika Syarikat. Ketika itu Brazil menjadi juara dengan menewaskan Itali melalui penentuan sepakan penalti.

Di dalam skuad Brazil itu, paling menonjol ialah penyerang kembar mereka, Romario dan Bebeto yang dilihat sangat serasi bergandingan, mencetak gol bagi Brazil. Masih melekat dalam ingatan ialah aksi mendodoikan anak, meraikan gol oleh Bebeto yang berkebetulan baru menimang cahaya mata setelah menerima umpanan cantik dari Romario, serta jaringan ‘first timer’ sambil berlari Romario yang begitu tepat ketika menewaskan Belanda. Begitulah mereka berdua, saling membuka ruang dan menjaringkan gol bagi Brazil.

Tetapi mungkin tidak ramai yang tahu, di sebalik kerjasama itu, mereka berdua adalah bermusuhan. Masing-masing tidak mahu mengalah bagi menunjukkan mereka adalah bintang utama Brazil. Perkelahian itu juga memeningkan kepala Carlos Alberto sebagai jurulatih.

Pernah dilaporkan, mereka berdua berebut tempat untuk duduk di tepi tingkap di dalam kapal terbang. Entahlah, macam budak-budak pula rasanya. Tetapi bila tiba masanya turun padang, mereka berpelukan merayakan gol, saling melorongkan bola bagi kemenangan Brazil.

Sangat profesional, mengenepikan ego peribadi bagi kejayaan negara mereka. Dan kepada musuh yang percaya mereka juga akan berbalah di atas padang, mereka silap besar.

Kita beralih kepada kisah anak penoreh getah pula. Seorang lelaki, Mamat baru sahaja berkahwin dengan wanita pilihannya, Minah. Kedua orang tua Minah, berkerja sebagai penoreh getah. Perkahwinan yang pada awalnya berjalan dengan sangat baik dan penuh kasih sayang.

Namun takdir menentukan, tidak berapa lama, mereka berkelahi. Berkelahi besar mereka. Sehinggakan ibu bapa si isteri masuk campur dan menghalau menantunya. Keadaan itu berlanjutan sehingga lebih dua bulan.

Ali yang juga meminati Minah sebelum ini, sangat gembira mendengar berita itu. Dia pun mula memasang strategi memikat Minah. Sehinggalah suatu hari, Minah muntah-muntah bagai terkena sihir lagaknya. Terus terlintas di dalam fikiran mereka mungkinkah Mamat si menantu telah menggunakan bomoh untuk menyihir anaknya.

Celaka si menantu, bermain kasar. Segeralah mereka ke bomoh untuk melihat apakah jin atau santau yang telah dihantar oleh menantu mereka. Selepas beberapa bomoh dijengah, tiada apa yang dapat bomoh katakan kecuali menasihatkan agar mencuba pergi berjumpa doktor pula.

Ali juga tidak ketinggalan menyumpah-nyumpah Mamat, tumpang membenci, sambil mengintai peluangnya dengan Minah. Bergegas mereka ke klinik dan akhirnya, Minah disahkan mengandung dua bulan. Begitu marah mereka kepada Minah kerana telah mengaibkan maruah mereka.

Lalu disuruh mengaku dengan siapa anaknya bermukah. Dijawab jujur oleh si Minah, apabila mak dan ayah turun menoreh, tiap-tiap hari Abang Mamat datang panjat masuk bilik dan pujuk Minah, akui Minah. Maka terloponglah kedua mulut orang tua Minah mendengarnya.

Akhirnya, mereka memutuskan untuk memanggil menantu mereka Mamat kembali ke rumah. Hiduplah mereka bahagia, aman damai bersama anak cucu mereka. Manakala Ali juga turut melopong kerana terlupa yang Minah dan Mamat belum bercerai, cuma tidak tinggal bersama sahaja.

Dua kisah ini sangat berkaitan, walaupun jauh jaraknya, Brazil dan Malaysia. Asasnya mereka perlu ‘bersatu’ dalam sesuatu pasukan itu bagi menghadirkan kejayaan atau kebahagiaan. Jika berkelahi maka ada pihak akan mengambil kesempatan.  

Nah, sekarang cuba pejamkan mata anda dan renungkan, jika Bersatu, bersatu kembali dengan memeluk Umno, maka Umno-BN akan kembali memerintah. Dan sudah tentu ada pihak yang kononnya menjadi rakan tahaluf Bersatu akan berak kapur sebagaimana Ali yang gilakan isteri orang tetapi tak sedar yang mereka masih belum bercerai.

Jadi berhati-hatilah wahai rakyat Malaysia yang cerdik, kerana walaupun kelihatan seperti berkelahi, tetapi jika mereka berdua ‘rujuk’ semula, teruklah rakyat kena nanti. Dan PAS kekal menjadi lawan tulen Umno serta tidak akan terpedaya dengan ‘perkelahian’ mereka itu. Manakala watak Ali sudah kita nampak dan tahu siapa mereka.

MOHD NASIR ABDULLAH 
Al-Khor, Qatar
31 Mac 2018 - HARAKAHDAILY 1/4/2018