Bedah batin

Gaya Hidup
Typography

SEBUT sahaja jika ada perawat yang mahir untuk merawat penyakit batu karang, pesakit akan berbondong-bondong pergi mendapatkan rawatan. Kemahiran mengeluarkan batu karang tanpa pembedahan seperti yang dilakukan oleh sesetengah bomoh, biasanya akan menjadi buah mulut ramai termasuk menjadi video viral dalam media sosial. Pendek kata, masyarakat yang masih jahil dalam urusan perubatan batu karang ini, akan sanggup menghabiskan wang ringgit, masa dan tenaga untuk mendapatkan rawatan bedah batin yang dianggap pelik dan hebat.

Pernah satu Seminar Fiqh Medik yang saya hadiri, seorang Pegawai JAKIM membentangkan isu beberapa rawatan yang dianggap syirik. Antara kes yang beliau bentangkan adalah bedah batin. Beliau mendedahkan hasil siasatan yang dilakukan terhadap pengamal perubatan bedah batin di satu negeri dalam Malaysia. Pengamal perubatan tradisional tersebut telah menggunakan jin bagi tujuan merawat.

Perbuatan ini adalah salah satu dari kaedah rawatan syirik, yang menggunakan khadam jin sebagai perantara. Amat menyedihkan juga menurut beliau, pengamal perubatan tradisional berkenaan berselindung atas nama ustaz dan membaca bacaan zikir atau mentera yang tidak lekang di mulut.

Konklusi yang boleh diambil dari kaedah pengamalan perubatan sebegini biasanya:

●     Mereka meyakinkan anda bahawa rawatan pembedahan batin ini berupaya menggantikan pembedahan moden bagi penyakit kronik seperti masalah jantung, kanser, batu karang, strok dan lain-lain penyakit.

●     Mereka berupaya meyakinkan orang ramai bahawa kaedah pembedahan ini tidak menyakitkan tanpa ubat, malah pembedahan hidup yang dilakukan tiada ubat bius serta penahan kesakitan.

●     Tempoh masa untuk sembuh adalah sekelip mata. Selepas bedah sahaja tiada bekas luka dan pesakit tidak terkesima setelah melihat ‘hasil’ pembedahan. Batu karang yang dikeluarkan memang sahih dan boleh dibawa balik.

●     Mereka seolah-olah diberi mukjizat untuk menjalankan pembedahan batin, atau mereka tergolong dalam golongan orang yang menerima keistImewaan (karamah, maunah atau kasyaf).

●    Pesakit secara psikologinya berasa segar bugar kerana puas hati hasil pembedahan. Kemudian bahan hasil bedah itu dibawa kepada doktor hospital, doktor pakar pun boleh terkejut. Keterkejutan doktor pakar ini dimasukkan penulisan para pesakit ke media sosial. Akhirnya menjadi tular. Hakikatnya pesakit terus merosot status kesihatan mereka setelah tempoh yang tertentu. Batu karang masih terbungkam di dalam ginjal atau pundi kencing.

Jika diperhatikan, kaedah perubatan seumpama ini sebenarnya bahawa tiada bukti dalam al-Quran dan Hadis yang membolehkan menjadi dalil kepada amalan pembedahan batin ini mengikut syariat Islam. Ulama juga menetapkan bahawa amalan seumpama ini adalah haram dilakukan kerana pengamal mungkin menggunakan ilmu hitam, silap mata, perantaraan jin atau syaitan atau sihir semasa merawat. Pesakit juga ditipu dengan janji manis keberkesanan rawatan ini di samping bayaran yang tidak munasabah. Walaupun mereka tidak menetapkan kos, tetapi kebanyakan pesakit akan meletakkan duit dalam tabung dengan jumlah yang banyak, kerana terkesima dengan kebolehan perawat tersebut.

Amalan berkenaan bukannya mukjizat, karamah, maunah kasyaf atau seumpamanya. Sebagaimana yang diketahui, Mukjizat adalah suatu perkara yang luar biasa yang dikurniakan oleh Allah untuk para Nabi dan Rasul-Nya, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu yang tertentu, ia yang mesti ditunjukkan kepada umatnya sebagai bukti kenabian dan kerasulan mereka.

Begitu juga karamah ialah suatu perkara luar biasa yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang soleh yang dikasihi Allah, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu tertentu secara mendadak semasa hidupnya, tetapi tidak boleh diprogramkan dan dipertontonkan kepada orang lain dan ianya khusus sebagai tanda kemuliaan yang diberikan kepada golongan yang taat kepadaNya.

Begitu juga Maunah, ialah suatu perkara luar biasa yang berupa pertolongan yang dikurniakan oleh Allah kepada orang-orang tertentu, yang bersifat hakiki dan betul-betul terjadi pada waktu itu dengan tujuan untuk menambahkan lagi keyakinannya kepada Allah dan tidak wajar diperhebahkan. Kasyaf pula ialah penyingkapan rahsia-rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati. Ia termasuk karamah yang mencarik adat yang dikurniakan kepada wali Allah S.W.T dan mestilah tidak bercanggah dengan kaedah agama dan hukum syarak yang telah disepakati.

Terdapat segolongan dari kita yang menyandarkan kaedah perubatan sedemikian adalah salah satu dari ilmu Allah yang luas. Memang benar Allah yang maha tinggi Ilmu serta jajahan takluk-Nya berkuasa menjadikan sesuatu itu berlaku walaupun luar dari pemikiran adat serta akal manusia.

Namun ini termasuk dalam mustahil adat, walaupun harus pada akal. Hukum adat boleh berubah dengan sebab, sebagaimana contoh yang berlegar di sekitar perbahasan wahyu seperti kisah Nabi Ibrāhīm dibakar api, Nabi ‘Īsā lahir tanpa ayah dan selainnya. Keduanya-duanya “melanggar” hukum adat dengan sebab mukjizat. Tapi dalam isu pembedahan batin ini disahkan oleh pihak berkuasa ianya sihir atau silap mata. Tujuan utama adalah mendapatkan laba dari kejahilan manusia.

Semoga masyarakat kita tidak terus ditipu dengan amalan perubatan sebegini. – HARAKAHDAILY 1/4/2018

haram1