Mek Dayang pun faham berpolitik

Gaya Hidup
Typography

ASSALAMUALAIKUM, assalamualaikum. Salam diberi beberapa kali oleh tetamu kepada tuan rumah. Beberapa detik kemudian, daun pintu terkuak ditolak oleh tuan rumah.

Assalamualaikum, oh, Ustaz, mari masuk, mari masuk, beberapa kali dia mengajak tetamunya seorang Ustaz untuk masuk ke rumah kecilnya yang agak usang, sambil dia berjalan terhincut-hincut masuk ke dalam.

Bawaeih, begitulah panggilan orang kampung kepadanya. Dia tinggal bersama dengan saudaranya yang bernama Mek Dayang. Baweih juga tidak sihat.

Mek Dayang ketika ini menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, sebagaimana kebiasaan penyakit itu terkena kepada kebanyakan orang, berangkai-rangkai datang bersama sakit-sakit yang lain. Dia terlantar di atas katil. Tidak boleh berjalan, ditambah dengan berat badannya yang dikategorikan sebagai "Overweight" menambahkan lagi derita kesakitannya.

Dia diuruskan di atas katil dan kadang-kadang ke tandas dengan bantuan orang. Kasihan melihat dia sebegitu, namun dia tanpa mengeluh, tersenyum menyambut tetamu yang datang.

Ustaz Mohd Nor Hamzah, calon PRU bagi Dun Bukit Payong menjadi tetamu beliau, datang menghampiri ranjang bagi melihat sendiri keadaannya. Dia berceloteh, bercerita tentang sakitnya itu dan ini, tanpa sebarang masalah. Diselangi dengan ketawa kecil, tiada kelihatan dia berduka.

Bawaeih juga terkadang menyampuk gembira dengan kehadiran Ustaz. Mereka tahu, ketika ini ialah musim berkempen, semestinya calon-calon akan datang berziarah bagi maksud bersilaturahim dengan pengundi. Mereka telah lama mengenali calon PAS ini dan tidak merasa kekok berbual dengan bahasa kampung.

Di penghujung ziarah itu, sambil bergurau, Ustaz Mohd Nor bertanya, habis tu, macam mana? Mahu mengundi ke tak? Sakit teruk juga ini, gurau Ustaz. Mek Dayang segera menjawab, pergi, pergi ustaz, insyaAllah kita pergi. Kita dah suruh cari orang yang boleh tolak kita pergi mengundi, jawab Mek Dayang bersungguh-sungguh.

Dia tahu, nilai undinya adalah sangat berharga atas janji calon PAS untuk membawa suara Islam ke tempat yang teratas, sambil dia tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan. Terima kasih Ustaz, terima kasih, ucap Mek Dayang berulang kali atas ziarah calon itu.

Dia beberapa kali menjelaskan dia memahami keadaan calon yang sibuk untuk menziarahi dan dia tidak mengharapkan apa-apa. Mereka cukup faham dengan beban yang digalas oleh wakil rakyat. Tidak seperti segelintir orang yang sentiasa mahukan wakil rakyat menziarahi mereka selalu. Tanpa berfikir yang wakil rakyat itu punya puluhan ribu pengundi, bukannya dia seorang yang perlu dilayan.

Kami keluar rumah mereka yang saiznya berukuran kira-kira 15 kali 20 kaki. Satu bilik, dapur dan bilik air, sambil memikirkan tentang kesungguhan mereka untuk membantu PAS dalam menegakkan Islam di bumi Malaysia yang tercinta ini. Mereka tahu yang mereka tidak akan mendapat apa-apa habuan dunia dengan menyokong PAS. Tiada dijanjikan harta, pangkat ataupun kesenangan hidup. Tetapi mereka mengikhlaskan diri mereka bagi tujuan Islam.

Berbeza dengan keadaan penyokong parti yang memerintah. Mereka yang menyokong, tetapi tidak mendapat apa-apa habuan kecuali sedikit. Mereka diugut dengan kemiskinan dan kesusahan, sedang mereka sememangnya sudah sedia ada miskin. Mereka adalah dari kalangan orang yang kerugian kerana semua orang membelasah apa yang sempat pada posisi masing-masing, maka pengorbanan apakah yang mereka ingin tekankan? Mereka berkorban demi kepentingan orang lain, mereka hanya mendapat kerak-kerak yang mereka fikirkan itulah ketulan-ketulan emas.

Golongan seperti Mek Dayang ini, ramai. Berada di mana-mana di dalam PAS. Mereka mengeluarkan apa yang ada daripada mereka. Walaupun sedikit, tetapi itulah keyakinan mereka bahawa Allah yang menentukan kemenangan, bukan banyak atau sedikitnya pemberian mereka. Rasa takut, malu dan pilu, menggamit hati-hati kami apabila mengenangkan mereka pernah dikhianati oleh beberapa kerat manusia yang tidak takutkan Allah dengan memungkiri janji taat setia mereka, melarikan kerusi ke seberang.

Apakah yang mahu kita lakukan apabila orang seperti Mek Dayang ini, menadah tangan, memohon doa kepada Allah atas pengkhianatan ini? Terhijabkah atau sampaikah doa mereka? Bagaimana kita mahu menghadap Allah dalam keadaan kita mengkhianati mereka? 

Seketika, setelah menelusuri jalan lain, terlihat pula sekumpulan orang muda, sedang mengusung replika wau bulan berlambangkan PAS terbesar di dunia mungkin. Ustaz pun berhenti membantu, memberikan semangat kepada orang muda.

Seusai meletakkan replika di tempatnya, kami meneruskan program sambil terlihat ustaz yang termenung mengenangkan kesungguhan ahli PAS dan berkata, semoga saya tidak dari kalangan orang yang mengkhianati mereka ini. Tanpa duit, tanpa disuruh, mereka menyelesaikan semua itu sendiri kerana mempercayai keikhlasan pemimpin PAS. Kami pun berlalu membelah malam menuju destinasi.

MOHD NASIR ABDULLAH 
Bukit Payong
25 April 2018 - HARAKAHDAILY 25/4/2018