Tiada kejadian jangkitan virus Nipah terkini

Gaya Hidup
Typography

TERDAPAT satu sebaran tular yang menuduh kononnya virus Nipah sedang berjangkit melalui daun pisang yang digunakan untuk membungkus nasi lemak, lemang dan seumpamanya.

dr suhazeliTulisan media sosial tersebut cuba mengaitkan kematian beberapa orang di Keralla India akhir Mei lepas akibat dari serangan virus bernama Nipah.

Tulisan tular tersebut adalah tidak benar dan boleh menyebabkan masyarakat sasau minda (panik), terutamanya dimusim perayaan sebegini. Kenyataan rasmi penafian kejadian wabak virus ini telah pun dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor .

Spesis virus Nipah telah dimasyhurkan namanya sejak 1998 lagi setelah kejadian wabak yang berlaku di Kampung Sungai Nipah pada ketika itu. Setelah itu sudah tiada kejadian wabak berlaku dalam negara kita. Wabak berlaku di negara lain seperti Bangladesh tahun 2004 dan terkini di Keralla India.

Jangkitan virus Nipah ini boleh membawa maut. Bermula dengan demam, muntah dan pening kepala. Jika tidak dirawat dengan segera, virus Nipah boleh merebak ke dalam badan dan akhirnya koma dan maut.

Pencegahan utama bagi mengelakkan jangkitan adalah menjaga kebersihan, mengamalkan perlindungan kendiri dan membasuh tangan dengan sempurna.

Virus Nipah ini boleh terdapat dalam kelawar buah. Jika perumah pertama kelawar itu positif virus Nipah, ianya boleh merebak melalui memakan buah-buahan yang digigit olehnya atau meminum air nira/tuak tamar yang tercemar dengan air kencing kelawar.

Setakat ini tiada kes wabak atau jangkitan virus Nipah yang berpunca dari habitat kelawar yang tidur atau hinggap di daun pisang. Walau bagaimanapun adalah dinasihatkan pengendali makanan untuk menjamin mutu kebersihan setiap hidangan yang menggunakan daun pisang. Membasuh dengan sempurna daun pisang sudah memadai bagi menghalang kotoran yang terdapat di daun pisang tersebut termasuklah virus Nipah.

Sekian semoga bermanfaat. - HARAKAHDAILY 22/6/2018

ke2

ke3

ke4

ke5