Kanak-kanak Lombok minat Upin & Ipin

Gaya Hidup
Typography

KARTUN Upin & Ipin adalah paling digemari oleh anak-anak Lombok. Semasa misi kemanusiaan saya ke Lombok September lepas, perkataan “betul3” bermain di bibir mereka. Malah lagu-lagu dan watak yang berlakon dalam Upin & Ipin pun mereka hafal.

Sebagai rakyat Malaysia, saya bangga kerana filem animasi anak tempatan sudah menembusi pasaran luar.

Akhirnya dengan bantuan Omakkau yang turut serta dalam misi lepas, kita berjaya menghubungi team Upin & Ipin. Mereka akan turut serta dalam Misi Lombok 2.0 yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Semoga anak-anak Lombok yang menghadapi trauma gempa bumi akan terhibur jiwa mereka.

Anak-anak yang ramai terkesan adalah berumur sekitar 5 hingga 10 tahun. Apabila langit mendung dan guruh di langit sahaja mereka semua terkejar-kejar seolah-olah takut kepada sesuatu yang kurang pasti. Tumpuan mereka adalah lari ke surau berbentuk khemah sementara yang telah dibangunkan oleh NGO tempatan dan luar. Di sinilah team sokongan psikologi dari relewan PKS Indonesia memainkan peranan.

Usaha untuk menenangkan jiwa gundah mereka bukan senang. Lagu-lagu kesyahduan seperti Nasyid Nisa Sabyan dan filem Upin & Ipin dimainkan. Sekarang-kurangnya mereka terhibur. Pengalihan minda kecamuk itu kepada minda riang akan mengurangkan tekanan perasaan hasil dari trauma gempa yang berlaku.

Semoga kehadiran Upin & Ipin bersama team Yayasan Amal, Iman Care pada 31 Oktober nanti akan mengubat duka mereka seketika. – HARAKAHDAILY 24/10/2018