Kesihatan minda orang muda: Kerisauan berasas

Gaya Hidup
Typography

SAMBUTAN Hari Kesihatan Mental Sedunia pada tahun ini disambut dengan tema yang amat menarik dan relevan dengan kerisauan dan kegusaran masyarakat secara umumnya. Tema pada tahun ini didedikasikan khas untuk golongan muda iaitu 'Orang Muda dan Kesihatan Mental Dalam Arus Perubahan Zaman'.

Dr Ahmad Rostam Mohd ZinSungguh, kita secara umumnya amat gusar dengan orang muda kerana mereka adalah generasi yang bukan sahaja menjadi pemaju pembangunan negara ada masa kini bahkan bakal menjadi tonggak kepada negara dalam tempoh sedekad dua dari sekarang.

Namun begitu, adakah kegusaran kita berasas atau hanyalah satu delusi yang tidak ditunjangi oleh fakta dan dapatan kajian?

Berdasarkan dokumen kempen yang dikeluarkan World Health Organization (WHO), tema tahun ini dipilih atas beberapa premis. Premis yang pertama ialah wujudnya ancaman baru dalam dunia psikologi dan kesihatan mental dalam bentuk dunia maya atau siber.

Perkembangan kefahaman tentang kesan dunia siber ke atas golongan muda melahirkan beberapa terma baru yang khusus berfokus pada dunia ini seperti buli siber, jenayah siber termasuk pornografi, paedophilia dn sebagainya; permainan video ganas, perjudian siber, pelacuran dan banyak lagi isu-isu terkait yang merisaukan.

Dengan keupayaan capaian golongan muda terhadap perkhidmatan siber ini semakin mudah dan murah, ia juga merubah dinamika perhubungan sosial antara mereka dan golongan lain. Lebih banyak masa dihabiskan di dunia maya jika dibanding dunia sebenar dan ia mewujudkan satu dunia lain yang eksklusif yang bukan sebenar.

Kebolehcapaian ini juga mewujudkan satu dunia fantasi yang cuba dicapai oleh ramai kerana iri dengan apa yang orang lain ada yang tidak dibumikan dengan realiti kehidupan, kemampuan, norma budaya mahupun agama.

Satu lagi yang disebut oleh WHO Ialah peningkatan golongan LGBTQ yang pada mereka wajar dilindungi hak mereka. JIka dikiblatkan pada barat semata, sememangnya ia bukanlah satu isu kerana hak asasi ialah hak milik semua orang.

Namun, hak asasi juga harus dikira dan didasar pada kemaslahatan umum dan masih tertakluk kepada batasan-batasan tertentu yang dipersetujui majoriti rakyat sesebuah negara di samping sensitiviti budaya mahupun agama majoriti setempat.

Jika kita melihat statistik di Malaysia pula, golongan muda dari umur 16 hingga 29 tahun dilaporkan mempunyai kadar masalah kesihatan mental yang lebih tinggi berbanding dengan golongan umur yang lain.

Bahkan, ianya lebih tinggi dari purata kebangsaan (29.4%) berdasarkan dapatan Survei Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang dilakukan pada tahun 2015.

Satu perkara yang harus juga diambil kira apabila membincangkan statistik ini ialah kebanyakan masalah penyakit mental yang serius juga bermula pada umur sebegini dan ini membawa kepada premis kedua dalam dokumen kempen WHO iaitu langkah-langkah advokasi dan pencegahan termasuklah meningkatkan tahap pengetahuan berkaitan isu kesihatan mental, pencerahan tentang langkah mengendali tekanan dan sebagainya.

Saya tidak berniat untuk menerangkan satu demi satu langkah untuk mencegah mahupun mengesan tetapi saya ingin menarik perhatian pembaca kepada apakah faktor yang mencetus fenomena isu kesihatan mental ini dalam kalangan mereka untuk kita sama-sama kenal pasti dan bantu apabila ada ahli keluarga kita melalui fasa ini. Cakna isu akan membawa kepada maslahat yang lebih umum.

Jika kita perhatikan, peringkat umur inilah mereka melalui bukan satu atau malahan mungkin tiga atau lebih proses transisi dalam hidup dalam tempoh yang amat singkat.

Pada peringkat umur inilah mereka beralih dari dunia belajar ke bekerja, dari orang yang ditanggung kepada orang yang menanggung, dari seorang jadi berdua, bertiga dan seterusnya, mula berhutang dan macam-macam lagi transisi yang berlaku di mana semuanya memberikan impak besar dalam kehidupan mereka.

Transisi yang kerap dan cepat ini juga bakal membebankan kesihatan mental mereka secara signifikan dan jika ianya tidak diurus dengan baik maka muncullah pelbagai simptom berkaitan kesihatan mental seperti mudah marah, prestasi merosot, masalah perhubungan sama ada dengan pasangan, keluarga mahupun orang sekeliling, isu pengambilan bahan terlarang, ‘burnout’, dan lain-lain lagi.

Jika diambil kira faktor dunia siber yang telah dibincangkan sebentar tadi, makanya bebanan sedia ada boleh sahaja bertambah.

Jika diperhatikan, transisi yang saya senaraikan di atas itu seharusnya menggembirakan dan bukannya bebanan tetapi telahan itu hanya diambil atas seputar permukaan sahaja.

Dalam dunia psikologi, wujudnya dua bentuk stress iaitu stress positif seperti mendapat pekerjaan, menerima gaji pertama, mula bercinta, berkahwin dan menimang cahaya mata; dan stress negatif iaitu segala bentuk pengalaman negatif yang dilalui oleh seseorang dalam kehidupan harian beliau.

Saya rasa tidak menghairankan jika saya katakan bahawa stress negatif membawa impak negatif kepada kesihatan mental tetapi hakikatnya, stress positif yang tidak diurus dengan baik juga boleh mengganggu gugat kesihatan mental seseorang individu.

Maka di sinilah peranan orang sekeliling dalam menjadi mata kepala dan telinga bagi golongan ini. Resam budaya setempat di sebelah Asia umumnya dan Nusantara secara khusus mementingkan nilai-nilai kekeluargaan dan kebersamaan.

Ia sebenarnya mampu menjadi antidot dan benteng dalam memastikan bahawa kesihatan mental ahli keluarga termasuk yang muda terjaga. Dalam kesibukan kita semua mencapai apa yang kita mahu, institusi ini harus dikekalkan dalam keadaan yang kukuh agar ia mampu menjadi sandaran yang baik.

Ingat, masalah kesihatan mental yang tidak dikendali dengan baik boleh menyebabkan penyakit mental yang pastinya akan menjejaskan banyak perkara dalam kehidupan individu tersebut dan orang sekelilingnya.

Oleh itu, semua pihak wajar menambah ilmu pengetahuan dengan menggunakan kemudahan sedia ada agar kita semua mampu membantu walau sedikit. - HARAKAHDAILY 1/11/2018

Penulis ialah Pakar Psikiatri Hospital Putrajaya.