Pahang tuan rumah pertama kali setelah 68 tahun PAS ditubuhkan

Pimpinan
Typography

MUKTAMAR Tahunan PAS Kali Ke-65 yang akan bermula esok, 21-23 Jun 2019 merupakan yang pertama kali dihoskan oleh PAS Pahang, setelah perjuangan PAS berusia 68 tahun. Pemilihan Pahang sebagai tuan rumah pada kali ini mempunyai signifikan yang tersendiri kerana negeri ini adalah antara yang terawal menerima pengaruh Islam di Semenanjung Tanah Melayu, lebih awal daripada Terengganu. Penemuan batu nesan seorang perempuan Islam di Kampung Permatang Pasir, Pekan yang bertarikh 419H / 1028M adalah 300 tahun lebih tua daripada Batu Bersurat Terengganu (702H / 1303M). Bahkan, undang-undang Islam telah pun diterapkan di Pahang ketika Sultan Muhammad Shah (1470-1475) menjadi sultan yang pertama dengan menerapkan Hukum Kanun Melaka. Sultan Pahang ke-12, Sultan Abdul Ghafur Muhaiyuddin Shah (1592-1614) kemudiannya mewujudkan Hukum Kanun Pahang berteraskan undang-undang Islam.

Pahang juga terkenal kerana perjuangan jihad ke atas penjajah yang dipelopori oleh para ulama. Antara tokoh yang terkenal termasuklah Datuk Bahaman Orang Kaya Semantan dan Imam Rasul yang terkenal sebagai Tok Gajah. Anak Imam Rasul, Mat Kilau juga adalah pahlawan yang terlibat dalam kebangkitan ke atas penjajah di Jeram Ampai, Jerantut pada 1895. Kebangkitan ini bermula 1888, ketika Hugh Clifford cuba berunding dengan Mat Kilau yang didukung oleh tokoh-tokoh agama seperti Haji Awang (imam) dan Mat Ali (khatib), selain ribuan orang Melayu yang lain. Setelah tercetus pemberontakan, mereka berlindung di Kelantan dan Terengganu pada 1895. Mereka kemudiannya mendapat suntikan jihad daripada Tokku Paloh, ulamak terkemuka Terengganu. Sedangkan, Pahang sendiri tidak kurang dalam melahirkan ulamak-ulamak yang berada di barisan hadapan dalam perjuangan umat seperti Tok Montok, Tok Shihabuddin, Tok Mengkarak dan lain-lain. Tok Montok (Tuan Guru Haji Othman Senik) yang pernah menjadi Mufti Pahang dikatakan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi muridnya, Mat Kilau untuk bangkit menentang penjajah British.

PAS menyambung jihad Mat Kilau

Jihad Mat Kilau bersama para pejuang yang lain untuk mempertahankan kesucian Islam dan kemerdekaan negara telah membentuk kesedaran Islam di negeri Pahang. Pada 1920-an, Beserah, sebuah pekan di pantai Laut China Selatan yang berdekatan dengan Kuala Kuantan telah menjadi tumpuan pemimpin Islam. Beserah menjadi tempat pertemuan pemimpin Islam dari Pahang, Terengganu, Johor dan Singapura untuk menentang penjajah melalui Sarekat Islam. British mencatatkan bahawa gerakan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu (1924-1928) mempunyai kaitan dengan pergerakan di Beserah. Selepas Perang Dunia Kedua, pengaruh gerakan Islam muncul di kawasan Raub, Lipis dan Jerantut di mana cawangan-cawangan Hizbul Muslimin ditubuhkan selepas lawatan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Satu lagi pusat kebangkitan Islam ialah Pekan, kerana terletaknya Kuliah Abu Bakar yang ditubuhkan pada 1941, antara pusat pengajian tinggi Islam yang penting, di mana tokoh-tokoh ulamak seperti Qadhi Haji Mokhtar Ahmad dan Sheikh Fadhlullah Suhaimi pernah terlibat. Tokoh ulamak reformis Singapura, Sheikh Abbas Taha juga pernah menjadi Mufti Pahang antara 1939-1950, di mana beliau pernah mencadangkan supaya ulamak Malaya menubuhkan sebuah persatuan sebagai wasilah perjuangan umat.

Daripada kebangkitan inilah, ketika PAS ditubuhkan pada 1951, negeri Pahang turut menerima tempiasnya. Antara tokoh awal yang mendukung PAS di Pahang ialah Dato' Setia Abu Samah Ali (ayah Tan Sri Hamzah Abu Samah), Setiausaha Kerajaan Pahang. Beliau merupakan bekas Pegawai Daerah Kerian, Perak ketika berlakunya kebangkitan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol. Disebabkan perkembangan baik PAS di Pahang, pada 26 November 1954, PAS telah melantik Mohd Asri Haji Muda sebagai Pesuruhjaya PAS Pantai Timur yang meliputi Pahang, Kelantan dan Terengganu. Hasilnya, dua cawangan PAS yang pertama ditubuhkan di Pahang pada pertengahan 1955. Pada 22 Oktober 1955, Pejabat Agung PAS telah meluluskan penubuhan PAS Cawangan Pekan dan Temerloh sebagai cawangan terawal di Pahang. Menjelang kemerdekaan, lima lagi cawangan PAS berjaya ditubuhkan di Pahang iaitu PAS Cawangan Kampung Batu Kapor (1956), Tanjung Kerayong (1956), Kuala Lipis (1956), Kerdau (1957) dan Benta (1957).

Kemajuan perkembangan PAS di Pahang turut didorong oleh kesungguhan pemimpinnya, terutama Dato' Abu Samah Ali yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang yang dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS (1956-1958). Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias pada awal 1956 telah menubuhkan Badan Perhubungan PAS Pahang yang diketuai oleh Mohd Yassin Salleh (ayah Tan Sri Kamarul Ariffin Mohd Yassin), iaitu bekas Yang Dipertua Persatuan Melayu Pahang sebagai Pesuruhjaya PAS yang kedua. Pada 1957, adinda Sultan Abu Bakar, Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah pula dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pahang yang ketiga. Berikut adalah Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Pahang:

1. Ustaz Mohd Asri Haji Muda (1954-1956)

2. Mohd Yassin Mohd Salleh (1956-1957)

3. Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah (1957-1964)

4. Ustaz Ishak Abdullah (1964-1965)

5. Dato' Setia Abu Samah Ali (1965-1969)

6. Ustaz Jamahir Idris (1969-1977)

7. YB Haji Rushdi Arif (1977-1982) dan (1984-1987)

8. Tuan Syed Ibrahim Abdul Rahman (1982-1984)

9. Tuan Guru Haji Alwi Abdul Hamid (1987-1993)

10. Tuan Guru Haji Mohd Baqi Othman (1993-1999)

11. YB Ustaz Idris Omar (1999-2004)

12. Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (2004-2015)

13. YB Ustaz Rosli Jabbar (2015-sekarang)

Tokoh-tokoh PAS Pahang

Walaupun PAS tidak pernah memenangi sebarang kerusi di Pahang sebelum 1974, PAS Pahang boleh berbangga kerana berjaya melahirkan tokoh-tokoh besar PAS. Antara tokoh-tokoh PAS yang pernah dilahirkan oleh PAS Pahang ialah:

1. Dato' Setia Abu Samah Ali, bekas pegawai MCS yang menjadi Setiausaha Kerajaan Pahang dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang. Merupakan Naib Yang Dipertua Agung PAS sejak 1956 hingga 1958.

2. Mohd Yassin Salleh, bekas Yang Dipertua Persatuan Melayu Pahang. Merupakan seorang tokoh politik Melayu yang terkemuka di Pahang sejak akhir 1930-an.

3. Tengku Abdul Hamid Sultan Abdullah, adinda Sultan Abu Bakar. Beliau adalah pemimpin penting PAS Pahang pada era 1950-an dan 1960-an, tetapi menghadapi kekangan untuk bergerak kerana kedudukan beliau sebagai putera istana.

4. Tuan Guru Haji Nik Man, Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat era 1970-an. Beliau adalah tokoh ulama yang terkemuka di Pahang.

5. Ustaz Jamahir Idris. Ulamak yang berasal dari Indonesia dan lulusan pengajian Islam dari Bandung. Pernah menjadi pemimpin Masyumi sebelum berhijrah ke Malaya. Pernah menjadi pimpinan Agung PAS pada era Dr Burhanuddin al-Helmy.

6. Tuan Syed Ibrahim Abdul Rahman. Seorang peguam bekas tokoh ABIM. Pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan dan menjadi Bendahari Agung PAS, 1983-1987, selain Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

7. Tengku Kamaruzaman Tengku Abdul Hamid, tokoh pemuda PAS era 1970-an dan bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

8. Tengku Puji Tengku Abdul Hamid, lulusan UPM yang agak lama berada dalam kepemimpinan PAS Pusat pada era Pak Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Mohd Noor

9. Ustaz Idris Omar, bekas Dekan Fakulti Pengajian Islam dan pernah menjadi hakim mahkamah syariah. Selain pernah menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan dan Yang Dipertua PAS Titiwangsa, beliau juga adalah bekas Timbalan Mursyidul Am PAS.

10. Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, bekas pensyarah UiTM Jengka. Pernah menjadi Adun Jengka. Dipilih sebagai Naib Presiden PAS (2013-2015) dan kini sebagai Timbalan Presiden PAS.

MOHD FADLI GHANI
Head House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
16 Syawal 1440 / 20 Jun 2019 – HARAKAHDAILY 20/6/2019