Wajah baru politik Turki selepas peristiwa 15 Julai 2016

Pimpinan
Typography

PADA tanggal 15 Julai 2019, puluhan ribu rakyat Turki di seluruh negara berhimpun bagi memperingati peristiwa kegagalan rampasan kuasa yang berlaku pada 15 Julai 2016. Peristiwa penting ini diberikan slogan “Hari Demokrasi Turki“ dan dijadikan ketetapan setiap tahun untuk disambut dan diingati sebagai memperingati ratusan rakyat Turki yang terkorban di tangan sekumpulan tentera yang khianat yang menggelarkan diri mereka “Peace of Home Council“. Wajah Turki berubah sepenuhnya semenjak dari peristiwa kegagalan rampasan kuasa tersebut.

KhalilHadiMengimbau kembali peristiwa penting ini, dua minggu sebelum berlakunya cubaan rampasan kuasa oleh sekumpulan tentera yang khianat itu, saya mengikuti perkembangan terkini politik Turki pada masa itu dan mendapati perubahan secara drastik beberapa polisi luar negara yang di lakukan oleh kerajaan pimpinan Presiden Recep Tayyib Erdogan. Perubahan-perubahan ini agak kontra dengan pendirian Turki yang sebelum ini menjadi sekutu kuat pihak Barat pimpinan Amerika Syarikat (AS) khususnya dalam isu konflik di Timur Tengah seperti pergolakan di Syria, Iraq dan lain-lain lagi.

Sejak dahulu lagi, Turki menjadi alat dan sekutu kuat kepada AS yang mahu mengekalkan serta melebarkan kuasa dan pengaruhnya di rantau yang senantiasa bergolak ini. Semua pemimpin dan kerajaan yang menerajui Turki mestilah mengikut landasan ini jika sekiranya mahu terus berkuasa termasuklah Erdogan dan Parti AK yang diterajuinya.

Faktor inilah yang menjadi punca utama pertikaian Edrogan dengan guru dan mursyidnya iaitu Almarhum Profesor Najmuddin Erbakan yang mahu Turki keluar dari pergantungan dan menjadi "Pak Turut" kepada AS yang turut sama menuntut pengiktiraf terhadap negara haram Israel. Menurut Almarhum, Turki dan negara-negara Islam mestilah membina kekuatan dan pengaruhnya sendiri serta mengatur strategi berbaik dengan musuh AS khususnya Rusia bagi mengimbangi pengaruh kuasa di Timur Tengah. Ia tidak diendahkan oleh Erdogan yang mempunyai cara dan seni serta permainan politiknya sendiri.

Kebetulan pada Mac 2003 (seminggu sebelum AS melancarkan serangan ke atas Iraq), saya mengikuti rombongan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustaz Nasharudin Mat Isa (ketika itu Setiausaha Agung PAS ), Dato’ Mustafa Ali (ketika itu Naib Presiden PAS) dan Cikgu Hussein Ismail ke Turki. Ketika itu Erdogan baru saja beberapa bulan menjadi Perdana menteri selepas partinya AK memenangi pilihan raya umum Turki. Antara misinya ialah untuk mendamaikan dan meredakan pertikaian antara Almarhum Erbakan dan Erdogan. Almarhum memberikan pandangan politiknya selama enam jam bermula dari jam 5 petang sehingga 11 malam berserta natijah apa baik dan buruknya tindakan yang dilakukan oleh Erdogan dan kaitannya dengan percaturan politik Timur Tengah dan dunia Islam secara umumnya.

Walaupun mereka berbeza pandangan akan tetapi Erdogan sentiasa menghormati murabbinya sehingga ke akhir hayatnya.

Kenapa Turki?

Turki sentiasa menjadi sasaran sejak dari zaman dahulu lagi kerana beberapa faktor. Pertama, kedudukan strategiknya yang menjadi penghubung di antara benua Asia dan Eropah dan menjadi pintu masuk utama kepada negara-negara yang sedang bergolak pada hari ini. Kedua, sejarah politiknya yang sangat hebat ketika menjadi pusat pemerintahan khilafah Islam Uthmaniyyah selama ratusan tahun. Ketiga, kekuatan tenteranya yang dijadikan alat oleh Barat untuk menjaga kepentingannya di Timur Tengah melalui keahliannya di dalam NATO. Keempat, rakyatnya yang rajin, produktif dan tidak mudah mengalah bukan sahaja di dalam Turki bahkan di serata dunia khususnya di beberapa buah negara Eropah seperti di Jerman yang mempunyai lebih 4 juta bangsa Turki Muslim yang bekerja dan bermastautin di sana.

Justeru itu Barat sama sekali tidak akan mengizinkan Turki untuk bangkit semula kerana kebangkitannya akan mengembalikan kegemilangan tamadun Islam. Beberapa percubaan pernah dilakukan sebelum ini akan tetapi kesemuanya menemui kegagalan. Pada tahun 1960, Perdana Menteri Adnan Menderes digulingkan oleh pihak tentera dan akhirnya dihukum bunuh kerana dituduh mahu merubah dasar sekularisme Turki. Pada tahun 1996 Erbakan dilantik menjadi perdana menteri melalui kerajaan campuran setelah memenangi pilihanraya umum namun beliau hanya mampu bertahan selama setahun sebelum digulingkan oleh pihak tentera.

Turki dan Dasar Luar

Semenjak memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Turki bermula dari tahun 2002 sehingga sekarang, Kerajaan pimpinan Erdogan telah melalui beberapa fasa hubungan luar negara dengan pihak lain. Bermula dari tahun 2002 sehingga 2011, Turki mengambil sikap berbaik dengan semua pihak khususunya hubungan diplomatik dengan Israel (sehingga 2010) yang sudah sedia terjalin sejak sekian lama. Membuka pintu seluasnya kepada pelawat-pelawat dari negara-negara jiran khususnya Iran, Syria dan negara-negara Arab lain dengan tidak mengenakan visa untuk mengunjungi Turki.

Selepas berlakunya Arab Spring pada 2011, Turki telah mengubah dasar luarnya secara agresif dengan menyokong kebangkitan rakyat yang berjaya menjatuhkan kerajaan boneka Barat di negara-negara Arab. Turki juga turut memutuskan hubungan diplomatik dengan Mesir dan Syria sejurus selepas berlakunya kudeta terhadap Presiden Mohammad Mursi oleh Jeneral as-Sisi dan serangan besar - besaran Basyar al-Assad terhadap kebangkitan rakyat yang berlanjutan sehingga ke hari ini. Dalam masa yang sama, Turki mula merenggangkan hubungannya dengan Iran yang dilihat menjadi sekutu rapat Syria. Sikap ini melonjakkan populariti Erdogan di mata bangsa Arab dan umat Islam secara umumnya namun dalam masa yang sama, ia tidak merubah pandangan mereka yang menentangnya kerana Turki masih lagi mempunyai hubungan dengan Israel.

Dalam isu Syria, gerakan Islam mendesak supaya ia diselesaikan secara diplomasi dan bukan dengan kekerasan mahupun peperangan. Pada awal 2013, PAS dan Parti Saadat ( parti yang diasaskan oleh Almarhum Prof. Najmuddin Erbakan ) telah mengemukakan cadangan untuk menyelesaikan isu Syria dengan cara diplomasi iaitu dengan melibatkan Rusia, Turki dan Iran. Pimpinan Parti Saadat mengadakan lawatan ke Syria dengan bantuan kerajaan Turki dan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang pula telah menyampaikan pelan damai ini kepada Presiden Iran, Mahmud Ahmadinejad tetapi usaha tersebut terputus di tengah jalan kerana pertembungan sesama kumpulan Islam dan jalan penyelesaian yang terhad untuk pergi dengan lebih jauh.

Hubungan dengan Rusia

Turki tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Rusia selepas campurtangan Rusia dalam isu Syria dan kemuncaknya ialah insiden tembakan jet pejuang Rusia di ruang udara Turki. Hubungan tersebut bertambah getir akibat insiden tersebut sehingga hampir tercetusnya perang antara kedua-dua buah negara. Namun ia berubah dengan mendadak dalam masa dua minggu sebelum berlakunya kudeta yang menemui kegagalan. Pada 27 Jun 2016, Presiden Erdogan memohon maaf kepada Rusia terhadap insiden yang berlaku. Dua hari selepas itu Erdogan menghubungi Presiden Vladimir Putin dan berbincang selama 40 minit melalui telefon dan bersetuju untuk bertemu bagi menyelesaikan isu serantau khususnya isu Syria, Iraq dan ISIS.

Susulan daripada itu satu pertemuan diadakan pada 1 Julai 2016 di antara Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dan rakan sejawatannya Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu yang diadakan di Moscow, Russia. Pada 6 Julai 2016, Presiden Iran, Hassan Rohani menghubungi Erdogan dan kedua-duanya berbincang untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara. Ini disusuli pula dengan kenyataan Perdana Menteri Turki, Binali Yildirim untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan Syria dan menyelesaikan isu Syria dengan jalan damai.

Kesemua senario ini jika dicantumkan akan memberikan gambaran yang jelas bahawa terdapat perubahan yang ketara berkaitan halatuju baharu Turki untuk beralih kepada blok Rusia berbanding sebelum ini yang menjadi sebahagian daripada blok Amerika Syarikat.

Peralihan Turki kepada blok Rusia akan lebih menguatkan lagi politik dan ekonomi Turki, justeru itu tidak pelik apabila Turki memberi amaran kepada Kesatuan Eropah untuk menghentikan perundingan kemasukannya ke dalam EU pada tanggal 23 Jun 2016, satu kesan peralihan dasar luarnya yang begitu drastik. Secara teorinya, Turki sudah mempunyai rakan baru dan tidak lagi memerlukan EU.

Keakraban Turki dengan Rusia akan lebih menguntungkannya kerana sebahagian besar daripada wilayah-wilayah di dalam Rusia atau di bawah "naungannya" adalah negara-negara umat Islam dan mempunyai pertalian yang sangat rapat dengan Turki dari sudut agama, kaum, bahasa dan adat bertutur dalam bahasa Turki seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Azerbaijan.

Politik Turki Pasca 7/16

Selepas tempoh tiga tahun berlalunya peristiwa kegagalan rampasan kuasa pada 15 Julai 2016, wajah politik Turki telah berubah dengan begitu ketara sekali sama ada dari sudut politik dalaman mahupun politik luaran. Perubahan politik dalaman Turki, Presiden Erdogan telah berjaya mengukuhkan kedudukannya dengan kemenangan dalam pilihanraya umum pada Ogos 2018. Edrogan juga mendapat mandat rakyat melalui referundum untuk merubah sistem pemerintahan kepada sistem presidensi yang memberikan kuasa yang luas kepada presiden untuk membuat keputusan-keputusan penting negara.

Perubahan ini diambil peluang oleh Erdogan merombak seluruh sistem keselamatan khususnya ketenteraan yang menjadi penghalang paling utama kepada kerajaan-kerajaan yang dibentuk melalui sistem demokrasi. Namun begitu, perubahan-perubahan tersebut juga menimbulkan rasa kurang senang daripada kalangan pihak-pihak yang menjadi penyokong kuat Erdogan sebelum ini.

Dari sudut politik luaran pula, Turki di lihat seperti mampu berdiri tanpa bergantung kepada AS dan juga EU sepertimana dekad lalu. Turki terus mengukuhkan hubungannya dengan Rusia, yang terbarunya ialah pembelian S400, sebuah sistem pertahanan udara canggih dari Rusia bagi menangkis serangan udara samada dari jet pejuang mahupun peluru-peluru berpandu.

Walaupun AS mengancam untuk mengenakan pelbagai sekatan terhadap Turki akibat pembelian sistem pertahanan peluru berpandu S400 tersebut seperti sekatan ekonomi dan juga mengancam untuk menghentikan kerjasama pembangunan bersama jet pejuang F 35, Turki tetap tegas berpendirian dengan meneruskan pembelian terus. Malah di saat saya menulis ini, jurucakap Rumah Putih Stephanie Grisham baru sahaja mengumumkan bahawa AS telah mengeluarkan Turki dari program pembangunan bersama jet pejuang F 35 akibat daripada pembelian S400. Tentunya sekarang, Turki sudah mampu melangkah jauh dan mampu mengukuhkan kedudukannya khususnya di Timur Tengah.

Cabaran Turki Masakini

Pola peralihan Turki dari blok AS kepada Russia sudah tentunya menjadikan perjalanan Turki lebih getir dari biasa. Tambahan pula pada Isnin lalu, Kesatuan Eropah ( EU ) telah mengenakan sekatan ekonomi dan politik terhadap Turki akibat daripada aktiviti carigali gas di perairan Cyprus yang menurut ramai penganalisa politik dunia, ia sebenarnya adalah lebih kepada tekanan politik agar Turki tidak mendekati dan akrab dengan Russia.

Peranan Turki di Timur Tengah juga turut memainkan peranan penting dalam menguatkan kedudukannya di kalangan bangsa arab mahupun umat Islam. Bagaimanapun peranan tersebut juga turut meresahkan AS serta menimbulkan kemarahan sekutu kuatnya iaitu Arab Saudi seperti ketika Qatar di pulaukan dan di kenakan pelbagai sekatan samada dari udara, laut dan darat. Ketika itu Turki menyokong Qatar dan menghulurkan bantuan ketenteraan kepada Qatar.

Begitu juga peranan Turki di Syria dan Yaman, cukup meresahkan AS dan sekutunya. Telah jelas kepada AS dan sekutunya mahupun EU, Turki telah beralih daripada tapak politik tradisionalnya iaitu menjadi sekutu kuat barat samada AS mahupun EU kepada Russia mahupun sedikit masa lagi China. Namun dalam jangka masa panjang ramai yang menjangkakan bahawa jika Turki masih berada di bawah Edrogan mahupun AK, Turki mampu menjadi satu kuasa besar yang mampu mengimbangi kuasa besar dunia samada AS, EU, Russia mahupun China.

Tidak syak lagi Turki sudah mula mengorak langkah pertamanya dalam menongkah arus geopolitik dunia. Jika Turki mampu mendepani cabaran yang mendatang, saya percaya Turki mampu bangkit dan menjadi kuasa yang cukup kuat dan di geruni. Kebangkitan tersebut di percayai mampu melonjakkan kembali kegemilangan Islam dan umatnya. Kta tidak mengharapkan kegemilangan zaman khalifah Uthmaniyyah berulang kerana ianya sudah menjadi sejarah namun kita berharap Turki mampu mencoretkan sejarah baru dalam arus kegemilangan Islam dan ketamadunnan dunia.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat
AJK PAS Pusat
Adun Batu Burok – HARAKAHDAILY 26/7/2019