Tok Guru Che Hassan: Ulama PAS mangsa ISA

Pimpinan
Typography

PASIR Mas merupakan antara jajahan yang melahirkan begitu ramai ulama, khususnya para ulama pondok. Antara ulama terkenal generasi abad ke-19M di Pasir Mas termasuklah Syarif Hassan Aur Cina (m. 1883) dan Tok Ayah Kubang Bunut (m. ±1880). Pasir Mas menjadi tumpuan para ulama Pattani sejak pertengahan abad ke-19 ekoran tercetusnya perang "Musuh Pattani" pada 1820-1838. Setelah itu, Pasir Mas telah bangkit sebagai pusat perkaderan ulama yang penting di Kelantan, selain Kota Bharu.

Fadli2Bahkan, sehingga 1970-an, Pasir Mas tetap mendahului sebagai jajahan yang mempunyai paling banyak pondok dan paling ramai ulama di Kelantan. Selain bergiat dalam dunia keilmuan, ulama-ulama di Pasir Mas juga terkenal kerana penglibatan mereka dalam pergerakan politik Islam bagi memperjuangkan kemerdekaan dan menegakkan daulah Islam. Kerana faktor itulah, Pasir Mas kemudiannya menjadi nukleus kebangkitan PAS di Kelantan pada 1953.
 
Salah seorang tokoh ulama Pasir Mas yang terkenal ialah Tuan Guru Haji Che Hassan Ismail atau lebih terkenal sebagai Tok Guru Haji Che Hassan Lemal. Beliau adalah generasi ulama pondok yang terawal bergiat dalam PAS di Kelantan dan menjadi wakil rakyat PAS sejak 1959. Nama Tok Guru Haji Che Hassan Lemal menjadi terkenal dalam politik ekoran penahanan beliau di bawah ISA pada 1965 kerana isu kafir mengkafir yang tercetus ketika itu.
 
Kemunculan Tok Guru Haji Che Hassan Lemal dalam politik ini adalah rentetan daripada kemunculan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) Kelantan yang berpusat di Pasir Mas pada 1947-1948, diikuti oleh terbentuknya Hizbul Muslimin pada 1948. Pada 1953, apabila PAS berhasil membuka cawangannya yang pertama di Pantai Timur, iaitu PAS Cawangan Pasir Mas, Tok Guru Haji Che Hassan merupakan antara pelopor kepada perkembangan PAS di jajahan tersebut.
 
Ulama terkemuka Pasir Mas
 
Tok Guru Haji Che Hassan Lemal dilahirkan di Kampung Chetok, Pasir Mas pada 1909, iaitu tahun berlakunya Perjanjian Bangkok yang menyebabkan Kelantan terpaksa menerima Penasihat British. Nama lengkap beliau ialah Che Hassan bin Ismail bin Abu Bakar bin Muhammad bin Ibrahim bin Jamaluddin. Beliau merupkan anak tiri kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad Abdul Halim yang terkenal dengan gelaran Tok Padang Jelapang.  Tok Padang Jelapanglah yang menjadi guru awal beliau, di mana beliau berguru selama lebih enam tahun, sebelum beliau berangkat ke Mekah pada 1927 bagi menyambung pengajian bersama Tuan Guru Haji Abdullah Pondok Lati dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Pondok Lubuk Tapah. Berada di Mekah selama 11 tahun sehingga 1938, telah membolehkan beliau menuntut ilmu dengan tokoh-tokoh ulama terkemuka di sana. Beliau kemudiannya diambil sebagai menantu oleh seorang guru al-Quran terkenal, Tuan Guru Haji Mahmud Uthman, yang juga Imam dan Khatib Masjid Lama Pasir Mas.
 
Antara guru-guru beliau di Mekah ialah Sheikh Muhammad al-Arabi, Sheikh Hassan Mohamad al-Masyat, Sheikh Mohammad al-Fathani, Pak Da Eil al-Fathani, Sheikh Mohamad Mokhtar Bogor, Sheikh Mohamad Ahyad Bogor, Tok Shafie Kedah, Sheikh Othman Jalaluddin al-Kalantani dan Sheikh Ibrahim Takaruni. Beliau mendalami pelbagai cabang ilmu Islam, termasuk ilmu Qiraat yang dipelajari daripada Sheikh Takaruni sehingga dapat menguasai Qiraat Warash. Daripada senarai guru-gurunya ini, tergambar keluasan ilmu yang dituntutnya, sehingga berhasil beliau membuka Madrasah Hasaniah pada 1939, yang lebih terkenal sebagai Pondok Lemal itu.
 
Beliau mengajar kitab-kitab Jawi dalam pelbagai bidang ilmu, selain mengajar al-Quran dan dibantu oleh isterinya, Hajah Wan Wok binti Tuan Guru Haji Mahmud. Beliau berjaya melahirkan sejumlah murid yang bertebaran di Pasir Mas dan tempat-tempat lain, yang kebanyakannya berkhidmat sebagai imam-imam mukim.
 
Ulama berpolitik
 
Tiga tahun selepas Pondok Lemal dibuka, tercetus Perang Dunia Kedua yang menyebabkan perkembangannya terbantut. Tetapi selepas hampir 20 tahun membangunkan Pondok Lemal, Tok Guru Haji Che Hassan telah menjadi tokoh ulama yang terkemuka di Pasir Mas, sebaris dengan Tuan Guru Haji Harun Sulong Batu Tiga, Tuan Guru Haji Daud Yusof Meranti, Tuan Guru Haji Abdul Ghani Kubang Bemban, Tuan Guru Haji Abdullah Lati, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Lubuk Tapak dan lain-lain.
 
Kedudukan Pondok Lemal di pinggir Bandar Pasir Mas dan status beliau sebagai menantu Tuan Guru Haji Mahmud Khatib dan anak tiri Tok Padang Jelapang, telah menonjolkan pengaruhnya di Pasir Mas. Pondoknya dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk mendalami ilmu-ilmu Islam. Apabila PAS Cawangan Pasir Mas ditubuhkan pada Julai 1953, beliau turut mendukung perjuangan PAS, walaupun sebelumnya beliau lebih banyak memberikan masa untuk membangunkan pondoknya.
 
Sebagai seorang ahli PAS, Tok Guru Haji Che Hassan bukan sahaja terlibat dengan Dewan Ulamak PAS Kelantan, tetapi juga terpilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum 1959 untuk mewakili PAS di Dun Tendong. Beliau menewaskan calon Perikatan, Mohd Zain Harun dengan majoriti 3,001 undi. Turut tewas ialah Mat Noor Yusof (Sosialis Front), Imam Abdullah Tempoyak (Bebas) dan Cikgu Haji Awang (Bebas).
 
Dalam pilihan raya yang berlangsung pada 20 Jun 1959 ini, Tok Guru Haji Che Harun bersama Adun PAS yang lain berjaya membentuk kerajaan di Kelantan dan Ustaz Haji Ishak Lotfi Omar dilantik sebagai Menteri Besar. Ketika menjadi Adun ini, di Kelantan tercetus isu kafir-mengkafir ekoran kenyataan Tuan Guru Haji Omar Daud tentang kerjasama Umno dengan orang kafir dalam Perikatan. Ulama-ulama pondok kebanyakannya sependapat dalam hal ini kerana guru mereka, Sheikh Abdul Qadir al-Mandili dan Pak Da Eil al-Fathani juga berpendapat demikian. Akibatnya, pada 1963, beberapa orang ulama PAS iaitu Tuan Guru Haji Daud Kubang Pak Amin, Tuan Guru Omar Daud Kubang Bemban, Tuan Guru Haji Yaakub Ishak Berangan dan Ustaz Nik Abdullah Arshad telah ditahan di bawah ISA. Turut ditahan ialah Tok Guru Haji Che Hassan  di atas tuduhan yang sama.
 
Ketika berada dalam tahanan ISA, Pilihan Raya Umum 1964 telah diadakan pada 25 April 1964. PAS telah memutuskan supaya dua Adun yang ditahan ISA iaitu Tok Guru Haji Che Hassan dan Ustaz Nik Abdullah dicalonkan semula. Beliau bertanding mewakili PAS dari dalam jeriji ISA, tetapi berjaya mengalahkan calon Perikatan, Jaafar Idris dengan majoriti 2,171 undi. Dengan kejayaan ini, Tok Guru Haji Che Hassan kekal Adun Tendung sehingga pembubaran Dun Kelantan pada 31 Mac 1969.
 
Dalam pilihan raya ketiga ini, Tok Guru Haji Hassan tidak bertanding kerana memberi laluan kepada bekas Timbalan Menteri Besar, Dato' Mohamad Nasir bertanding di Tendong. Dalam usia yang sudah melebihi 60 tahun itu, Tok Guru Haji Che Hassan walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat, tetapi beliau kekal aktif dalam Dewan Ulamak PAS Kelantan yang ketika itu dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Ghani Awang Kubang Bemban.
 
Menemui Sang Pencipta
 
Setelah lebih 60 tahun berjuang, Tok Guru Haji Che Hassan yang mempunyai seorang isteri, Hajah Che Wok Haji Mahmud telah jatuh uzur dan mulai tidak aktif lagi berpolitik. Beliau banyak memberikan tumpuan untuk membangunkan Pondok Lemal. Beliau juga sempat menghasilkan sebuah karya, Siraj al-Mubtadi, iaitu sebuah kitab usuluddin yang diterbitkan di Tanjung Mas, Pattani.
 
Pada awal 1977, iaitu dalam usia 68 tahun, Tok Guru Haji Che Hassan telah dijemput bertemu Penciptanya pada hari Ahad, iaitu pada 3 Safar 1397 bersamaan 23 Januari 1977. Kematian beliau telah dikenang oleh umat Islam kerana jasa-jasa beliau terhadap pembangunan agama di Kelantan dan juga jihad beliau dalam menegakkan Islam melalui PAS sejak sebelum merdeka, sehingga terpaksa meringkok dalam tahanan ISA.

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin – HARAKAHDAILY 27/7/2019