HSR: Projek pembangunan atau pengusiran?

Pimpinan
Typography
SAYA bukanlah anti kepada sebuah pembangunan. Pembangunan amat perlu kerana dengan adanya pembangunan, keselesaan hidup rakyat akan lebih bermakna. Aktiviti ekonomi melalui peluang pekerjaan juga akan dapati dinikmati.
 
Sungguhpun demikian, tidak semua pembangunan akan menatijahkan manfaat kepada generasi mendatang. Bagi masyarakat Melayu yang hidup dalam suasana kemasyarakatan, majoritinya amat sukar menerima pembangunan terutamanya melibatkan pengambilan tanah kediaman. 
 
Di zaman ini, mana ada perkampungan Melayu yang apabila terlibat dengan pembangunan infrastruktur, nilai tradisi kehidupan dan interaksi kemasyarakatnya, malah budayanya terpelihara? Sebaliknya, yang terjadi adalah segalanya ditelan oleh kehendak pembangunan sehingga kita tidak akan nampak Melayu tinggal di rumah yang punyai halaman, Melayu yang dapat mengekalkan adat dan budaya, orang Melayu yang bergotong royong dalam hal ehwal kenduri-kendara dan urusan kematian.
 
HSR (High Speed Rail) yang bakal dibangunkan ini sepanjang 350km dari Jurung di Singapura ke Bandar Malaysia di Kuala Lumpur pastinya melibatkan jajaran laluan sama ada tanah kerajaan ataupun tanah milik syarikat mahupun milik persendirian. Paling menyayatkan, bila pembangunan tersebut bakal 'melanggar' kawasan penempatan Melayu yang dimiliki dan diduduki sejak beberapa generasi.
 
Secara peribadi, saya tidak menolak pembangunan. Tetapi pembangunan yang tidak dirancang terlebih awal itulah yang membuatkan saya dan ramai lagi dalam kalangan rakyat Malaysia terkilan. Mengapa tidak jajaran laluan sama ada HSR, MRT, LRT atau lebuh raya dirancang bersekali dengan pembangunan Putrajaya? Kalau ini dapat dilakukan, kita akan dapat mengelakkan atau meminimumkan pengambilan balik tanah hak milik dan tidak akan menyusahkan rakyat. 
 
Dalam keadaan ekonomi Malaysia yang 'menguncup' dan rakyat terbeban dengan kos sara hidup melambung tinggi, tiba-tiba projek HSR yang menelan belanja lebih dari RM50 billion dilancarkan. Ini menunjukkan seolah-olah kerajaan terdesak untuk memperolehi sumber kewangan melalui pelaburan luar. 
 
Menurut Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani, projek HSR itu akan menjadi tulang belakang ekonomi beberapa negeri di Malaysia. Selain memendekkan masa perjalanan dari Singapura ke Malaysia, sekaligus menggalakkan kunjungan rakyat kedua-dua negara. Bagi saya pembinaan HSR ini tidak kena pada masa dan jajarannya kerana ianya dilaksanakan di kala nilai ringgit yang semakin mengecil dan jajarannya melalui perkampungan Melayu atau penempatan anak watan.
 
Kita tidak mahu pembangunan yang dilaksanakan, seolah-olah projek pengusiran secara halus penduduk di penempatan Melayu.
 
IR MOHD HASLIN HASSAN
Adun Tanjong Sepat - HARAKAHDAILY 1/11/2017