Ambil tindakan tegas mereka yang tidak hormati amalan Islam

Pimpinan
Typography

TINDAKAN pengurusan hotel yang melarang wanita Islam bertudung daripada bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk) adalah tindakan keterlaluan dan mencabar kedaulatan agama Islam di negara. Alasan yang dibuat oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dengan kenyataan bahawa ia sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi adalah suatu alasan tidak munasabah. Secara nyata menjelaskan bahawa ia menjadi bukti bahawa wanita Islam sering menjadi mangsa diskriminasi dengan pengamalan agama.

drriduanDalam hal ini saya bersetuju dengan beberapa pandangan tegas agar isu seperti ini perlu diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya. Apa yang berlaku adalah ada pihak yang tidak mahu menghormati pegangan amalan agama Islam dan menolak sikap saling memahami budaya, adat resam dan amalan beragama di negara ini. Jika tidak dibendung keadaan mungkin akan lebih parah dengan lebih banyak pihak berani mencabar dan menghina agama Islam secara terang-terangan dan menjadikan umat Islam khususnya wanita bertudung sebagai mangsanya.

Justeru cadangan keras agar lesen perniagaan mana-mana syarikat yang mengamalkan sikap diskriminasi terhadap wanita bertudung ditarik balik dan dikenakan tindakan amat wajar. Malah, senarai syarikat yang melakukan diskriminasi ini juga disiarkan untuk pengetahuan umum, agar masyarakat yang menghakimi mereka. Isu ini bukan untuk menghukum sesiapa, tetapi membela golongan wanita Islam yang bertudung agar tidak diperlekeh dan dihina sesuka hati.

Jika standard operasi (SOP) dan polisi antarabangsa menjadi alasannya, maka kerajaan Malaysia perlu campurtangan dengan bertindak tegas agar standard operasi (SOP) yang diguna pakai disesuaikan mengikut keadaan dan keperluan negara Malaysia. Yang kita ketahui banyak syarikat gergasi bersifat antarabangsa mampu memahami keadaan dan suasana masyarakat setempat. Daripada kefahaman itulah, syarikat-syarikat yang menerima budaya dan pegangan agama umat Islam dilihat terus maju dan cemerlang tanpa ada sebarang masalah.

Sepatutnya mereka yang menentang wanita bertudung bekerja sedar bahawa tidak ada salahnya wanita Islam menutup aurat daripada bekerja di mana-mana seksyen dalam perhotelan termasuk di bahagian kaunter. Tidak ada bukti yang menunjukkan wanita ini melanggar syakhsiyah atau etika pemakaian. Tambahan pula wanita ini dilihat lebih manis, bersopan, beradab dan menjaga tingkah laku. Dengan demikian maruah diri mereka terjaga sehingga mampu menjaga imej dan nama baik syarikat mereka bekerja.

Islam mengangkat darjat dan martabat wanita setingginya agar kedudukan mereka dihormati masyarakat. Wanita Islam telah membuktikan bahawa peranan mereka dengan berimej menutup aurat juga mampu menjulang nama syarikat mereka. Yang perlu menjadi keutamaan adalah pada kualiti kerja, bukan pada penampilan semata-mata.

Apa yang diharapkan isu seperti ini tidak lagi timbul di masa hadapan. Semua pihak perlu menjaga sensitiviti agama dan budaya masing-masing. Isu-isu yang mengundang kemarahan penganut agama atau bangsa lain perlu dielakkan agar masyarakat mampu hidup aman makmur.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat