Isu pengangguran: Cadangan PAS (siri 4)

Pimpinan
Typography

Kestabilan dalam pembahagian kerja

REALITI yang berlaku pada hari ini, banyak syarikat cenderung untuk mengupah buruh asing berbanding buruh tempatan. Kecenderungan ini adalah disebabkan dengan mengupah buruh asing dapat mengurangkan kos operasi mereka dan secara tidak langsung menambah keuntungan.

nasrudin3Dari satu sudut yang lain, ia sebenarnya menambahkan jumlah pengangguran yang akhirnya membawa impak yang negatif kepada ekonomi negara. Dengan memberi peluang kerja lebih kepada rakyat tempatan, pengaliran duit akan lebih banyak di dalam negara berbanding di luar negara, lantas ia membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Apa yang perlu difikirkan adalah satu permuafakatan di antara majikan dan juga pihak kerajaan perlu dicapai bagi menyelesaikan masalah ini. Ini kerana kondisi ekonomi negara dan rakyat juga bakal memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada para majikan.

Antara cadangan yang boleh diutarakan kepada pihak majikan adalah mengurangkan jumlah buruh asing dan melebihkan rakyat tempatan dalam pemilihan pekerja.

Di samping itu, majikan perlu mengambil kira jumlah gaji yang bersesuaian dengan kos minimum sara hidup rakyat. Ini bagi menjamin produktiviti dan kestabilan pekerja jangka panjang.

Dalam pada itu, kerajaan sebagai penentu dasar, perlu mengambil langkah-langkah yang efektif dan mendasar dalam isu melibatkan pihak majikan.

Beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan yang sebahagiannya telah dilaksanakan di negara lain adalah:

a) Levi pekerja asing boleh ditingkatkan dengan kadar yang tinggi dan menetapkan had ke atas tenaga pekerja asing oleh industri.

b) Penguatkuasaan perlu diperketatkan dengan menjalankan pemantauan berkala terhadap buruh asing dan mengenakan denda yang tinggi kepada syarikat yang melanggar peraturan.

c) Menetapkan kuota minimum pekerja tempatan dalam syarikat asing yang beroperasi di Malaysia.

d) Menggalakkan dan memberikan insentif kepada pemodal/syarikat untuk mengembangkan industri keperluan asas yang tidak popular.

Hayatilah firman Allah SWT:

أَهُمۡ يَقۡسِمُونَ رَحۡمَتَ رَبِّكَۚ نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٣٢ الزخرف

“(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan Rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan: Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian daripada mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya daripada (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.” (Surah Az-Zukhruf, ayat 32)
(bersambung)

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
27 Rabiul Akhir 1439 | 15 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 15/1/2018