Tawaran keindahan Islam warnai Manifesto PAS

Pimpinan
Typography

FIRMAN Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 19:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَنْ يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

"Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya."

1.     Islam sebagai Ad Deen menurut Syed Qutb dan Abu A'la Maududi dalam kitab Manhaj Hidup Muslim meletakkan tafsiran kesempurnaan makna Islam sebagai ad-deen merangkumi 3 aspek.

Pertama: Islam itu berkait rapat dengan kekuasaan dan pemerintahan.
Kedua: Islam itu bersifat kesyumulan
Ketiga: Islam itu bermatlamatkan Akhirat yakni hari perhitungan.

2.     Ketiga-tiga aspek ini hendaklah menjadi warna dan penghayatan Islam yang sebenar dalam memahami Islam dan juga penghayatan dalam konteks pelaksanaannya.

3.     Sekiranya salah satu daripada tafsiran ad-deen ini tidak dihayati, bermakna Islam tidak lagi mampu diterjemahkan dalam erti kata sebenarnya malah menyimpang daripada Islam sebagai ad-deen yang dikehendakinya oleh Allah S.W.T.

4.     PRU14 yang kini sedang rancak berjalan, menyaksikan parti-parti politik berlumba-lumba mengemukakan idealisme dan manifesto masing-masing bagi menambat hati para pengundi dan rakyat Malaysia.

5.     Pelbagai tawaran dan idea diluahkan dan dihamparkan menerusi manifesto pada setiap segmen samada kepada golongan rakyat yang berusia, golongan belia, kanak-kanak, Melayu, Cina, India dna etnik-etnik lain. Segmen para petani, nelayan, kakitangan kerajaan, swasta, peniaga. Pendek kata hampir semua segmen melibatkan rakyat mahupun pengundi terlibat dalam tawaran manifesto.

6.     Parti-parti sama ada PAS (Gagasan), Umno BN dan Pakatan Harapan berusaha untuk menggambarkan dan menambatkan hati rakyat dan pengundi siapakah di antara mereka yang paling berupaya menawarkan dan membela kebajikan dan keadilan kepada rakyat.

7.     Umno BN dengan tawaran manifesto berjumlah beratus muka surat di samping dengan pembentangan bajet 2018 yang lalu lebih daripada RM200 billion, gigih ingin menambat hati rakyat bahawa Umno BN amat mengambil berat tentang kebajikan dan kepentingan rakyat.

8.     Pakatan pula tidak terkecuali, berpuluh muka surat Tawaran Manifesto PH yang dilancarkan turut bersaing untuk memperlihatkan diri mereka menjaga kebajikan dan membela kepentingan dan keadilan rakyat.

9.     Justeru itu, Umno BN dan PH yang setiap daripada mereka telah menawarkan kebajikan dan pembelaan kepentingan rakyat, maka apakah yang membezakan mereka dengan PAS (Gagasan) yang turut mengemukakan manifesto dan tawaran pilihan raya?

10.     Perbezaannya adalah Islam. Islam sebagai ad-deenlah yang ditawarkan oleh PAS (Gagasan) menerusi penterjemahan dan pentafsiran sempurna aspek Ad Deen yang tiada pada Umno BN dan PH.

11.     PAS (Gagasan) bukan hanya menawarkan manifesto berkebajikan dan pembelaan kepentingan rakyat sepertimana yang ada pada Umno BN dan PH. PAS menawarkan dan ingin merealisasikan konsep ad-deen dalam manifestonya.

12.     Tawaran dan kepentingan rakyat dalam manifesto PAS (Gagasan), diwarnai dengan keindahan Islam sebagai cara hidup, sebagai solusi dan sebagai sistem yang mendasari dan membentuk kerangka pemerintahan negara.

13.     Sebagai contoh cukai Goods and Services Tax (GST), PAS sejak daripada awal cadangan GST sehingga pelaksanaannya jelas dan tegas menentang GST bukan hanya kerana ia membebankan rakyat serta menjadi punca inflasi atau selainnya, tetapi menentang GST disebabkan prinsip dan pelaksanaannya bercanggah dengan kaedah Islam.

14.     Bukan bermakna PAS menentang sebarang bentuk cukai, tetapi PAS menentang sistem GST yang melanggari prinsip dan kaedah Islam. Ia sistem cukai berasaskan perbelanjaan dan zalim yang tidak mengira latar belakang pembayar cukai.

15.     Sebab itu, PAS mengemukakan cadangan alternatif berasaskan sistem cukai yang selari dengan kaedah Islam yang dihayati menerusi kaedah zakat iaitu cukai atas orang kaya dan lebihan pendapatan bukannya ke atas semua rakyat.

16.     Prinsip adil menurut aspek Islam diaplikasikan dalam cadangan cukai alternatif PAS, iaitu adil meletakkan sesuatu sesuai di tempatnya. Bukan adil itu sama rata apabila rakyat yang miskin turut dicekik darah mereka. Cukai yang adil dicadangkan PAS ialah cukai saham dan korporat.

17.     Begitulah pula dengan beberapa tawaran PAS (Gagasan) seperti hak milik kenderaan enjin di bawah 1300 liter dengan tawaran pinjaman Qardul Hasan. Ia menjadikan sistem kewangan Islam yang suci daripada riba sebagai solusi dan penyelamat kepada golongan anak muda yang bebas daripada cengkaman kemurkaan Allah melalui kewangan.

18.     Umno BN dengan tawaran manifestonya yang besar tetapi masih mengekali sistem nasionalisme dan pragmatisme yang mewarnai dan mencorakkan tawaran mereka.

19.     Pakatan Harapan pula, turut memiliki tawaran kebajikan dan kepentingan rakyat, namun bergelumang dengan sistem sekularisme, sosialisme dan kapitalisme.

20.     Maka dengan itu, penulis ingin menyimpulkan bahawa sekiranya diteliti dan dihayati maka kita akan ketahui bahawasanya Pilihan Raya Umum Ke-14, bukan lagi pertembungan antara siapa yang lebih bela dan perjuangkan kebajikan rakyat atau tidak, begitulah pula bukannya pertembungan antara siapa yang adil atau zalim.

21.     Akan tetapi ia adalah pertembungan antara mereka yang tidak mahu Islam dan tidak menghayati Islam dengan Islam yang dijadikan sebagai cara dan sistem kehidupan yang syumul.

22.     PAS sahajalah parti yang mampu mewarnai dan menterjemahkan Islam sebagai ad-deen serta keindahannya yang syumul sebagai cara hidup, sistem pemerintahan dan solusi kepada permasalahan rakyat dan negara ini.

Ditambah lagi bukti laporan di parlimen memperakui hanya pimpinan parti PAS sahaja bersih daripada sebarang dakwaan salah laku dan rasuah termasuk Kerajaan PAS Negeri Kelantan selama 28 tahun memerintah.

23.     Ayuh seluruh rakyat dan pengundi, bersama dengan Islam yang indah ini dan Islam mampu mensejahterakan negara ini dengan petunjuk Ilahi. – HARAKAHDAILY 9/4/2018

Penulis adalah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat merangkap Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.