Nah, itu baru dua negeri PAS perintah

Pimpinan
Typography

KAWAN saya, seorang pakar terkenal dalam bidangnya, memilih untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini. Saya berkongsi pandangan dengannya lebih sejam.

Alasan utamanya adalah alasan utama pengundi PH iaitu demi jatuhkan DS Najib. Beliau menambah, bagaimana PH nak memerintah, kita kira kemudian. Yang utama, negara dah teruk akibat Najib. Semuanya adalah demi rakyat bawahan yang sedang hidup merana. Saya khusyukkan diri mendengar kawan yang dihormati berhujah penuh yakin. Saya hanya berseloroh, "Ingatkan dah jadi DAP..". Dia ketawa menafikan. Dia tahu saya tahu dia kuat semangat Melayunya.

Beliau mengkritik beberapa perkara mengenai PAS. Saya bersetuju dan berkongsi beberapa kritikannya adalah benar. Itu juga concern saya dalam membina PAS.

Dia 'push' supaya PAS lebih menonjolkan tokoh-tokoh profesional dan jangan terlalu ustaz sangat. Baru dapat bersaing memenangi hati rakyat.

Hehe 'boring' bab ini. Saya buat serius tanya dia dua soalan supaya dia lebih serius masa menjawab. Soalan satu, siapa Menteri Besar paling warak dalam Malaysia? Dia merenung 6 saat, kemudian menjawab, "Dato Mad Yakob kita." Saya mengiyakan. Saya tanya soalan kedua, siapa Menteri Besar paling profesional kepakarannya dalam Malaysia? Dia merenung 7 saat, lalu menjawab, "Menteri Besar Terengganu."

Saya berkata, "Nah, itu baru dua Negeri PAS memerintah." Hampir saya berkata kepadanya bahawa jika PAS berjaya memenangi Negeri Kedah baru-baru ini, maka calon MB-nya adalah Pesuruhjaya PAS Kedah, seorang pemilik Ijazah PhD.

Silalah buat perbandingan jika mahu. Tujuan saya, agar dia tersentak sedar bahawa golongan profesional dalam PAS adalah unggul. Jika Terengganu yang rakyatnya berlatar agama yang kuat boleh menerima seorang Pakar Kejuruteraan Aeroangkasa sebagai MB, bukankah lebih nyata bahawa PAS pasti mengemukakan calon yang sedemikian juga levelnya sebagai MB di semua negeri?

Apalah dogma bahawa PAS meminggirkan semua golongan demi penguasaan golongan ustaz? Ironinya, saya bersimpati pula dengan keluhan beberapa ustaz 'belah sana' yang mula rasa terpinggir tidak didengari akibat jamaahnya terlalu dikuasai golongan profesional. Kata mereka, pertimbangan agama sudah semakin menipis.

Begitulah perjuangan. Susah senang berpahala tiada ruginya.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
AJK PAS Pusat
3 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 3/7/2018