Peranan teknokrat untuk memulihkan Tabung Haji

Presiden
Typography

TABUNG Haji merupakan institusi ekonomi terpenting kepada umat Islam yang perlu diurus secara telus, cekap dan profesional.

Peranan yang terpikul di bahu Tabung Haji amatlah besar dalam menjaga kebajikan jemaah haji bagi melaksanakan rukun Islam kelima dengan sempurna, di samping berperanan sebagai wadah penyimpanan dan pelaburan yang dapat meningkatkan kedudukan ekonomi umat Islam keseluruhannya.

Berikutan pelbagai isu dibangkitkan mengenai Tabung Haji mutakhir ini, PAS mengulangi saranan agar satu penilaian bebas dan menyeluruh dibuat melalui Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa PAC Parlimen bagi meneliti setiap laporan dan syor yang dikemukakan oleh Jabatan Audit Negara, SPRM, PDRM dan juga Bank Negara Malaysia, demi memperkasakan kedudukan kewangan dan meningkatkan kecekapan operasi di pihak Tabung Haji.

Keyakinan terhadap Tabung Haji perlu dipulihkan dengan segera melalui sokongan dan dukungan semua pihak terhadap peranan teknokrat yang telah dilantik dalam kalangan Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi untuk melaksanakan tugas secara profesional, tanpa campur tangan politik yang berlebihan dalam membuat sebarang keputusan.

Penumpuan perlu diberikan untuk melaksanakan segala langkah pemulihan yang telah digariskan bagi meningkatkan integriti dan mengembalikan keyakinan terhadap Tabung Haji, seterusnya mengangkat kedudukan Tabung Haji dan ekonomi umat Islam ke tahap yang lebih baik pada masa hadapan.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Syaaban 1440 / 9 April 2019 – HARAKAHDAILY 9/4/2019