Celaka kecewakan Palestin

Presiden
Typography

HADIS Rasulullah S.A.W.:

"لا تزال طائفة من أمتي على الدين ظاهرين، لعدوهم قاهرين، لا يضرهم من خالفهم إلا ما أصابهم من لأواء، حتى يأتيهم أمر الله. وهم كذلك"، قالوا: يا رسول الله وأين هم؟ قال: "ببيت المقدس وأكناف بيت المقدس". (رواه أحمد)

“Sentiasa berada dalam kalangan umatku dari kalangan yang menyerlahkan diri mereka secara terbuka dan nyata, menegakkan kebenaran, menghadapi musuh dengan gagah perkasa, tidak boleh dimudaratkan (dihentikan) oleh orang-orang yang mengecewakan mereka, sehinggalah datangnya perintah Allah (memenangkan mereka) dalam keadaan mereka terus meneruskan perjuangannya”.

Lalu para sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah dan di mana mereka berada?” Sabdanya: “Di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis”. (Riwayat Imam Ahmad)

Kita menyaksikan kebenaran sabda Rasulullah S.A.W. selepas berlakunya pengkhianatan terhadap Islam pada awal abad yang lalu, sehingga Baitul Maqdis yang merupakan salah satu tanah suci umat Islam itu dirompak secara terbuka, selepas dirampasnya bumi Palestin oleh kaum paling dimurkai Allah.

Tegaknya negara haram Israel 1948 adalah hasil pengkhianatan bersejarah menolong musuh menjatuhkan Khilafah Uthmaniyah sehingga berlangsungnya Sykes-Picot Agreement dan Balfour Agreement, laksana membahagikan faraid (harta pusaka) terhadap tanah air kepunyaan umat Islam oleh mereka yang tidak berhak memilikinya dan diberi kepada mereka yang haram memilikinya, kerana jenayah mereka terhadap para anbia’ A.S.

Namun muncul kumpulan Islam yang dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W. melangsungkan jihad tanpa menyerah kalah, walaupun mereka hidup miskin merempat, kerana hartanya dirompak, kebun dan kedai disamun secara terang-terangan, rumah kediaman dan tanah miliknya sejak turun temurun dirampas, sehingga ramai yang hidup dalam perkhemahan dan rumah kediaman yang tidak cukup kemudahan hidup, atau terpaksa berhijrah ke negeri jiran.

Mereka terus berjihad menghadapi tentera Israel yang ganas bersenjata paling canggih dengan bantuan yang bertali arus daripada negara sekutunya di bawah pengaruh Zionis, sehinggalah diizinkan senjata pemusnah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa, tetapi dihalalkan bagi Israel itu.

Kumpulan Islam itu hanya bersenjata ringan yang tidak mencukupi dan ada yang hanya bersenjatakan pisau kecil dan batu, demi melaksanakan jihad fardhu ain yang dinyatakan oleh para ulama’ semua mazhab Sunni, Syiah dan Khawarij bahawa diwajibkan berjihad ke atas lelaki, wanita sehinggalah kanak-kanak yang mampu apabila musuh sudah berada dalam tanah airnya.

Mereka tidak peduli walaupun ada daripada kalangan saudara mereka dalam kalangan umat Islam yang datang berseronok menjadi pelancong di atas nama ibadat sunat ziarah Baitul Maqdis dan meninggalkan yang wajib.

Apatah lagi negara jiran yang paling mengecewakan, kerana kekayaan harta, membina rumah mewah, istana, makanan dan pakaian yang melampau pembazirannya tetapi leka dan bacul sifatnya, tenggelam dalam maksiat nyata dan tersembunyi walaupun bangsanya Arab dan bahasanya Al-Quran, kerana hartanya kanya, bangsat imannya, sehingga dibalakan menghabiskan masa, harta, dan nyawa membunuh sesama sendiri, dengan senjata yang dibeli daripada musuh dan membunuh sahabat dan keluarga sendiri, di atas semangat mazhab dan bangsa.

Kini pula dipamerkan tawaran baru yang dinamakan صفقة القرن (The Deal of The Century), yang ditaja oleh Amerika dan didukung oleh beberapa negara Arab yang kaya, dengan cadangan menubuhkan Negara Palestin baru di atas tanah yang dikatakan Mesir, dengan perbelanjaan beberapa bilion, dan bersedia walaupun trilion USD, dengan syarat meninggalkan tanah air Palestin termasuk Baitul Maqdis diserahkan kepada Israel. Mana-mana kumpulan yang menolaknya disenaraikan sebagai pengganas, termasuk mana-mana negara yang menolaknya juga disenaraikan pengganas.

Kini Amerika sedang bersedia mengumpulkan bala tentera yang besar untuk berperang dengan Republik Islam Iran yang tidak diiktiraf Islamnya kerana bermazhab Syiah. Kesalahan Iran kerana berjaya memajukan teknologi, sehingga tidak menumpang negara lain. Persediaan perang besar itu bagi melawan atau berperang menghadapi Iran atas nama keamanan dan keselamatan serantau dan menentang penceroboh. Malangnya Amerika yang datang daripada jauh itu dianggap bukan penceroboh, tetapi negara kawan yang berjiran digelarnya pula sebagai penceroboh kerana mahu menghapuskan Israel dan menolak tawaran menjual Palestin dan Baitul Maqdis.

Satu persidangan ekonomi akan diadakan di Bahrain dan juga persidangan di Makkah dalam isu yang sama, tetapi lebih bersifat politik, kerana diuar-uarkan ancaman Iran terhadap keamanan serantau, bukannya Amerika dan Israel. Isu campur tangan Iran yang dihantui dan tidak nyata, sebaliknya kedatangan dan campur tangan Amerika dan Israel yang nyata dianggap setia kawan.

Sila perhatikan dan fahami dengan mendalam secara adil dengan insaf dan ikhlas kerana Allah, terhadap beberapa negara Arab yang sedang menghadapi kekacauan yang belum reda.

Negara Mesir, Libya, Syria, Yaman, kini Sudan dan Algeria, sebelumnya Lubnan dihuru-harakan. Turki juga menjadi mangsa rampasan kuasa tetapi gagal. Jordan juga dikatakan ada usaha rampasan kuasa yang digagalkan. Semuanya adalah negara yang terpalit menjadi pangkalan hadapan ancaman kepada Israel atau secara langsung membantu mana-mana kumpulan yang berjuang di bumi Palestin.

Terang lagi bersuluh bahawa masalahnya adalah sama ada memilih menjadi penyelamat kepada Israel atau berpihak kepada perjuangan Palestin. Semua yang mengecewakan Palestin pasti diselamatkan. Bukannya kerana Syiah atau Sunni, Arab dan bukan Arab, demokrasi atau diktator.

Syiah sudah lama berada dalam masyarakat Islam berkurun-kurun dan menjadi mazhab negara pada zaman Shah Iran berkuasa. Perbezaannya Iran pada zaman Shah Iran dahulu, konsepnya Diktator Maha Raja (Shahanshah), mengiktiraf negara Israel dan menjalin hubungan yang sangat akrab. Di kala itu, Iran juga menjadi pangkalan paling seronok untuk berfoya-foya dengan hiburan sehinggalah mudah didapati arak paling memabukkan dan pelacuran paling cantik rupawan. Pada masa itu Syiahnya berimamkan yang maksum, diterima Islamnya, walaupun jemaah hajinya sembahyang jemaah berasingan apabila datang menunaikan haji, layak menjadi anggota OIC, diajak musabaqah Al-Quran dan qarinya kerap kali menjadi johan.

Iran kini bertukar menjadi Republik Islam, tetapi terus bermazhab Syiah yang terus dihukum kafir, majusi dan lain lain. Apabila membuat perubahan kini, Imamnya tidak lagi maksum, mengambil pendekatan syura dan taqrib terhadap mazhab yang lain, melakukan perubahan, diadakan pilihan raya memilih kerajaan dan pemimpinnya yang boleh dipecat dan ditukar ganti, pusat berfoya-foya ditutup, arak dan pelacuran dikenakan hukuman hudud. Tetapi paling kerasnya terhadap Israel yang dianggap negara haram yang wajib dihapuskan, mengajak negara Arab bersama dan paling berani menghantar senjata kepada kumpulan Islam yang berperang menentang Israel walaupun Hamas dan Tanzim Jihad adalah Sunni tidak Syiah seperti Hizbullah yang bermazhab Imamiyyah di Lubnan dan Ansarullah yang bermazhab Zaidiyyah di Yaman. Maka Iran begini disenaraikan pengganas dan diajak bermusuh lebih bahaya daripada Israel, bahkan Israel bertukar menjadi kawan.

Adapun Syria pula berparti Baath beraliran sosialis dan nasionalisme Arab paling anti Israel, sehingga dibenarkan pangkalan latihan dan bekalan senjata kepada semua kumpulan yang berperang menghadapi Israel, termasuk Hamas dan Tanzim Jihad yang tegas sifat Islam dan Sunninya.

Lubnan pula masyarakat majmuk Islam Sunni dan Syiah bersatu menentang Israel dan Kristian berbagai mazhab, Arabnya nasionalis menentang Israel dan bersedia menerima menjadi pangkalan Hizbullah bermazhab Syiah, Hamas dan Tanzim Jihad bermazhab Sunni, semuanya mahu menghapuskan Israel. Maka dianggap mengacau keamanan dan keselamatan negara. Adapun golongan yang berhubung dengan Israel dibantunya menjadi kawan yang boleh bergerak di atas nama perdamaian dan perpaduan Lubnan.

Yaman pula berada di pintu Laut Merah, laluan lubang hidung Israel yang membekalkan tenaga petroleum yang penting bagi Barat dan Israel, dan menjadi pintu bekalan senjata kepada pejuang Palestin bersama Sudan. Kumpulan Syiah dahulunya dibantu menentang kerajaan, tetapi apabila kumpulan itu sudah menjadi kuat di atas nama Ansarullah dan bersedia menentang Israel, maka Yaman diserang besar-besaran. Dulu Syiahnya dibantu, kini Syiahnya diburu.

Adapun Mesir rakyatnya paling bermusuh dengan Israel walaupun kerajaannya menjadi permulaan mengiktiraf Israel dengan Perjanjian Camp David yang terkenal, diikuti oleh negara-negara Arab yang berminat sepertinya memberanikan diri mengikut jejak langkah Mesir, seterusnya mengiktiraf Israel dan mengadakan hubungan secara terang dan ada yang disembunyikan kerana takutkan rakyat bukan takut kepada Allah.

Turki pada zaman Mustafa Kemal Atatürk dan pengganti sepertinya diberi keamanan dan ketenangan, apabila menjadi negara paling awal mengiktiraf Israel bersama negara-negara Barat. Tetapi apabila diambil alih oleh parti AK pimpinan Recep Tayyip Erdoğan, sebaik sahaja menunjukkan perubahan anti Israel dan menggabungkan kekuatannya dengan Iran dalam keadaan belum bebas sepenuhnya daripada ikatan NATO, diusahakan rampasan kuasa menubuhkan kerajaan baru oleh negara yang sangat kuat demokrasinya, tetapi mahu diruntuhkan demokrasi itu di Turki.

Diberitakan juga Raja Jordan hampir digulingkan oleh kudeta yang melibatkan beberapa negara yang mendukung tawaran tersebut, tetapi diselamatkan kerana terbongkar perancangannya dan rakyat mendukung raja berani menolaknya.

Adapun Libya, Iraq, Algeria dan Morocco adalah negara dan rakyatnya bersimpati dengan pejuang Palestin, diikuti oleh Tunisia, Mauritania dan lain-lain.

Semua dalam senarai ini entah mengapa berlaku kekacauan dan huru-hara, di mana salahnya? Mengapa boleh berlaku sebegini rupa keadaannya? Siapakah pencetus atau pengacaunya sehingga perlu bersidang di Bahrain dan bermuktamar di Makkah?

Kesimpulan yang boleh diambil, menunjukkan masalahnya bukan pada Sunni atau Syiah, Arab atau bukan Arab, demokrasi atau diktator, tetapi menyatakan sokongan bersama Israel atau tidak? Menyokong tawaran baru yang dinamakan 'The Deal of The Century' atau tidak?

Adapun mana-mana negara yang menerima 'Sykes-Picot Agreement' dan 'Balfour Agreement', dan yang terkini bersedia menjadi pendukung 'The Deal of The Century' dan redha di atas tanahnya menjadi pangkalan bala tentera asing, dijamin keamanan dan keselamatannya dan boleh berlagak menjadi negara kuasa besar kepada sesiapa yang mengancam Israel walaupun keluasan negara itu kecil sekangkang kera. Sehingga diberitakan bahawa para ulama’ dan ilmuwan yang berani bersuara dipenjarakan dan ada dihalalkan darahnya, demi apa? Kalau tidak demi Israel!

Tunggu dan lihat Persidangan Makkah mengambil contoh mengulangi kecelakaan Perisytiharan Revolusi Agung Bangsa Arab yang menjatuhkan khilafah pada awal abad yang lalu yang dilakukan di Makkah juga, sehingga sanggup mencemarkan kesucian kota itu. Persidangan Bahrain pula menjadi tempat haram menjual dan melelong Palestin yang menjual maruah agama dan umat.

Kita percaya kepada sabda Rasulullah S.A.W. bahawa tidak harus bagi seseorang yang beriman itu disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang.

Makkah sepatutnya rumah yang berkat, bukan sahaja menjadi kiblat lambang kesatuan Islam yang sempurna dan bukan hanya kiblat sembahyangnya sahaja di Makkah, tetapi sangat malang kini kiblat politiknya di Washington.

Sepatutnya Forum OIC menyatukan umat yang berpecah mazhab sehingga merosakkan, dengan muzakarah secara ilmu dan berpegang kepada persamaan rukun dan konsep yang masih menjadi titik pertemuan, supaya keluar daripada kesesatan dan perpecahan, seterusnya bersatu menghadapi musuh yang sebenar, bukannya boleh diperkudakan menjadi agen musuh membunuh saudara seagama.

Kini kita menyaksikan sebahagian daripada sabda Rasulullah S.A.W. di atas sudah menjadi kenyataan munculnya kalangan yang mengecewakan pejuang Palestin.

Kita sedang menunggu sebahagian lagi, iaitu janji kemenangan kepada kumpulan yang sedang berjihad di Baitul Maqdis dan sekitarnya dan celakanya kumpulan yang mengecewakan mereka walaupun berada di bawah bayangan Kaabah dan berselimut dengan kain yang menyalutnya kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terselit di hati mereka.

Akhirnya hayatilah petunjuk Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (51) فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَىٰ أَن تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَن يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِّنْ عِندِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا أَسَرُّوا فِي أَنفُسِهِمْ نَادِمِينَ (52) وَيَقُولُ الَّذِينَ آمَنُوا أَهَٰؤُلَاءِ الَّذِينَ أَقْسَمُوا بِاللَّهِ جَهْدَ أَيْمَانِهِمْ إِنَّهُمْ لَمَعَكُمْ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَأَصْبَحُوا خَاسِرِينَ (53)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana sebahagian dari mereka menjadi teman rapat kepada sebahagiannya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. (51); Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka)”. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya”. (52) Dan orang-orang yang beriman akan berkata, "Inikah orang yang bersumpah secara bersungguh-sungguh dengan (nama) Allah, bahawa mereka benar-benar beserta kamu?" Segala amal mereka menjadi sia-sia, sehingga mereka menjadi orang yang rugi. (53) (Surah Al-Maa’idah: 51-53)

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 27 Ramadan 1440 / 1 Jun 2019 – HARAKAHDAILY 1/6/2019