PAS: Menuju PRU 14

Presiden
Typography

YANG berikut adalah temubual Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS bersama wartawan Sinar Harian yang disiarkan dalam Akhbar Sinar Harian pada 20 Oktober 2017.

SH: Baru-baru ini, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa menyokong PAS sama seperti beri undi kepada BN, dan minta PAS supaya bertaubat.  Boleh Tuan Guru jelaskan mengenai perkara ini?

TGHH: PAS bukan parti dalam BN dan kita akan bertanding di kerusi di mana BN bertanding. Selayaknya Mahathir bertaubat kerana dialah penyebab kerosakan sistem negara, mengurangkan hak dan kuasa Melayu-Islam dan Majlis Raja-raja, mengamalkan demokrasi tempang dan memerintah negara secara diktator serta mengamalkan politik wang.

Semua kesalahan ini dia tidak mengaku dan tidak minta maaf kepada mangsa, bahkan masih lagi mempertahankan salahlakunya. Ini menunjukkan dia tidak jujur untuk selamatkan negara Malaysia. Yang dia mahu jatuhkan Najib sahaja. Hakikatnya, mengundi DAP, PKR, PAN, BERSATU adalah mengundi dan mengiakan kezaliman Mahathir.

SH: Tun Mahathir kata kebencian PAS kepada PAN dan DAP melebihi azam untuk selamatkan negara dan agama. Apa komen Tuan Guru?

TGHH: Sejak ditubuhkan sehingga hari ini, PAS tidak meninggalkan matlamat untuk menyelamatkan negara melalui Fasal 5 Perlembagaan PAS. Bezanya, PAS mahu selamatkan negara dengan Islam bersama jaminan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Adapun DAP tidak menghormati perkara ini dengan berani menunjukkan sikap menentang terhadap usaha untuk memartabatkan Mahkamah Syariah melalui pindaan RUU355. PAN pula ditubuhkan di atas restu DAP untuk menggantikan PAS, malangnya PAN tidak berjaya mendapatkan undi Melayu, bahkan penubuhannya memberi bebanan kepada DAP. Tambahan pula, kita melihat harapan DAP untuk selamatkan negara adalah palsu dengan beberapa kes pemimpinnya terpalit isu rasuah.

PAS yang memerintah Kelantan hampir 27 tahun adalah kerajaan bersih tanpa rasuah dan diiktiraf sebagai pentadbiran berintergriti oleh agensi-agensi kerajaan yang membuat audit kepada pentadbiran kerajaan, walaupun tempoh masa pemerintahan lebih panjang.

SH: Polemik hubungan politik PAS-Umno sering dimainkan. Boleh Tuan Guru jernihkan isu ini, tambahan menjelang PRU14 nanti.

TGHH: PAS mengambil pendekatan tahaluf siasi dan taawun bagi menghadapi PRU14. PAS bertahalluf dengan parti-parti dalam Gagasan Sejahtera bagi menghadapi BN dan Pakatan Harapan. Adapun dengan UMNO-BN, kita mengambil pendekatan taawun iaitu menyokong apa yang baik dan positif demi keutamaan Islam dan Melayu dan kita membantah apa yang negatif dan salah yang merugikan negara dan rakyat seperti GST, TPPA, DLP dan Akta 164.

SH: Menjelang PRU14, pendirian PAS jelas iaitu tiada kerjasama dengan PH. Namun isu pertembungan tiga penjuru sering ditimbulkan. Bagaimana strategi PAS agar tiga penjuru ini beri keuntungan kepada parti?

TGHH: Persoalan strategi adalah rahsia, cumanya PAS telah meneliti satu persatu bagi setiap kerusi dan menyusun strategi berdasarkan maklumat akar umbi. Sasaran kita untuk menang 40 kerusi adalah realistik dan boleh capai.

Saya juga melihat para penganalisis politik sangat dipengaruhi oleh keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk mengunjurkan apa yang bakal berlaku dalam PRU 14. PAS melihat dua PRK ini sebagai kes yang tersendiri, dengan pengertian lain. Senario politik di dua kawasan ini tidak mewakili keseluruhan senario politik di seluruh negara. Setiap kawasan ada ciri-ciri tersendiri, mengambil kira komposisi kaum, kedudukan kawasan di bandar atau luar bandar, parti-parti yang bakal bertanding, siapa calon dijangka bertanding, isu-isu setempat dan lain-lain.

Oleh sebab itu, dalam mempertimbangkan boleh menang atau tidak, PAS tidak sekadar menganalisisnya berasaskan dua senario, tiga penjuru atau dua penjuru. PAS juga tegas bersama aqidah Islam dan bersama asas Perlembagaan Negara yang mahu dirungkai oleh berbagai aliran.

SH: Apakah lima kelebihan PAS berbanding Pakatan Harapan untuk menewaskan BN?

TGHH: Dasar PAS adalah Islam dan PAS tidak pernah menjual prinsip ini demi meraih undi pilihanraya atau kemenangan sementara. Islam menjadi aqidah perjuangan yang kukuh.

Kedua, PAS ada kekuatan akar umbi yang tidak dimiliki oleh pembangkang lain. Kita ada 196 kawasan dan 7063 cawangan di seluruh negara.

Ketiga, PAS bersama Gagasan Sejahtera yang didukung oleh parti-parti politik, NGO-NGO dan tokoh-tokoh masyarakat.

Keempat, PAS meninggalkan politik tegang dan mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang lebih mendekatkan PAS dengan pengundi dan mewujudkan keamanan serta kestabilan politik negara.

Kelima, Orang Melayu bersama PAS. Kita perlu sedar undi teras politik Malaysia adalah Melayu. Mana-mana parti yang mahu menjadi pemerintah mesti mendapat undi Melayu dan kita lihat BERSATU dan PAN tidak dapat menarik undi Melayu kepada PH, cuma PAS perlu juga melibatkan bukan Islam yang masih tidak fanatik perkauman dan agama.

SH: PAS tubuhkan blok ketiga melalui Gagasan Sejahtera, tetapi tak nampak sangat peranan gabungan-gabungan lain. Parti Ikatan pun kadang-kadang saja beri kenyataan. Bagaimana PAS nak yakinkan kekuatan blok ketiga ini?

TGHH: Kekuatan Gagasan Sejahtera melalui gabungan gagasan rakyat yang terdiri daripada parti-parti politik, NGO dan tokoh-tokoh masyarakat. Terbaru, kita menerima kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Berjasa, lebih 100 NGO sudah mengisytiharkan bersama Gagasan Sejahtera serta penyertaan tokoh-tokoh bekas penjawat awam.

Ini akan mengukuhkan gelombang ketiga iaitu gelombang rakyat keseluruhan, bukannya sekadar gabungan parti-parti politik sahaja. Kita tidak bergantung kepada kenyataan media sahaja.

SH: Benarkah PAS membenarkan akar umbi buat rundingan pembahagian kerusi dengan Bersatu dan PKR khususnya di Selangor, Kedah dan Kelantan?

TGHH: Tidak benar. PAS sudah mengisytiharkan bersama Gagasan Sejahtera untuk bertanding melawan di kerusi BN dan PH.

SH: Adakah Tuan Guru akan bertanding lagi dalam PRU14?

TGHH: Saya serahkan kepada keputusan parti.

SH: Bagaimana pula Tuan Guru melihat sikap pengundi terhadap PAS kini?

TGHH: Alhamdulillah selepas DAP memutuskan hubungan dengan PAS, pengundi Melayu mula beralih kepada kita. Ini hasil konsisten PAS yang tidak mudah dicucuk hidung oleh DAP, khususnya dalam isu hak kepentingan orang Islam, berkaitan pindaan Akta 355 dan sikap berani kita menolak politik cauvinis perkauman.

Tambahan pula dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang kita buat, kita berjaya mendekati pengundi-pengundi Melayu-Islam khususnya, dan bukan Islam yang menolak politik perkauman DAP. Kita sedar tidak semua orang bukan Islam suka DAP yang rasis dan perkauman.

Kita juga telah berjaya merobohkan benteng dengan agensi kerajaan, penjawat awam, NGO dan banyak pihak yang bersedia jumpa kita. Ini hasilnya selepas kita mengamalkan BPMS yang dapat mengurangkan ketegangan, selain kita tidak bersama BERSIH setelah ada bibit-bibit untuk mengubah halatuju sebenar BERSIH.

SH: PAS dilihat terus diasak di segenap penjuru, apa yang membuatkan PAS terus 'kebal' meskipun terus diasak?

TGHH: Kekuatan PAS terletak pada dasar Islam dan aqidah perjuangan yang tidak boleh dibeli oleh sesiapa. PAS sudah membuktikan betapa istiqamahnya untuk menegakkan aqidah dan syariat tanpa mempedulikan apa jua halangan dan cabaran. Malah, pimpinan PAS sekalipun akan tercampak keluar atau dicampak oleh ahli jika tidak beristiqamah dengan Islam dan cuba mengubah haluan PAS. PAS parti milik ahli yang bersama PAS kerana Islam. Pimpinan boleh datang dan pergi tetapi ahli PAS tetap istiqamah bersama bahtera PAS.

SH: Diuji dengan masalah kesihatan baru-baru ini, adakah ia mengganggu tumpuan Tuan Guru kepada parti? Lebih-lebih lagi dengan jadual padat di dalam dan luar negara.

TGHH: Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik dan saya dapat menghadiri mesyuarat dan program-program parti secara beransur-ansur.

SH: DAP tiba-tiba nyatakan hasrat bertanding di Kelantan. Adakah ini boleh dilihat sebagai perang terhadap PAS dan bukan untuk lawan Umno. Sebab seperti diketahui PAS memang dah lama betapak di kelantan.

TGHH: Itu hak demokrasi dalam negara kita yang membenarkan untuk mana-mana parti bertanding dan meletakkan calon, asalkan ada kawasan Parlimen, bukan Pulau Kapas atau Pulau Bidong yang tidak ada pengundi.

SH: Melihat kepada sambutan anak muda pada Himpunan Fastaqim 2.0 baru-baru ini, bolehkah ia diterjemahkan sebagai sokongan anak muda pada PRU14?

TGHH: Alhamdulillah, saya rasa terharu dengan kehadiran peserta Fastaqim 2.0 yang kebanyakannya anak muda. Ini satu harapan kepada PAS bahawa masa depan PAS sangat cerah. Dengan program-program yang dijalankan sepanjang dua hari, saya berterima kasih kepada anak muda yang berminat dan berani hadir serta menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan.

Di dalam PAS hari ini juga, saya ingin menjelaskan, PAS dibarisi oleh beribu para profesional muda yang tampil memperkemaskan pasukan profesional yang sedia ada. Oleh sebab itu, PAS tidak ketandusan pasukan yang membuat analisis berkaitan potensi pilihanraya dan gerak kerja parti lain. PAS hari ini mempunyai persediaan pilihanraya lebih lengkap dan menyeluruh dengan tampilnya para profesional muda ini.

SH: Semasa Himpunan Fastaqim 2.0, telah dilancarkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS), apa perbezaan dan keistimewaannya dengan konsep Negara Islam serta Negara Berkebajikan yang dilancarkan PAS beberapa tahun dahulu?

TGHH: Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) adalah sebuah pelan pembangunan dan pentadbiran negara jangka masa panjang yang berkonsepkan iman dan taqwa. WINS ini dibina atas falsafah yang diambil terus daripada peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 5 yang menerangkan perihal tujuan penubuhan PAS iaitu memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah SWT. Ia juga adalah kesinambungan kepada agenda PAS yang pernah dilancarkan sebelum ini seperti Dokumen Negara Islam dan Konsep Negara Berkebajikan.

Melalui model kenegaraan ini, PAS meletakkan dalam prinsip-prinsip WINS berteraskan kepada konsep siasah syariah dalam pendekatan yang baru, antaranya pematuhan kepada prinsip penyelesaian Islam dalam mengubah corak negara kepada lebih baik dan prinsip pembangunan insan berteraskan kepada asas iman, taqwa dan ilmu dalam memacu pembangunan tanpa sebarang ketirisan. – HARAKAHDAILY 20/10/2017