Menyumbang dalam pilihan raya untuk menangkan Islam

Presiden
Typography
وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ 
"Dan berbelanjalah kamu pada jalan agama Allah, dan jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan."
(al-Baqarah: 195)
 
Sebab turunnya ayat yang saya baca itu apabila berlaku di zaman Nabi S.A.W, ada beberapa orang Sahabat (R.A) yang meninggalkan perjuangan kerana merasakan Islam sudah cukup berjaya, inilah masa untuk jaga kebun, jaga kedai, jaga binatang. Lalu Allah menurunkan ayat:
 
وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
"Belanjalah kamu pada jalan Allah, jangan kamu campak diri kamu ke dalam kebinasaan."
(al-Baqarah: 195)
 
Allah Taala memberi amaran, supaya mereka jangan meninggalkan perjuangan untuk menegakkan perjuangan Islam. Disuruh mereka menyumbang perkara yang mereka kasih iaitulah harta mereka untuk menolong Islam. 
 
Allah Taala menyebut acapkali dalam Quran, menyumbangkan harta lebih daripada menyumbangkan diri, kerana Allah Taala tahu manusia sayang ke harta lebih daripada diri. Dan Allah menjanjikan kepada yang menyumbang fi sabilillah, 700 kali ganda, berbeza dengan sumbangan-sumbangan yang lain. 
 
Kerana manusia mudah beri sedekah kepada peminta sedekah, mudah beri ke masjid, mudah beri bantuan kepada mereka yang dapat dilihat dengan mata. Tetapi menyumbang kepada perjuangan Islam ini, payah nak diberi, dengan sebab banyak bisikan-bisikan syaitan, gangguan-gangguan syaitan, mari macam-macam perasaan.
 
Dan hari ini pula timbul keraguan, adakah pilihan raya, pilihan raya ini ada dalam ugama Islam? Termasuk dalam ibadat ke? Memang tak sebut dalam Quran. Quran menyebut tentang haji, tuhan tak sebut naik kapal terbang, cari pitih untuk naik kapal terbang. Tuhan sebut masjid, tuhan tak sebut, kayu simen, besi dan sebagainya. 
 
Pilihan raya adalah alat untuk mendirikan kerajaan, mendirikan kerajaan ini kewajipan yang besar, kewajipan yang Allah Taala isytihar kepada Malaikat bila Allah nak jadikan Nabi Adam A.S. Tuhan lantik Adam jadi Khalifah, diisytihar kepada Malaikat.
 
Khalifah itu ialah politik memerintah negara. Pilihan raya salah satu daripadanya, walaupun pilihan raya tak disebut dalam kitab-kitab Feqah, tapi disebut dalam kitab Sirah, disebut dalam kitab Tafsir dan Hadis, apabila Nabi S.A.W wafat, Nabi tak tunjuk siapa dia ganti dia. Maka Sahabat pilih tiga calon, Abu Bakar, Saidina Ali, dan Sa’ad Bin Ubadah. Akhirnya Abu Bakar dilantik jadi khalifah. Itu adalah pilihan raya secara zaman dulu. 
 
Di mana amalan demokrasi yang diamalkan oleh orang Barat, orang Eropah tak tahu nak buat perubahan, macam mana nak pilih pemimpin negara. Pada asalnya demokrasi ini adalah dicipta oleh orang-orang Greek di Athen, democrasi, democratia, ataupun democratos.Dalam bahasa Greek democratus, bahasa Latin democratia, kuasa rakyat, kuasa orang ramai, itu makna demokrasi.
 
Orang ramai diberi hak untuk memilih pemimpin. Oleh kerana orang ramai tidak faham, termasuk orang Islam tak faham bahawa mengundi memilih pemimpin, memilih kerajaan satu kewajipan yang besar. Banyak hukum-hukum syarak, hukum-hukum Allah Taala untuk mengurus orang Islam, kehidupan orang Islam, mesti ada kerajaan Islam yang memerintah, kerajaan yang meninggikan hukum Islam, mesti diadakan, ini wajib bagi orang Islam. 
 
Dengan sebab itulah pada hari kiamat kelak, manusia akan dihimpun bukan sahaja dengan amalan dia, termasuk dengan pemimpin yang dipilih di atas dunia ini, dibawa pada hari kiamat kelak. Ini tanggungjawab pilihan raya yang kita kena sedar, yang kita kena faham.
 
Menyumbang untuk pilihan raya ini ialah untuk memenangkan Islam. Bagi Terengganu, kita usaha supaya boleh perintah balik negeri Terengganu kerana kita pernah memerintah dan kita telah meminda Perlembagaan Negeri Terengganu, hukum yang tertinggi ialah Quran, Hadis, Ijmak Ulama dan Qias, masih ada lagi. Tapaknya sudah ada, tapi nak tambah lagi tidak boleh kerana kita tidak ada kuasa pemerintahan. 
 
Tanggungjawab kita untuk mewujudkan kuasa pemerintahan ini, dalam masa yang sama kita perlu kuat kerajaan pusat. Kalau boleh menguasai Kerajaan Pusat. Kalau tak boleh kuasai Kerajaan Pusat, boleh mempengaruhi Kerajaan Pusat. 
 
Kalau kita boleh 40 kerusi di Parlimen, kerajaan tak boleh nak tubuh kerajaan melainkan dengan bergantung dengan 40 kerusi ini. Walaupun orang lain ada 100 kerusi, kerana nak tubuh kerajaan mesti ada 112 kerusi. Parti-parti tak mampu nak dapat 112 kerusi. 100 boleh, 80 boleh, 88 boleh, sekadar itu sahaja. 
 
Kalau kita ada 40 kerusi, bermakna kita akan menjadi tempat pergantungan siapa nak tubuh kerajaan. Dengan 40 kerusi ini, kita ada pengaruh, boleh minta macam-macam. Dengan 40 kerusi ini, kita boleh tarik sokongan, jatuh siapa dia, naik siapa dia. Ini dari segi politik, kena faham dari segi politik, kedudukan politik.
 
Walaupun dengan 40 kerusi, kita tidak majoriti. Bila 40 kerusi ini kita boleh menentukan kerajaan. Ini dari segi politik, ini kena mengaji ilmu politik. Orang mengaji politik tahulah, yang tak mengaji politik tak tahu hal macam ini. Kalau tak tahu, ikut orang yang tahu. Ini kena faham. Jangan belajar dengan surat khabar, kena belajar dengan kitab, kena belajar dengan nas-nas yang dibincangkan oleh ulama kita. 
 
InsyaAllah hari ini kita akan lancarkan tabung derma untuk pilihan raya. Bagi Terengganu kita nak kerusi kita lebih banyak. Terengganu ini tempat majoriti orang Islam macam Kelantan, macam Kedah. Kerusi Terengganu, kerusi Kelantan, kerusi Kedah kena banyak, jadi asas kepada 40 kerusi ditambah oleh negeri-negeri yang lain. 
 
(Transkrip oleh Penolong Pengarang Berita Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari ucapan Presiden PAS ketika merasmikan Pelancaran Dana 1 Juta Ke Wisma Darul Iman, pada 12 Januari 2018 di Masjid Rusila, Marang) - HARAKAHDAILY 13/1/2018